Wednesday, May 26, 2010 9 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

PENGURUSAN JENAZAH II - cara/teknik memotong kain kapan.


Ustazah Arbakyah sedang menunjuk cara mengkafankan mayat. Datin Yus memberanikan diri menjadi sukarelawan model jenazah/mayat yang sentiasa tersenyum...

Ustazah menerangkan jenis kain, ukuran lebar dan panjang serta cara memulakan penyediaan serta pemotongan kain kafan.

Sabtu 22.5.10. Jam 8.30 pagi hingga 1.00 tgh. Bertempat di Surau Al Umm, Sek 1, B.B.Bangi. Sekali lagi aku diberi kesempatan menghadiri sessi kedua kursus Pengurusan Jenazah. Ia adalah sambungan dari kursus pertama yang banyak berkisar tentang bagaimana caranya apabila kita menerima khabar kematian seseorang samada ahli keluarga, saudara mara atau jiran tetangga kita.
Apa perlu dilakukan tatkala jenazah dibawa pulang ke rumah untuk dimandikan dan diuruskan. Al maklum, dalam keadaan panik dan fikiran bercelaru semua tindakan serba tak kena. Bagaimana kedudukan mayat hendak diletakkan sewaktu menghadap Qiblat samada melintang atau membujur. Nampak mudah tetapi ramai yang kurang faham. Apatah lagi urusan lain, kalau sedang bersedih tentu sekali kita mengharap orang lain yang melakukannya.
Apabila sampai masa hendak dimandikan, tentu sekali kita perlukan orang yang mahir. Sebaik-baiknya anak-anaklah yang memandikan jenazah si ibu atau ayah malah kalau berani sang suami sangat digalakkan memandikan si isteri begitu juga sebaliknya. Malang sekali kebanyakan kita amat kurang ilmu serta keyakinan diri. Banyak takut dari berani. Takut salah, takut badi, takut lemah semangat dan takut segalanya.
Inilah masanya kita ingat akan si tukang mandi mayat. Selagi kita hidup sihat ketawa ria lagi sejahtera. Menikmati kemewahan harta benda dan kelazatan makan minum lansung tidak terbayang manusia yang amat berbakti ini. Nanti di penghujung usia tatkala terlantar menanggung sakit dan ketika sedang menanti saat datangnya sakaratul maut, barulah terbayang-bayang siapalah yang akan menguruskan kita apabila telah keras kaku tidak berdaya lagi.
Samada mayat kita nanti diuruskan di rumah atau di hospital, orang pertama yang akan melihat keaiban kita adalah si tukang mandi mayat. Di situlah letaknya amanah paling tinggi dan kecekapan si pemandi mayat dalam menyempurnakan tubuh badan kita sesempurna mungkin sebelum disemadikan ke dalam tanah untuk beralih ke alam barzah.
Melihat kecekapan dan ketertiban ustazah menunjukkan contoh melalui model apatah lagi jika berdepan dengan mayat sebenar yang beraneka ragam. Begitu berlemah lembut dan sentiasa meminta izin apabila hendak membersihkan anggota badan si mayat. Mulut sentiasa komat kamit dengan bacaan doa dan ayat-ayat al Quran.
Sentiasa berpesan agar kita yang menguruskan mayat agar berhati-hati dan menghormati si mati. Orang yang telah mati tetap berasa sakit seperti semasa hidup apabila dikasari. Apatah lagi jika terpaksa dilakukan sebarang post mortem untuk mencari punca kematian. Sungguh dia tidak boleh bercakap namun kesakitan terpaksa ditanggung dalam keadaannya diam kaku sebagai mayat.
Ustazah Arbakyah sentiasa 24 jam lengkap dengan bag besarnya yang penuh peralatan memandi dan mengkafankan mayat dalam keretanya walau ke mana pergi. Telefon yang sentiasa berdering meminta khidmatnya. Sebelum sampai ke surau pada pukul 8.00 pg untuk memulakan kursus dia sudah pun selesai menguruskan 4 jenazah yang antaranya meninggal akibat denggi berdarah.
Bayangkan bilakah waktu tidurnya dan rehatnya. Namun masih tersenyum lebar, bergurau senda mencurahkan keringat dan ilmunya mengajar kami yang yang daif ini. Sedangkan pasti tubuh seorang ibu, isteri dan wanita berusia 50an itu terasa letih dan sambil menunggu masa beredar dia sudah pasti akan menerima pada bila-bila masa panggilan untuk menguruskan mayat yang lain pula. Jarang sekali dia menolak demi tanggungjawab dan amanah.
Kesabaran ustazah amat tinggi ditambah sifat merendah diri sedangkan ilmu dan pengalaman penuh di dada. Puas dicaci hina oleh tukang mandi mayat yang senior sepanjang dia menjalankan tugasnya. Niat suci menegur kesilapan si pemandi mayat yang lain semasa dia dihantar oleh Jabatan Agama untuk memantau sudah menjadi asam garamnya. Manusia ego dan berlagak ada di mana-mana, sentiasa menyangka dirinya yang terbaik. Sedangkan ilmu yang diwarisi adalah hak Allah swt jua.
Mudah-muadahan Allah swt memberi kesihatan dan kekuatan padanya. Semoga beliau dipanjangkan usia agar dapat meneruskan baktinya. Mungkin suatu hari kita semua memerlukan khidmat beliau kerana mati itu pasti datang. Bila, di mana, bagaimana hanya Allah swt yang Maha Mengetahui. Bagi menguruskan jenazah kaum lelaki, suami dan anak menantu beliau juga bertugas menguruskannya.
Untuk menghubungi Ustazah di sini disertakan alamat beliau;
Ustazah Arbakyah Asmuni, No 5 Jln Muhibbah II, Taman Muhibbah, 43000 Kajang. (belakang Tabung Haji Kajang)
Tel : 03 87335313 dan 012 6526639
Segala bayaran upah, penyelengaraan dan pengurusan jenazah sila bertanya kepada beliau sendiri. Begitu juga untuk mengadakan sebarang kursus berkaitan. Kepada sesiapa yang teringin menempah kain kafan yang telah siap dipotong juga boleh membuat demikian dengan harga RM200 satu set lengkap.
Wednesday, May 19, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Sabarkah aku, seorang guru...

