Monday, July 26, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

MENJAGA LIDAH



Lidah adalah anugerah Allah swt yang amat mustahak sebagai penghubung antara satu sama lain, menerusi percakapan mahupun untuk mencapai keredhaan Tuhan. Lidah juga boleh menyebabkan manusia terjerumus ke dalam api neraka.

Berhati-hatilah dalam dalam bertutur dan berbicara. Kesan daripada tersalah cakap boleh membawa kesusahan dan kerugian malah boleh menyakitkan hati orang lain.

Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara yang tidak diingini ialah dengan berdiam. Diam dalam erti kata tidak bercakap pada perkara yang sia-sia dan tidak baik.

Orang yang beriman dan bijaksana, selalunya tidak berkata atau bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka menjaga setiap tuturkata dan percakapan. Mereka mengelak bercakap akan perkara yang sia-sia apatah lagi mengumpat keji dan mencaci sesama manusia.

Hadis Rasulullah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

1) Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyak dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya. (riwayat Abu Naim)

2) Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik-baik atau diam. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak diam tidak semestinya bodoh dan banyak cakap tidak semestinya cerdik. Kecerdikan itu adalah buah fikiran. Orang cerdik yang pendiam, lebih baik daripada orang bodoh yang banyak bercakap.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam, jika kita tidak dapat bercakap ke arah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.

Diam bukan bermakna sombong. Maka, kita dinasihatkan hendaklah banyak berdiam (berzikir dalam hati) dan senyum selalu kerana senyuman itu adalah satu sedekah.

Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Semakin banyak kita bercakap, semakin banyaklah kesilapan.

Ditanya kepada Rasulullah saw apakah penyebab terbesar yang boleh membawa masuk ke syurga..lalu Rasulullah menjawab; Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.

Ditanya pula penyebab terbesar membawa manusia masuk ke neraka..jawab Rasulullah; Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.

Luqman al-Hakim pernah ditanya: Apakah falsafah hidup mu?
Beliau menjawab; Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku tidak memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku.

Tidak syak lagi, penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan sahaja menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah, malah kesannya amat buruk kepada masyarakat.

Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara dan porak peranda.

Lalu dalam meneruskan perjalanan hidup seharian di sepanjang bulan-bulan yang mulia ini, apatah lagi menjelangnya bulan Ramadhan yang mulia..diriku memohon seribu kemaafan kepada semua rakan taulan dan sanak saudara seandainya pernah terasa hati di atas keterlanjuran kata dan perbuatan.

Sama-samalah kita muhasabah diri dan memperbetulkan langkah kita dengan sentiasa berazam untuk menjadi lebih baik dari semalam dan menjadi yang terbaik untuk hari esok dan seterusnya.

Marilah kita membina dan memperkukuh ukhuwah agar mendapat keredhaan Allah, kerana Allah amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah begitu juga dengan penduduk di langit. Dengan kukuhnya ukhuwah:

- menggembirakan malaikat di langit.
- dapat menambahkah pahala amal kita setelah meninggal kelak.
- dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan.
- dapat menambah dan menimbulkan keberkatan kepada rezeki.
- Allah melanjutkan usia kita.
- menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.
- akan disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada di sekeliling.
- dapat menggembirakan jenazah yang berada di alam barzakh.
- dapat mencetuskan kegembiraan pada kedua belah pihak, tiada amalan yang lebih baik melainkan menggembirakan hati orang-orang yang beriman.

Monday, July 19, 2010 14 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Kondomenium vs Rumah Teres







Balik dari majlis tahlil di rumah Julie di Seri Kembangan berdekatan South City Plaza, aku dan suami tumbang. Dgn keadaan masing-masing tak berapa sihat namun jemputan orang tak sampai hati nak dihampakan. Lebih-lebih lagi aku telah berjanji nak menghadiahkan kuih cara kegemaran mereka yang ditempah dari seorang teman.

