Tuesday, June 22, 2010 8 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Si Harum Manis..buah hatiku.

Si Harum Manis...dibela sejak kecil, disiram dibaja...akhirnya tahu dia membalas budi. Dia serikan hari dengan bebunga kuningnya..kemudian berputik menyapa kami. Dari putik kecil mahu menjadi buah, dikau ditunggu dengan hati gembira bercampur gundah.


Kesabaran tuanmu menanti kamu. Mengharapkan si Harum Manis menyumbangkan hasil. Akhirnya penantian tidak di sia-sia. Si putik kecil yang kini menjadi buah. Berselindung malu di sebalik dedaun hijaumu...namun harummu tetap terserlah.


Aduhai si Harum Manis...saat kau menghijau dan akhirnya menguning...ada mata yang sedang menjeling. Sang tupai cilik berkejaran di pohon, mengintip peluang menumpang kenyang. Jangan bimbang..tuan tersayang bukan nak makan sorang. Ni'mat Allah..pasti untuk manusia dan juga binatang.

Ucapan syukur terucap di bibir. Mengenang ni'mat Allah yang Maha Pemberi. Dengan sebatang pohon didatangkan rezeki. Berbuah segar harum mewangi. Isinya manis tidak terperi. Maka Ayat Allah yang mana satukah hendak engkau dustai.
Allahuakbar, Alhamdulillah.




Saturday, June 19, 2010 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

SELAMAT HARI BAPA

Katanya hari ni HARI BAPA. Suka hatilah janji semua yang ada bapa wajib taat dan menghormati bapa masing-masing. Kalau si bapa telah terlebih dulu meninggalkan kita kembali ke rahmatullah, titiplah doa setiap waktu agar rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman.

Bagi yang masih punya ayah memang beruntung kerana kita masih diberi ni'mat merasa erti kasih sayang seorang ayah. Sama ada bapa kita berada di samping kita atau membawa diri tanpa dikesan namun beliau tetap seorang ayah..lalu titipkanlah doa agar dia selamat dunia akhirat.

Kita semua sayangkan bapa kita sepenuh hati namun tak kurang yang membenci, marah dan dendam kepada bapa mereka atas sebab-sebab yang peribadi. Pasti hati si anak pernah terguris luka atas perbuatan bapa yang mungkin kurang bertanggunjawab, tidak mengikut sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

"Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik pergaulannya dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku." (Riwayat Ibnu Majah dari Ibnu Hibban)

Aku bertuah punya dua ayah. Ayah kandung Md. Shariff Ibrahim yang berkongsi hidup dengan ibu kandungku Asiah bt Ismail hingga lahirlah aku sebagai anak bongsu dari berbelas orang adik baradik. Oleh kerana telah berjanji dengan ibu saudaraku adik kepada bapa maka tatkala lahirnya aku lalu diserahkan kepada Bee bt Ibrahim ibu saudaraku.

Hadiah ikhlas ini benar-benar mengembirakan hati ibu saudaraku bersama suaminya Gani bin Muda yang juga merupakan sepupu kuat kepada bapa kandung dan ibu saudaraku tadi. Terubat hati ibu saudaraku yang telah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak walaupun dia juga sebenarnya menjadi ibu segera kepada suaminya yang membawa 2 orang anak yang sudah besar akibat kematian isterinya.

Mulai detik itu secara automatik aku mempunyai seorang lagi ayah yang akan menjaga dan membesarkan aku. Dengan ayah ini aku dididik penuh kasih sayang tanpa berbelah bagi walau berkongsi dgn abang kakak yang telah besar anak kandungnya dari arwah isterinya.

Berkat pahala ibu saudara suami isteri memelihara aku, akhirnya 4 tahun kemudian dia dikurniakan seorang anak lelaki comel yang menjadi adikku lalu kami semua sama-sama membesar dalam sebuah keluarga yang penuh kasih sayang. Biarpun hidup ketika itu sangat sederhana namun semuanya tersedia mengikut kemampuan Hj Gani yang aku panggil ayah sebagai pekerja di Jabatan Kesihatan.

Setinggi-tinggi terima kasih buat ayah yang begitu dekat di hatiku. Mencurah kasih sayang tidak berbelah bagi. Selalu berada di sisi menyikat rambutku, menghantar aku ke sekolah dan berusaha mengadakan apa saja permintaanku. Mengajar aku berbudi bahasa dan menegur salah silapku dengan penuh berhemah.