Selepas waktu rehat, aku memandang ke luar kelas. Terlihat sepasang suami isteri yang aku rasa ibubapa kepada anak murid dari kelas aku. Mereka mundar mandir membuatkan aku membuka pintu dan bertanyakan samada mereka hendak menjemput anak lelakinya pulang awal. Dijawab si isteri, tidak.


Anak lelaki sulungnya pula sudah tak tentu hala duduknya apabila melihat kedua ibubapanya berada di luar. Tak sabar-sabar dia keluar menuju ke arah mereka. Peliknya, tidak pula dibawa anaknya pulang malah disuruh masuk semula ke kelas.


Aku sedikit bingung, adakah mereka mahu bertemu dengan aku kerana melihatkan di tangan si bapa memegang sebuah buku Mental Arithmetic yang telah disiap dibuat dan dibawa pulang oleh anaknya ke rumah. Anak inilah satu-satunya yang setiap hari memujuk aku menanda bukunya daengan segera kerana mungkin excited mahu menunjukkan kepada ibubapanya betapa dia sudah pandai membuat matematik dengan jayanya. Anak-anak yang lain walaupun telah selesai menjawabnya masih dalam semakan aku.


Sibuk melayan karenah anak-anak yang akan bersurai sebentar lagi, mata memandang ke luar dan terpandang mereka menuju ke pejabat kerana aku pasti dia sedang menuju ke arah seorang guru lain yang kebetulan berada di pintu pejabat.


Aku bergegas berlari anak ke ofis dan benar tekaan aku mereka sedang menunjukkan buku tadi kepada guru tersebut. Aku terus mencelah dan bertanyakan apakah ada masalah yang boleh aku bantu. Lagipun anaknya dari kelas aku memang sepatutnyalah aku yang paling layak untuk ditanya.


Langsung mereka berpaling ke arah aku dan menunjukkan masalah yang dihadapi. Aku menjemput mereka duduk di kerusi ofis sedangkan si ibu tak sabar-sabar nak menunjukkan masalah yang dihadapi. Sambil aku dan dia berdiri, si ibu menerangkan masalah "besar" yang telah aku lakukan.