Selepasa bacaan tahlil di rumah Julie di tingkat 8, kami diminta turun ke tingkat 5 untuk menjamu selera di dewan kondominium. Pemandangan indah berserta kolam renang yang membiru ditambah bau harum kambing panggang menggamit selera. Disertakan juga BBQ ayam, udang, sotong dan aneka jenis kuih, nasi lemak, bubur kacang durian dan buah-buahan.

Sayangnya tekak dan nafsu makan tidak mengizinkan sekadar menjamah mana yang perlu. Ditimpa hujan rintik yang romantik di sekitar kolam renang membuatkan badan yang terasa nak demam semakin parah. Sekitar 5.00 ptg kami berdua berangkat pulang.

Sungguh tinggal di kondominium mewah amat indah pemandangannya namun agak rimas dengan ciri-ciri keselamantannya yang agak ketat. Dari mula berjumpa guard bangsa asing di luar..mintak IC dan sain itu ini, tunggu guard buka gate di tingkat bawah untuk masuk ke lif, jumpa guard lagi untuk buka gate nak masuk ke kawasan kolam renang..hingga terdetik di hati apakah aku sedang melawat penjara Sg. Buloh.

Kini trend anak-anak muda yang berkemampuan mencari dan membeli kondo mewah. Bagi aku bagaikan tak berbaloi membeli rumah di kondo yang keluasannya tidak seberapa dengan harga RM248 ribu. Alangkah untung jika membeli rumah teres yang ada sedikit tanah dan tak payah turun naik mengambil barang yang tertinggal di kereta.

Namun lain orang lain citarasa. Ada dua orang lagi anak buah aku yang membeli Kondo mewah di Mutiara Damansara dan Sg. Buloh dengan harga RM500 ribu sebiji. Akhirnya kondo di Sg.Buloh itu ditinggal sepi apabila anak buah aku ke Perth, Australia untuk sambung bekerja di sana malah bercadang mungkin nak menetap di sana.

Nampaknya sebahagian kita sangat mementingkan ciri-ciri keselamatan seperti yang disediakan oleh kondomenium berbanding kita di kawasan perumahan teres ini. Akhirnya tepuk dada tanya hati dan poket kita.
Tuesday, July 13, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

PENCEROBOH..PENCURI..melawat rumah kita..?

11.00 pagi - aku di sekolah. Telefon dalam bag berbunyi. Terima panggilan dari Nadhirah. Dia tinggal sendiri di rumah setelah mak ayah pergi kerja dan abangnya ke sekolah.

Mak.., siapa kat depan gate kita ni mak. Ada orang lelaki asyik bunyikan loceng pintu.
Adik takut la..

Ha..! Jangan buka pintu..pastikan pintu dan grille berkunci..jangan keluar..duduk diam dalam rumah.
Adik kenal tak muka dia...jiran kita kot..ada hal penting agaknya..

Tak..adik tak kenal..orang lelaki naik motor merah..Honda Wave..
Mak.. dia buka pintu gate..dah masuk depan rumah kita..


Bunyi bising suara anak murid ditambah batteri telefon yang low..membuatkan suara Nadhirah tenggelam timbul. Telinga aku pun boleh tahan berkarat..


Adik..! Orang tu buat apa..

Mak...dia amik tangga ayah..bawak lari naik motor hala ke UKM sana..
Agaknya kawan ayah kot mak..mungkin ayah suruh pinjam tangga kat rumah kita..

Tak tau la..nanti mak call ayah. Ok.. adik hati-hati..jap lagi mak balik.


Talian telefon bersambung kepada suami pula..


Bang.., adik bagi tau ada orang lelaki tak dikenali datang rumah. Dia amik tangga abang bawak lari naik motor. Tak minta izin pun..abang ada suruh kawan datang amik tangga dari rumah kita ke..?

Tak ada..hem.. suruh adik keluar kunci pintu gate dengan mangga. Takut kalau-kalau dia datang balik..suruh dia masuk cepat dan kunci pintu..