Hampir setiap malam aku akan duduk atas pangkin di luar rumah, mendengar ayah bercerita. Sambil menggulung rokok daunnya dia bercerita tentang susah senang kisah silamnya semasa kecil. Inilah antara moment paling indah ketika bersama ayah. Saat di mana aku merasai kasih sayang seorang ayah sejati.

Sikap peramah, ceria, lemah lembut tapi tegas ayah hingga membuat aku mengimpikan seandai aku punya pasangan hidup biarlah si dia menjadi suami dan bapa sebaik ayah. Syukur niat baik itu terlaksana apabila aku dikurniakan seorang suami dan bapa kepada anak-anakku yang tidak banyak beza dengan ayah. Syukur ya Allah..

Terima kasih ayah kerana menjadi bapa kepadaku. Mencurah kasih sayang, memberi pendidikan dan melaksanakan majlis perkahwinan aku dengan meriah. Lalu ayah menitis air mata saat mahu melepaskan aku tinggal di samping suami yang akan mula mengambil alih tanggungjawab ayah selama ini.

Setinggi-tinggi terima kasih ayah. Jasa baik mu tak mungkin terbalas olehku. Terkilan kerana hanya sempat menjaga ayah selama seminggu di hospital Bt Pahat. Apakan daya ayah tanggung jawab terhadap suami dan keluarga membataskan waktu untuk aku bersamamu merawatmu.
Namun aku cekalkan hati memberanikan diri memandu kereta begitu jauh bertemankan angah anak lelakiku demi ingin bersamamu.

Syukur perjalanan kami selamat dan ayah bergenang airmata kegembiraan melihat aku berada di sisinya sewaktu dia sedang tenat melawan penyakit tuanya. Bersama Zaidi satu-satunya anak tunggal perkongsian hidup ayah dengan ibu saudaraku, kami menjaga ayah silih berganti. Pemergian mak beberapa tahun lalu pasti menambah sunyi dan pilu di hati ayah.

Dan apabila sudah sampai detik waktunya lalu ayah dijemput pergi oleh Penciptanya. Dalam usia 87 tahun, tubuh tua itu pergi dengan mudah dan bibir bagaikan tersenyum menemui Illahi. Ayah pergi membawa kenangan paling indah dalam hidupku khususnya. Sehingga aku terlupa bahawa aku sebenarnya bukan anak kandungnya. Terlupa juga bahawa aku ada ayah kandung yang sepanjang hayatnya tidak pernah aku berpeluang memanggilnya ayah. Kerana dia tidak pandai mahu mendekati aku dan beramah mesra denganku.

Cantik sungguh percaturan hidup ini. Diatur dan diolah skripnya oleh Allah Maha Berkuasa. Lalu aku hanya menadah tangan mengucap syukur atas kurniaanNya. Mengucap syukur kerana memberikan aku seorang ayak kandung yang tanpanya aku tidak mungkin hadir ke dunia ini. Menghadiahkan pula aku seorang ayah angkat yang menyanyangi aku sepenuh hati. Dan mana mungkin aku melupakan bapa mertuaku yang juga menjadi bapaku. Dia yang zahirnya tampak garang rupanya sangat penyayang dan menerima aku sebagai menantu dengan bersikap tidak jauh bezanya dari ayah.

Ternyata mereka bertiga Bapa yang paling aku kasihi. Tidak terbalas jasa kalian. Walaupun kalian kesemuanya telah tiada di dunia ini namun kenangan bersama kalian tetap terpahat dalam ingatan menjadi sejarah paling berharga. Doa buat kalian dalam setiap sudah solatku. Semoga atas jasa kalian tempatmu bersama-sama mereka yang beriman dan dimasukan ke dalam Syurga Firdausi, insyallah.

SELAMAT HARI BAPA JUA BUAT SUAMI TERCINTA. Isteri dan anak-anakmu mengucap syukur dan terima kasih tidak terhingga atas kasih sayangmu selama ini.
Thursday, June 17, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Memperingat diri di 3 bulan yang mulia.





Sesungguhnya Tuhan Maha berkuasa. Bermula dengan berfikir dan mengenang betapa hebatnya kuasa Tuhan, natijahnya akan datang pula rasa Maha Hebatnya Tuhan. Secara automatik datanglah rasa kehambaan yang mendalam.