Aku mendengar luahan tidak puas hati mereka. Rupanya aku telah tertandakan betul pada beberapa soalan matematik anaknya sedangkan jawapannya adalah salah. Aku terus mohon maaf kerana tersilap pandang atau tersalah kira lalu menandakan betul pada jawapan yang salah. Bayangkan dari beratus-ratus soalan hanya berlaku kesilapan tak sampai sepuluh soalan ayahnya dah jadi hangin semacam. Apatah lagi kiranya aku tertanda salah pada jawapan anaknya yang betul. Mau ditumbuknya muka aku.


Belum sempat aku menjelaskan selanjutnya, si ayah yang sedang duduk menyandar di kerusi telah menyampuk dengan suara yang agak kasar menyatakan kenapa boleh silap. Katanya perkara ini tak sepatutunya berlaku kerana ia akan merosakkan masa depan anaknya kerana anaknya akan keliru dan sebagainya. Dia terus membebel dengan mengatakan itu dan ini yang bagi aku macam tak masuk akal. Mereka juga paling bimbang kerana ujian penggal pertama akan berlangsung minggu depan. Risaunya mengalahkan anaknya nak ambil SPM!


Customer is always right. Datang tak memberi salam apatah lagi nak mengucapkan selamat hari guru. Tidak aku harapkan dia mengucapkan terima kasih kerana telah mendidik anaknya yang asal nya agak pelik-pelik. Kuat termenung dan berkhayal di kelas. Setiap masa aku kena kejutkan dia dari khayalannya sebab apabila kita bercakap dan mengajar, dia seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Tak payah aku bercerita banyak akan kelemahan anaknya. Adakala guru lebih dulu mengesan beberapa tingkahlaku pelik si anak berbanding kedua ibubapanya yang selalu sibuk.


Kini dari anak yang tidak tau apa-apa, dia sudah boleh menulis, membaca dan mengira sehingga boleh menjawab soalan matematik yang susah-susah seperti 25+21-10 atau 34+35-22 dan banyak lagi. Aku juga telah mengajar anaknya mengaji Iqra sehingga buku 5. Tidakkah dia teringin untuk berterima kasih.


Bertimbang rasalah kerana guru bukan hanya menjaga seorang murid di sekolah. Bermacam perkara hendak dikerjakan dan difikirkan. Kita bukan insan yang sempurna segalanya.


Dipendekkan cerita, setelah aku biarkan si bapa meluahkan rasa tidak puas hatinya tadi dan setelah dia seolah-olah tak dapat terima sebarang alasan dari aku, lantas aku bertanya;


Baiklah, macamana kita nak selesaikan masalah ini. (mereka terdiam..)

Saya akan memberikan satu buku baru yang sama dan encik berdua pantau sendiri di rumah semasa anak encik menjawabnya. Kemudian terpulanglah samada hendakkan saya atau encik berdua yang mahu menandanya.(si isteri pandang suami, suami pandang isteri..)


Akhirnya si isteri (sedari awal bersuara agak lembut dan kelihatan takut akan suaminya) menyatakan setuju dan meminta pula aku tolong senaraikan nama-nama buku yang boleh dia beli untuk bacaan anaknya di rumah.


Aku jawab, carilah sendiri di kedai buku kerana terdapat terlalu banyak bahan yang boleh membantu anaknya membaca lebih lancar dan sebagainya. Berpesan lagi itu ini dan supaya menjaga dan mengajar anaknya dengan lebih tekun dan perihatin. Seolah-olah anak lelakinya yang baru berusia 6 tahun itu yang selama ini duduk betul-betul begitu dekat di hadapan aku telah diabaikan.


Bagaimanalah nanti tatkala anaknya telah bersekolah rendah dan menengah. Apabila melihat begitu banyak buku-buku kerja yang tidak sempat ditanda dan disemak oleh para guru kerana guru terlalu terbeban dengan ramainya anak murid dan terlalu banyak buku yang perlu diperiksa. Apakah dia mahu mengamuk dan menyaman guru.


Akhirnya, si ibu yang selalu pulang malam atas urusan kerja itu telah memohon maaf dan meminta diri. Si ayah yang agak panas baran orangnya juga selalu sibuk dan pulang lewat ke rumah telah lama keluar tanpa sebarang kata terima kasih atau permohonan maaf. Sedangkan aku sedari awal tidak berhenti memohon ampun dan maaf di atas salah silapku.