Ok..


Selesai kelas dan uruskan murid.. aku bergegas pulang. Sampai rumah memang sah tangga kesayangan suami aku dah kena pinjam @ curi dengan seseorang yang berminat dengannya.

Aku tak marah pun sebab....:

a. Siapa suruh cuai tak amalkan kunci gate dengan mangga/padlock.

Setakat keluar dekat-dekat apalagi kalau ada orang dalam rumah kami main selak gitu jer pintu gate tanpa di mangga. [padan muka aku..]

b. Siapa suruh big boss degil tak nak dengar nasihat bini dia suruh simpan tangga dalam rumah.

Dah banyak kali sound tapi dia buat derk jer sebab malas nak usung keluar masuk bila nak pakai. Tangga tu berguna bila nak petik buah-buahan di kebun dia yang berekar-ekar tu. Bila buah-buah tu tinggi sangat kedudukannya maka tangga amat berguna untuk memungut hasil dan mencantas ranting/dahan. [padan muka kita juga a..klu kata muka dia kang takut tersinggug gitew..]

c. Jangan suka harap Pak Guard jaga rumah kita sebab dia mula kerja jam 8.00/9.00 malam hingga 6.00 pagi. Hari siang sila jaga sendiri harta benda benda anda.

Walaupun pondok Guard terconggok depan rumah kita bukan bermakna kita boleh santai-santai dan lepa. Malam hari bolehlah salahkan pak guard..siang hari salah diri sendiri ler..ngee..


Kepada si pencuri @ peminjam tangga, kalau tujuan nak guna silakan dan kalau-kalau dah bosan terasa nak pulangkan..hantar balik letak bawah pokok jambu ok.

Kepada adik yang tengok jer pakcik tu amik tangga ayah awak di sebalik sliding door tinted tu..apsal tak sergah je dia. Penyanggak tu bukan boleh masuk pun..(ye ker..?)
Mesti dia ingat rumah kita tak ada orang. Tadi dia acah-acah aje bunyikan loceng.. nak tau samada ada orang tak dalam rumah. (..salah aku gak suruh dia duduk diam-diam dalam rumah..).

Satu lagi kenapa adik tak catit nombor motor dia..dah kenal motor jenis apa dan warna dia..paling penting no plate motor tu..ingat tu dek..lainlah adik tengah panik.

Ini amaran untuk semua ahli keluarga kita. Keluar rumah, masuk rumah - kunci pintu dan grille sekali. Keluar dan masuk gate - selak dan mangga. (..malas nyer..)
Mak dah kata..kita sekarang hidup macam dalam penjara..hu..hu..kenalah terima hakikat. Nasib baik dia curi tangga aje, motor ayah yang tak bermangga elok jer berdiri sebelah tangga tadi..mujur dia tak kebas sekali..(..nauzubillah..)dan alhamdulillah..dia buat-buat tak perasan kot.

Pagi pagi makan pengat..sendiri mau ingat..!!
Monday, July 12, 2010 9 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

...12 Julai 2010...


Assalamualaikum mak. Apa khabar mak di rumah Damai Impian D’Bangi?. Harap mak, ayah, angah, adik berada dalam kedaan sihat sejahtera. Kakak di UiTM Segamat ni sihat sejahtera aje :')

Ok ok.. sebelum tu.. teman-teman, mari kita menyanyi dulu untuk mak saya.. hehe

Happy Birthday to you...
Happy Birthday to you...
Happy Birthday to Mak ku...
Happy Birthday to you...

yeay.. tepuk tangan...


Hehe.. Tujuan kakak menyelinap masuk kat blog mak ni kerana nak buat entry untuk mengucapkan Selamat Ulangtahun kelahiran mak yang ke 45. Alhamdulillah. Semoga mak murah rezeki, panjang umur serta sentiasa sihat sejahtera. Amin. Eh semoga mak sentiasa nampak awet muda juga hehe.