Mengenang betapa hebatnya Tuhan datanglah rasa bimbang dan cemas kerana Tuhan berkuasa berbuat apa saja terhadap makhluk ciptaanNya. Kita berasa bimbang dan cemas kerana tidak tahu apa sukatan atau ketentuan Tuhan terhadap kita. Kita tidak tahu bagaimana nasib kita di dunia ini.

Setiap hari dan di mana saja kita lihat berbagai bencana dan malapetaka yang menimpa manusia. Semuanya dalam keadaan tidak terfikir oleh kita dan berlaku tidak disangka-sangka. Tsunami, gunung berapi, gempa bumi, ribut taufan, kapal terbang terhempas, bas masuk gaung, kemalangan jalanraya, rumah runtuh, banjir dan pelbagai musibah lagi.

Semuanya berlaku tanpa dapat kita bendung kerana manusia amat lemah dan tidak berupaya. Sedang nasib kita sendiri belum tahu. Hanya Allah swt saja yang tahu.

Kesemua di atas adalah ketentuan Tuhan dalam perkara yang bersifat lahiriah. Itupun sudah menakutkan kita. Bagaimana pula sukatan Tuhan terhadap kita dalam perkara yang bersifat maknawiyah. Kalau kita faham, ini lebih-lebih lagi menggerunkan kerana padah yang bakal ditanggung adalah neraka yang azabnya amat dahsyat.

Antaranya adalah seperti berikut :

1. Ada orang yang Tuhan beri petunjuk, keimanan, kebaikan dan dalam kebenaran dan dalam ketaatan dari awal hingga akhir.

2. Ada orang yang Tuhan sesatkan, dalam kejahatan dan kedurhakaan dari awal hingga akhir hayatnya.

3. Ada orang yang di awalnya Tuhan tidak beri petunjuk, dalam kejahatan dan dalam kedurhakaan tapi di akhirnya Tuhan beri petunjuk, iman, kebaikan, dalam kebenaran dan ketaatan.

4. Ada orang yang di awalnya Tuhan beri petunjuk tetapi di akhir hidupnya Tuhan sesatkan.

Bagi orang yang kenal Tuhan, dengan rasa bertuhan yang tinggi dan rasa kehambaan yang mendalam...sentiasa tertanya-tanya apa akan berlaku pada dirinya. Kerana dia tahu dirinya dalam genggaman kekuasaan Tuhan. Tuhan saja yang berkuasa ke atas dirinya.

Sebab itu ada orang yang menghadapi berbagai halangan dan rintangan untuk taat dan berbuat kebaikan. Ada pula orang yang mempunyai peluang, memiliki kemudahan, ada kebebasan untuk berbuat baik dan ketaatan tetapi dalam hidupnya penuh dengan kejahatan, kedurhakaan dan maksiat.

Melihat dan merenung ke dalam diri, di sisi manakah aku dalam menyelusuri hidup ini. Kupohon Ya Allah petunjuk dan hidayah Mu...ampunkan aku kiranya aku lalai dan alpa...
Tuesday, June 15, 2010 8 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

JALAN JALAN BALIK KAMPUNG.

PERKAMPUNGAN NELAYAN DI PARIT JAWA, MUAR JOHOR. Saat yang ditunggu telah tiba. Saat perut berkeroncong minta diisi..inilah tempat dicari. Nak test asam pedas gerai ni..boleh lawan tak asam pedas dari air tangan kita.

Jom kita cuba...

Amboi..! Berselera nampak boss kita. Biar dia makan habis dulu...nanti kita tanya. Kalau dia kata asam pedas yg kita masak lagi sedap....memang dia suami mithali.


SEAFOOD COMBO - ada lokan, kerang, lala dan kupang direbus jer. Rasa ok tapi cara masak tak berapa ok sebab kurang jaga kebersihan. Suami jeling2 diaorang masak tapi tak sampai hati nak tegur.... Akibatnya, sampai rumah aku jadi mangsa. Sakit perut dan muntah berlelah. Dah tau alergik seafood..lapar punya pasal, ikut nafsu...telan jer..


Singgah pulak gerai durian. Katanya durian di Koris, Bt Pahat cantik buahnya dan sedap isinya. Suami pantang jumpa durian...mesti nak merasa, tak singgah kang terkilan..teringat-ingat jer..