Aku seorang guru, dihargai atau tidak biar Allah swt yang menilainya. Tugas aku mengajar semampuku dan mendoakan agar kesemua anak murid di sekolah ini akan menjadi manusia yang bijak pandai dan dapat membahagiakan ibu dan ayah. Di mana akhirnya mereka jua suatu hari nanti membesar menjadi insan berjaya dunia akhirat dan berbakti kepada agama, bangsa dan negaranya. Amin.....
Thursday, May 13, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

SELAMAT HARI IBU + SELAMAT HARI GURU

ibu mertuaku..ibu dan guru paling unggul.


Ada orang kata hari ibu dah lepas. Bagi aku hari ibu tiap-tiap hari. Ibu perlu dihargai dan diingati tanpa sempadan masa. Hari ini, esok dan selamanya.

Bersempena bulan ini kita menyambut Hari Ibu dan kini Hari Guru, aku lebih suka merangkumkan kedua-duanya. Esok 16 May kebanyakan sekolah menyambut Hari Guru maka terdapat pelbagai acara dijalankan bagi memperingati jasa para guru.

Hari Ibu dan Hari Guru sebenarnya sama besar ertinya. Ibu kita semua adalah guru paling unggul yang dalam diam telah mendidik kita sejak kita dari dalam rahimnya lagi.

Ibu selalu bebisik dan berkata-kata. Sambil mengusap perutnya yang semakin berat dia sentiasa berdoa, berzikir dan mengalunkan ayat suci al quran. Kadangkala dia bernyanyi, berselawat dan bernashyid.

Menghibur hati yang gundah bercampur bahagia. Berangan-angan dan berjanji akan mendidik anaknya menjadi insan yang berguna dan berilmu.

Ibu sebagai guru sentiasa menghambur nasihat berguna sedangkan kita copkan ia hanya sebagai bebelan yang membosankan. Ibu marahkan kesilapan kita sedangkan kita anggap ibu membenci diri kita.

Kita lupa bahawa segala kata-kata nasihat dan tunjukajar ibu adalah ilmu. Ilmu yang paling ikhlas, spontan dan natural dari hati seorang ibu dan guru paling agung.

Selamat Hari Ibu buat mak yang melahirkan aku Hajjah Asiah Ismail dan ibu saudaraku Hajjah Bee Ibrahim yang telah memelihara dan membesarkan aku sejak dilahirkan. Al Fatihah buat kedua-duanya. Dikaulah ibu dan guru paling mulia dalam hidup ini.

Tidak lupa, ibu mertuaku Hajjah Fatimah yang telah melahirkan dan berjaya mendidik suamiku sehingga dia menjadi suami yang bertanggunjawab dan penyayang terhadap anak isteri dan ahli keluarganya.

Dalam usia mak 82 tahun, syukur mak masih sihat dan diberi kesempatan terus memberi tunjukajar, bimbingan dan nasihat kepada anak, menantu dan cucu cicit mak. Hanya mak yang masih ada menjadi penawar rindu aku kepada kedua-dua ibu yang telah kembali ke rahmatullah.

Ucapan Selamat Hari Guru dan jutaan terima kasih atas jasa para guru dan pensyarah yang telah mencurah ilmu dari sekolah rendah, menengah hingga ke universiti. Hanya Allah yang membalas jasa bakti kalian.

Selamat Hari Guru juga buat teman-teman setugas dan semua yang bergelar cikgu. Semoga kalian tabah berbakti dengan tulus ikhlas mendidik anak bangsa menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Monday, May 10, 2010 8 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

JOM RONDA ZOO NEGARA..!!

Separuh hari Sabtu diluangkan menemani anak-anak didik melawat zoo negara. Seronok....sebab dah lama tak pergi Zoo Negara. Kalau tak ikut rombongan sekolah ni..jangan harap saja-saja nak pergi. Balik dari zoo, badan yang memang terasa nak demam bercampur sakit tekak mula mainkan peranan. Jawabnya kita kena rihatkan diri pada hari Isnin..cuti.
Sabar jer kuda yg comel ni bila rambutnya dimain dek bebudak tadika. Dah nasib badan jadi pameran dan tontonan.

Badak air ni 24 jam kerjanya berendam aje dalam air. Tau la cuaca panas..tak kan tak ada kerja lain nak buat kot.
Gajah ni nampak jinak, asyik menghulurkan belalai dia nak mintak makan. Ramai yang baik hati belikan dia tebu sebatang RM 3.00. Sekali hadap jer tebu sebatang dah hilang masuk perut.