Muka mak dan kakak samakan?


Asnawi@ Angah....


Nanti kakak balik kita celebrate birthday mak ye. Tapi mesti mak dah celebrate dengan ayah dan adik-adik dulu kan. Masak sedap-sedap atau makan kat restoran yang sedap-sedap jugak kan hehe.


















Selamat Ulangtahun Kelahiran ye mak ku.. I Love You So Much...

Sekian dari kakak...



Happy Birthday Mak ku...

Sunday, July 11, 2010 0 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

...SAAT..

Aku berkenan sgt dgn kata-kata indah dari puisi yg dikutip dri salah seorg blogger..ia menyusup ke sanubari...


....SAAT....

Di saat kamu ingin melepaskan seseorang..
Ingatlah pada saat kamu ingin mendapatkannya..

Di saat kamu mulai tidak mencintainya..
ingatlah saat pertama kamu jatuh cinta padanya..

Di saat kamu mulai bosan dengannya..
ingatlah selalu saat terindah bersamanya..

Di saat kamu ingin menduakannya..
bayangkan saat waktu dia selalu setia..

Di saat kamu ingin membohonginya..
ingatlah saat dia jujur pada mu..

Maka kamu akan merasakan erti dia untuk mu.
Jangan sampai di saat dia sudah tidak di sisi mu..
kamu baru menyadari semua erti dirinya untuk mu..

Yang indah hanya sementara..
Yang abadi adalah kenangan..
Yang ikhlas hanya dari hati..
Yang tulus hanya dari sanubari..

Tidak mudah mencari yang hilang..
Tidak mudah mengejar impian..
Namun yang lebih susah mempertahankan yang ada..
Kerana walaupun tergenggam bisa terlepas jua..

Ingatlah pada pepatah;
"Jika kamu tidak memiliki apa yang kamu sukai.., maka sukailah
apa yang kamu miliki saat ini.."

Belajar memerima apa adanya..lalu berfikir positif..
Hidup bagaikan mimpi.., seindah apa pun..
begitu bangun..semuanya sirna tak berbekas..

Rumah mewah bagai istana, harta benda tak terhitung..
Kedudukan dan jabatan yang luar biasa.. namun..

Ketika nafas terakhir tiba..
Sebatang jarum pun tak bisa dibawa pergi..
Sehelai benang pun tak bisa dimiliki..
Apalagi yang mau diperebutkan..
Apalagi yang mau disombongkan..

Maka..jalani hidup ini dengan keinsafan nurani..
Jangan terlalu berhitung..
Jangan hanya mau menang sendiri..
Jangan suka sakiti sesama sendiri..

Apalagi terhadap mereka yang berjasa bagi kita..
Berlajarlah tiada hari tanpa kasih..
Selalu berlapang dada dan mengalah..
Hidup ceria...bebas terasa...

Tak ada yang tak bisa diikhlaskan..
Tak ada sakit hati yang tak bisa dimaafi..
Tak ada dendam yang tak bisa terhapus..
Saturday, July 10, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