Buruk benar rupa masa tengah makan durian. Mulut penuh pun nak bercakap juga. Silap hari bulan mau tertelan biji durian.... erm...yummy..tak rugi singgah..berbaloi.



Dah puas jalan sana sini, baru sampai kampung suami di Rengit, Bt Pahat Johor. Seronok dapat lepas rindu bertemu orang tua dan sanak saudara.


Pilu rasanya hati seorang ibu tua...hendak melepaskan anak bongsunya, menantu dan cucunda pulang semula ke ibu kota. Tak puas beramah mesra, bergurau senda dan bercerita.



Adik terasa berat hati sebenarnya nak berangkat pulang. Dia sangat sukakan suasana kampung.


Ada-ada saja ole-ole yang nak dibawa. Apa saja pokok yang tumbuh di sekeliling rumah teringin dibawa balik untuk ditanam. Maklum tanah kat Bangi berekar-ekar. Ngee...





Tinggal seorang lagi cucu atuk dari Bangi tak dapat ikut balik kampung. Angah ada kelas tambahan di sekolah sebab SPM dah tak lama lagi. Angah cuma kirim salam sayang dan rindu buat atok. Mohon doakan kejayaan dan kesejahteraan untuk angah ye tok...











Sunday, June 13, 2010 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

CUTI CUTI MALAYSIA KE CAMERON HIGHLANDS.





























































Walaupun dah berkali2 ke Cameron Highlands namun percutian kali ini paling menarik walau pun hanya aku dan kakak jer yang pergi...... ayah, angah dan adik jangan jelous ok.

CAMERON HIGHLANDS..KAMI DATANG LAGI..

Cameron Highlands - kami datang lagi. Kali ini hanya aku dan kakak berserta serombongan guru dari Tadika Aulad dan Pasti berkongsi satu bas mendaki tanah tinggi Cameron. Udara nyaman menanti kedatangan kami mengisi masa cuti. Sebenarnya pertama kali ke sini sewaktu berbulan madu dan anak dara kami ni berusia 5 bulan dalam rahim ibunya. Sejak itu kami sekeluarga dan adakalanya ditemani keluarga kakak suami telah beberapa kali ke Cameron. Penginapan biasanya kami tinggal di banglo esekutif yang disediakan TNB namun ada beberapa kali kami mahukan kelainan. Kami pernah menginap di Masjid Brincang dengan menyewa kelas yang dijadikan bilik. Malah pernah juga menginap di Sek. Convent Tanah Rata yang juga menyediakan kelas sebagai bilik. Suatu pengalaman paling berharga dan indah.






Apartment tempat kami menghabiskan cuti kali ini. Ok, selesa dan mudah cari makan bila perut dah keroncong. Makanan di restoran sekitar apartment sedap-sedap...




Singgah ke Bharat Plantation, meninjau ladang teh yang luas sejauh mata memandang.






































Jangan lupa beli sayur. Aku hanya beli kobis bunga, asparagus, celary, cendawan dan petai yang rangup dan sedap rasanya bila dicolet sambal belacan.


Murah RM10, sambil tolong orang asli berniaga.





Saturday, June 5, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

BALA DAN MUSIBAH...SATU PERINGATAN.

KHAMIS 3 JUN 2010

Hari yang mendebarkan, mengimbau kenangan, menghiris perasaan, tragis dan pilu....
Tatkala Tuhan timpakan musibah atau bala bencana....
Musibah atau bala bencana di sini maksudnya yang Tuhan datangkan dan terpaksa ditanggung bersama.

Ada yang datangnya langsung dari Tuhan tanpa campurtangan manusia seperti kemarau, banjir, gempa bumi, ribut taufan, tsunami, penyakit berjangkit, hasil tanaman dan ternakan tidak menjadi dan seumpamanya.

Ada pula bencana yang Tuhan jadikan melalui sebab musabab dengan adanya campurtangan manusia seperti permusuhan, krisis, peperangan, gejala sosial, kezaliman pemerintah, kemerosotan ekonomi, kelalaian, kecuaian dan ketidakpekaan manusia itu sendiri serta seumpamanya.

Para sahabat, apabila mendengar guruh di langit atau berlaku angin kencang, wajah mereka bertukar pucat ketakutan. Bukan takut kepada guruh petir atau ribut taufan tetapi mereka takut kepada Allah swt. Takut kalau dosa-dosa atau maksiat yang mereka lakukan menjadikan Tuhan murka dan didatangkan bencana alam.