Zirafah..sakit tengkuk nak tengok muka dia. Bukan main tinggi lampai tapi cute sangat bila dia senyum..
Penat tapi berbaloi...terima kasih le K.Pah ajak kita jenjalan. Lain kali kita gi Night Safari kat zoo Taiping nak. He..larat sangat ler tu..




Wednesday, May 5, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

KEJAM !! LELAKI, SUAMI DAN dot..dot..dot

Aku tengah sibuk betul di dapur. Pegang beras nak tanak nasi. Pegang ayam nak digoreng masak kicap. Pegang kangkung untuk digoreng dgn bilis. Kepala berligar-ligar. Kejap lagi boss nak balik ofis.

Kalau dia dah kenyang sebab makan dalam kursus di tempat kerjanya hari ni, legalah. Dibuatnya balik nanti perutnya keroncong, rasa bersalah pulak. Walau dia tak marah tapi kita yang jadi isteri ni ada rasa tak kena semacam. Dah maklum dia suka makan nasi dan lauk panas-panas. Biar lauknya simpel-simpel aje, janji berasap. Makan bersama pulak alangkah ni'mat....



Dengar salam sayup-sayup. Tau-tau dah ada di belakang kita memberi salam sekali lagi.



Assalamualaikum....
Sedapnya bau.. awak tengah masak ape ni?



Tak sempat aku jawab pertanyaan, dia dah sambung...



Ti, kesianlah pompuan tu. Ada ke patut laki dia pangkat sarjan rodok private part wife dia dengan pisau. Kerja gila! Kesian betullah. Pompuan tu tengah terbongkok-bongkok sebiji macam awak ni.



Kebetulan memang aku tengah terbongkok-bongkok menjenguk gas bawah kabinet dapur. Nampak gaya gas dah nak habis sebab api dah makin kecik dan perlahan.

Suami ingat aku tak tau cerita tu sedangkan aku dah baca dalam Metro hari ni.



Cuba awak bayangkan, dia rodok dari belakang..tentulah pisau tu masuk terus ke dalam. Kalau dari depan lain juga. Kesian betul kan...



Ha..a kesiaaan, tapi tak payahlah cerita detail sangat..ngeri dengar. Orang lelaki, cemburu tak tentu pasal. Suruh dengar cakap isteri..takut dayus. Dengar cakap jin..ikut pulak. Tak beriman!



Kesian la Tie...sampai hati dia toreh anu bini dia (surat kabor yg tulis ok). Tak sayang bini apa. Bini dia cedera parah sampai masuk hospital..mujur tak mati.



Tu la...ikut hati mati, ikut nafsu lesu. Puasa memanjang la jawabnya suami dia kan bang...
Orang guna tenaga jantan pada tempatnya..ini dia tunjuk jantan rodok isteri pakai pisau.
Mental ape..



Sibuk tangan kanan dia nak pegang sudip tolong aku kacau sayur dalam kuali. Tangan kiri pegang bahu aku pulak. Che wah..tunjuk romantis kat bini dia yang bau bawang dengan belacan nih.



Lain kali sayang bini betul-betul. Jadi suami mithali. Jangan cemburu buta tak tentu pasal. Dah dah...pergi mandi dan solat Asar. Nanti kita makan sama-sama.


Awak dah solat Asar ke, kalau belum jom saing..kita jemaah.


Saya awal waktu tadi dah solat bang oii...





Apelah mamat askar pangkat sarjan tu. Pengecut betul. Orang peluk isteri tanda sayang..dia pulak peluk bini dari belakang sambil dirodoknya tempat sulit isteri dengan pisau.

KEJAM! Sangat tak berhati perut. Tergamak merodok isteri di depan anak mereka yang berusia 4 tahun.

Alasan si suami, terdengar bisikan jin dalam rumah yang menyatakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Si isteri, seorang jururawat yang cedera parah dan kesakitan amat sangat masih mampu menalipon ambulan di Hospital Melaka untuk mendapakan rawatan kecemasan.

Kenyataan di akhbar, si isteri mengesan sikap pelik suami apabila pernah 2 kali mencekiknya menyebabkan timbul persoalan kemungkinan suaminya mengalami tekanan.

Mulianya hati seorang isteri apabila dia berkata ;

" Namun, saya masih sayang padanya dan sudah mamaafkan perbuatannya."

Aku, terharu.....


Saturday, May 1, 2010 10 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Hukum bulu kucing yang tertanggal....