BUDU. Dulu-dulu kalau sebut budu aku selalu terbayangkan "berudu" anak katak warna hitam yang boleh berenang dan selalu aku sangkakan ianya anak ikan. Aku tidak pernah kenal budu, rasa budu dan makan budu sehinggalah aku keluar dari daerahku Batu Pahat, Johor untuk melanjutkan pelajaran ke ITM Shah Alam.
Setelah bergaul dengan kawan-kawan dari pelbagai negeri, barulah aku dengar pasal budu dari teman yang berasal dari Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu. Apabila selalu ke gerai makan atau ke bazar Ramadhan di Sek 2, aku terpersona melihat nasi kerabu yang berwarna biru. Tidak pernah merasanya seumur hidup dan keinginan mencuba menyebabkan aku kenal serba sedikit apa itu budu.
Bagaimanapun aku langsung tidak minat dengan budu itu kerana bau dan rasanya yang pelik dan masin. Seumur hidup aku hanya kenal kicap masin/manis sebagai menambah perisa sewaktu makan nasi bukan budu.
Sedari kecil aku hanya kenal dan minat sambal belacan sebagai bahan colet kepada ulam-ulaman. Walaupun mak ayah biasa makan tempoyak dan cencaluk namun bahan ini langsung tidak membuka selera aku. Bila dicuba aku rasa semacam dan tidak tahan mencium baunya yang dirasakan wangi bagi peminat makanan sampingan ini.
Minat makan tempoyak hadir setelah tinggal selama lebih kurang 8 tahun di Port Dickson, N.Sembilan. Oleh sebab jiran tetangga kiri kanan orang Negori selalulah aku dijamu dengan resepi masakan yang berasaskan tempoyak. Hingga sekarang jadi peminat tempoyak walaupun jarang-jarang ada stok dalam rumah melainkan dihadiahkan oleh kawan-kawan.
Cencaluk aku kurang minat walaupun sesekali mencubanya juga bila teringin. Tak tahan masin dan anak-anak kami kurang senang dengan kesemua bau-bauan benda-benda ini yang terasa menyengat deria bau mereka hingga terasa loya di tekak. Tidak hairanlah kalau budu, cencaluk, tempoyak jarang sekali terhidang dalam menu harian kami berbanding sambal belacan dan sambal kicap.
Bagaimanapun budu telah menjadi hidangan istimewa aku dan suami semenjak teman sekerja menghadiakan sebotol pada kami tempohari. Entah kenapa rasanya boleh membuka selera tambahan bila dicolet dengan ulam-ulaman seperti petai, jantung pisang, bendey celur dll. Malah semasa aku teringin makan maggie soto telur yang boring rasanya, aku masukkan sedikit budu dan wow..licin semangkuk maggie aku kerjakan.
Cukuplah buat sementara ini aku menghadap budu sepenuh hati. BP pun dah bagi amaran, budu tu masin..jangan melampau ikut selera tekak dan nafsu. Kalau tumbang masuk hospital..semua susah nanti.
Wednesday, July 7, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

KENA PENJARA...?

Aku terpenjara..!! Kat mana..? Penjara Sg. Buloh.., Penjara Pudu tak mungkin dah kena roboh. Lokap polis..tak mungkin aku tak buat salah. Setakat terlanggar lampu merah, terlupa pakai seat belt, terparking sepah-sepah dan terlambat bayar saman...ter itu ter ini...boleh kena penjara ke?

Memang secara tidak resminya aku terasa seperti terpenjara. Terpenjara di dalam rumah sendiri. Bukan kena dera suami sampai kena kunci pintu dari luar. Tapi oleh keadaan, situasi dan pemikiran.

Keadaan semasa, sekarang ini, zaman ini seolah-olah tidak membenarkan aku lepas bebas keluar masuk walau di rumah sendiri. Ada kalanya aku bosan dan sedikit tertekan. Aku ingin sekali membuka pintu seluas-luasnya dari pagi sampai malam menghirup udara segar kononnya dengan lepas bebas dan santai. Biarkan aku sekeluarga bebas keluar masuk tanpa memikirkan sebarang risiko.

Malangnya aku wajib memikirkan untuk sentiasa mengunci pintu pagar, grill pintu, tingkap dan apa-apa saja yang berlubang kiri kanan, atas bawah hanya kerana bimbangkan penyangak dan penceroboh. Itu belum lagi mereka yang pasang security alarm, cctv dan segala bagai sistem pengesan perompak dan pencuri. Rimas dan lemas dibuatnya.