Manusia hari ini, kalau berlaku musibah atau bencana jarang dikaitkan dengan dosa dan maksiat atau kemurkaan Tuhan. Seringkali hanya dikaitkan dengan fenomena semulajadi seperti perubahan cuaca, pemanasan global, gempa bumi dan sebagainya.

Bersangka baiklah terhadap Tuhan. Berlakunya pelbagai musibah itu samada yang bersifat langsung dari Tuhan maupun yang berlaku 'angkara tangan manusia', semuanya Tuhan bermaksud untuk peringatan, pengajaran, mendidik, menyedar dan menginsafkan manusia. Terutamanya agar manusia dapat melihat dan merasakan betapa Allah itu Maha Kuasa. Dengan cara itu bertambah iman dan taqwa manusia.

Apa yang Tuhan kehendaki berlaku pasti berlaku dan tiada siapa atau tiada kuasa lain seperti kepintaran dan kepandaian manusia dapat menghalangnya. Melainkan agar manusia patuh akur saja kepada Tuhan dan bertambah takut kepadaNYA. Agar manusia sedar dan insaf serta segera bertaubat. Bertaubat terhadap dosa dilakukan, bagi yang berdosa.. mahupun taubat selaku seorang hamba bagi yang tidak berdosa.

Beberapa keuntungan lain yang diperolehi melalui masalah dan kesusahan yang Tuhan datangkan antaranya ialah:

* Masalah yang datang itu adalah kifarah atau penghapusan ke atas dosa-dosa sekiranya Tuhan timpakan kepada orang yang beriman dan bertaqwa. Samada dosa yang disedari atau tidak disedari. Bagi yang tidak beriman maka masalah itu merupakan satu hukuman Tuhan juga sebagai peringatan agar manusia kembali kepada Tuhan.

* Allah Maha Adil. Allah tetap membalas segala kesalahan samada di dunia mahupun akhirat. Beruntunglah jika melalui masalah itu Allah membalas dosanya di dunia. Kalau Tuhan beri balasannya di Akhirat maka balasannya amat azab dan tidak tertanggung apabila dihumban ke neraka.

*Sungguh Allah Maha Adil kerana setiap perbuatan jahat pasti dibalas. Tetapi Tuhan beri balasan menurut cara Tuhan, bukan menurut logik akal manusia.

*Manusia serba serbi lemah, liar dan lalai terhadap Tuhannya. Tuhan mendidik secara langsung dengan didatangkan masalah supaya hati kembali berjinak-jinak dengan Allah.

* Kalau masalah yang Tuhan datangkan itu dalam bentuk yang terpaksa dipikul bersama atau ditanggung bersama-sama, samada dalam keluarga atau dalam satu kelompok masyarakat, Allah bermaksud untuk mereka sama-sama merasai senasib dan berganding bahu mengatasinya, maka natijahnya akan bertambah simpati antara satu sama lain. Akhirnya akan bertambah jalinan kasih sayang dan bertambah akrab. Datanglah semangat bertolong bantu, memperbaiki kesilapan lalu, saling prihatin, bela membela serta perpaduan yang utuh.

Sebab itu betapa pentingnya kenal Tuhan dan memahami kerja Tuhan ke atas hambaNYA. Kalau tiada iman dan tidak memahami kerja Tuhan maka manusia menerima sesuatu yang pada pandangan mereka negatif sebagai negatif. Dia akan bersangka buruk pada Tuhan. Sedangkan sangka buruk kepada Tuhan itu satu dosa.

Apabila Tuhan mencintai hamba-hambaNya bererti Tuhan mencintai bukan dengan perasaan. Tanda Tuhan mencintai seseorang itu ialah dengan cara Tuhan datangkan ujian kepada seseorang. Membalas cinta Tuhan itu ialah dengan sabar dan redha terhadap ujian-ujian tersebut. Apabila ini dapat dilakukan maka terjadilah antara orang itu dengan Tuhannya saling cinta mencintai.

Sabda Rasulullah saw maksudnya;
"Seseorang hamba itu apabila tercatat namanya satu darjat dalam Syurga dan dia tidak dapat mencapainya dengan amal ibadah maka Tuhan datangkan ujian. Lantas dia bersabar di atas ujian itu maka kekallah darjat itu di dalam Syurga."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...