Hobi aku no 1 ialah membaca. Pantang nampak kedai buku. Kecil, besar semua aku teringin nak singgah. Ada-ada saja yang nak dibelek. Mana-mana buku atau majalah(bukan picisan atau hiburan semata) yang aku berkenanan pasti aku tak teragak-agak membelinya. Membacalah apa saja, asal memberi ilmu dan maklumat berguna. Paling pasti, jangan lalai dan lupa membaca ummul kitab Al-Quran. Berusaha juga untuk membaca maknanya.
Hujung minggu ni, selain menghadiri majlis kawin aku peruntukkan masa membaca dan merujuk majalah SOLUSI sebuah majalah Islam, selain Anis, Al Islam dan selainnya. Solusi komited dengan misi "Panduan Hidup Bersyariat" sebagai wadah dakwah dan tarbiah untuk ummah.
Cari, beli atau pinjam dan baca, anda tidak rugi membayar RM9.00 sebulan untuk membantu sebuah syarikat penerbitan Islam Telaga Biru yang berhempas pulas bersaing dengan lambakan majalah picisan berunsur hedinisme, tahyul dan seks bebas.
SOLUSI - bertujuan ingin memantapkan perlaksanaan syariat Islam berasakan kesepaduan ilmu wahyu (revealed knomledge) - tauhid, feqah, akhlak, dengan ilmu akal (acquired knowledge) - sains, matematik, sejarah dan geografi. Tidak hanya menjelaskan ilmu-ilmu berbentuk Fardhu Ain, tetapi mengaitkannya dengasn unsur motivasi menerusi pengalaman, isu-isu semasa dan kes-kes yang berlaku dalam masyarakat.
Promosi aku ni tak berbayar sesen pun, saja mengajak kengkawan, anak-anak dan diri sendiri menyahut kempen suka membaca. Ramai yang masih teragak-agak nak cuba membeli kerana belum tahu isi kandunganya. Jangan cuak dan jangan malas membaca sebab budaya hedonisme seperti filem, lagu, rancangan TV dan lain-lain telah banyak meragut masa dan tenaga umat Islam leka dengan hiburan yang keterlaluan.
Apa pulak kaitan dengan gambar 2 ekor kucing di atas? Jawabnya sebab aku nak berkongsi imformasi yang mungkin aku dan kengkawan lain tak tahu selama ini.
Ramai sungguh di antara kita yang meminati makhluk comel ini. Ada yang suka tengok aje sebab takut dan geli nak pegang. Ada pulak terlalu minat lalu dibela, dibelai, dicium, didukung dan ditimang bagai anak sendiri. Puas dipeluk, diriba dan dibawa tidur sekali.
Bila aku membaca soal jawab fiqah dalam Solusi yang dijawab oleh Ustaz Syed Mohd. Fadzli al-Yamani, terkejut beruk juga dibuatnya. Sebagai peminat kucing, dah puas bermain dan bergelumang dengan si comel ni tadi kita tak berapa kisah pun bulu-bulunya yang bertabur, luruh dan pasti melekat pada pakaian, karpet, sofa malah kenkadang atas sejadah serta telekung pun ada.
Menjawab pertanyaan seorang pembaca samada dikira najis bulu-bulu kucing yang teranggal dan melekat pada tubuh dan pakaian kita. Jawapan ustaz - menurut mazhab Syafi'i, bulu kucing yang tertanggal daripada tubuh badannya adalah najis. Bukan setakat kucing, tetapi bulu binatang yang tidak halal dimakan akan menjadi najis apabila tertanggal daripada badannya, samada semasa hidupnya atau selepas matinya.
Sekiranya terdapat bulu kucing pada pakaian maka solatnya tidak sah. Oleh itu ambillah sikap peka dan berhati-hati sekiranaya anda peminat kucing. Sebelum mengerjakan solat, pastikan tiada sebarang bulu kucing pada pakaian dan tempat solat anda.
Kalau selama ini kita tak tahu hukumnya, cam man ek. Ni aku pepandai jawab sendiri. Insyallah, Allah itu Maha Pengampun, semoga Dia maafkan kelemahan dan kejahilan kita itu. Lain kali pilihlah jenis kucing yang kita nak bela (lihat gambar contoh di atas). Nak pilih yang berbulu lebat, separa lebat atau lansung tak berbulu. Tepuk dada tanya selera....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...