Keluar buang sampah tutup grill, masuk amik baju nak dijemur..tutup grill, dah jemur baju masuk balik tutup grill. Posmen datang..keluar tengok surat bukak grill, masuk rumah balik tutup grill dan kunci pintu. Anak balik sekolah..amik kunci buka pintu dan buka grill, masuk tutup pintu dan grill..kunci. Petang suami balik..cari kunci buka pintu bukak grill. Tutup.. kunci, buka.. kunci balik. Gituuuu..jelah kerjanya tiap waktu. Cuba-cuba hilangkan salah satu kunci pintu atau grill pintu, mau kecoh satu rumah dibuatnya. Silap-silap boleh bercerai laki bini.

Terancam sangat ke kehidupan kita hari ini. Setiap kali balik kampung, aku naik seriau bimbang bila tengok pintu terdedah terlapang sedangkan penghuninya ada nun di dapaur atau santai-santai dalam rumah. Tak takut ke kena masuk penyamun atau dimasuk perompak. Setahu aku rumah mertua aku belum pernah dimasuki pencuri perompak walaupaun kedudukannya agak terpisah jaraknya antara satu sama lain. Beruntung betul hidup mereka tidak terlalu bimbang macam aku yang tinggal di bandar ni.

Kata orang belum kena belum tahu. Mintak lindung ya Allah dari segala mara bahaya. Tapi aku ada pengalaman menarik juga semasa pulang bercuti di kampung suami dulu. Masa tu cuti umum, aku sekeluarga tinggal sehari dua di sana menziarah orang tua. Di kampung cuma tinggal ibu mertua dan dua orang cucunya sebagai peneman dia di rumah waktu malam.

Malam itu aku sekeluarga memilih tidur di ruang tamu. Berderet semua terlentang tidur nyenyak kerana kepenatan dalam perjalanan siang tadi. Menjelang pukul 3.30 pagi, suami terjaga untuk ke bilik air menunaikan hajat. Ada juga dia mengejutkan aku, tapi mata aku masih mengantuk ala-ala mamai dan terlena semula. Bilik air dan tandas pulak terletak di luar rumah.

Suamipun pergi seorang diri, selepas membersihkan diri dia mengambil wudhuk kerana hendak bersolat malam..bertahajjud dsbnya. Naik ke rumah dia pun merapatkan pintu utama tadi dan tidak perasan samada sudah menguncinya atau belum. Langsung dia membentang sejadah dan memulakan solat sunat. Masuk rakaat ke dua, dia terdengar pintu seperti ditolak orang perlahan-lahan tapi tidak terbuka. Malam sunyi sepi tentu jelas sebarang bunyi.

Solat sudah tidak khyusuk lagi, hati dah kerisauan bila pintu berbunyi lagi. Akhirnya suami memberhentikan solat dan menuju ke pintu yang tidak jauh dari tempat dia bersolat. Suami jangkakan kucing-kucing yang dilihatnya di luar tadi bermain di pintu. Tanpa rasa ragu dia pun membuka daun pintu dan alangkah terkejutnya dia apabila di hadapannya tercegat seorang lelaki sedang memegang sebilah parang panjang di tangannya dan seolah-olah hendak menakuk kepalanya.

Sesungguhnya ALLAH swt itu maha berkuasa..hanya kepadaNya kita memohon perlindungan. Dalam keadaan suami dan penjahat itu berdepan tiba-tiba penyangak itu memalingkan diri dan berlari dengan parangnya menuju ke hadapan jalan lalu hilang dalam kegelapan. Suami segera menutup dan mengunci pintu dalam keadaan agak ketakutan.

Cepat-cepat dia mengejutkan aku dan ibu mertuakua supaya berwaspada kalau-kalau penjahat tadi dan kawan-kawannya masih berada di sekitar rumah. Aku pada mulanya tidak percaya dan menuduhnya mengigau. Bila dia menceritakan keadaan sebenar barulah aku kecut perut. Maklumlah kalau dia bertindak ganas tadi, apalah nasib kami sekeluarga dan semua di dalam rumah. Mujurlah dia cabut lari dan syukur tidak datang-datang lagi. Bimbang juga kalau-kalau dia memanggil kawan-kawannya menyerang kami malam itu. Esoknya kami mendapat khabar, beberapa rumah penduduk kampung dimasuki pencuri dan kehilangan barang-barang berharga.

Suami yang agak terkejut mengalami fobia buat beberapa lama. Terutama bila kami pulang ke kampung dan harus bermalam di sana. Sebolehnya dia tidak mahu lama-lama. Sehingga sesudah berada di rumah sendiri pun dia selalu terjaga malam dan bagaikan terkejut apabila terdengar sebarang bunyi. Dia akan terbayang-bayang pengalaman tersebut. Syukur fobianya itu telah beransur hilang.

Sebenarnya..lebih baiklah kita berjaga-jaga sebelum terkena. Apapun yang akan dan telah terjadi kehendak Allah juga. Begitu ramai orang yang memasang segala kelengkapan keselamatan dengan terperinci untuk rumahnya namun kalau dah ditetapkan pencuri perompak akan masuk juga maka apalah daya upaya kita malainkan bersyukur andai nyawa tidak melayang. Setakat kehilangan harta benda, boleh dicariganti yang lain.

Namun jika Allah hendak menguji sehingga terbangnya nyawa kerana kekejaman penjahat tadi, tentu sekali ia telah ditentukan oleh Allah yang terpaksa kita terima walaupun ia begitu tragis sekali. Tugas kita hanya memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah agar keselamatan diri dan keluarga serta rumahtangga kita terselamat dari sebarang dengki khianat manusia. Berdoa juga untuk jiran tetangga, kariah dan kampung kita supaya dijaga juga oleh Allah sepanjang masa.

Mudah-mudahan kita semua hidup dalam aman sejahtera hendaknya. Yang pasti sesiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah..pasti Allah juga akan menjaganya, insyallah..
Sunday, July 4, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

SI MERAH JAMBU...idaman kalbu..



Si merah jambu cantik berseri..tersenyum manis di waktu pagi..puas dipandang setiap hari..apakah malang tiada yang sudi...
Aku naik kesian juga dengan pokok jambu air yang lebat berbuah depan rumah. Tak mau kalah nak bersaing dengan pohon mempelam yang tak kurang menghasilkan buah yang agak lebat dan manis isinya.
Dulu tuan dia sibuk cari anak pokok jambu untuk ditanam supaya nanti boleh dijadikan tempat berteduh. Seandainya ia sudi berbuah dapat juga dimakan dan dijamahkan jiran tetangga. Paling tidak pun dapat bersedekah pada burung, tupai dan sang unggas yang keluar mencari rezeki.
Sebenarnya seperti dijanji tuan yang menjual benihnya dulu, si pohon jambu ini akan menghasilkan buah jambu yang besar, berwarna merah dan lemak manis rasanya seperti dijual di gerai buah dan pasaraya. Harganya pun boleh tahan.
Kini apabila ia mengeluarkan buah, hasilnya tidak seperti yang dijanjikan. Ternyata ia bukan dari jenis jambu yang dijanjikan. Mungkin dulu si penjual itu tersilap atau sekadar mahu melakukan jualannya.
Apapun kami tetap bersyukur..cuma seisi keluarga menunjukkan reaksi kurang minat dan kurang berselera untuk memakannya. Berbanding buah mempelam/mangga yang menjadi saingan hebat si merah jambu.
Bagi peminat jambu air...pantang jumpa, dicari kicap masin...digaul gula pasir malah ada yang dilenyek dengan cili api lalu dicecah dan dikunyah dengan berselera sekali. Mau meleleh air liur kita melihatnya.
Aduhai si merah jambu..terima kasih menyerikan hari kami dan menyumbang pahala pada tuanmu. Sekurang-kurangnya rasamu yang lemak manis itu masih ada teman-temanku yang sudi. Sang tupai dan beburung juga kenyang memperoleh rezeki di pagi hari. Pohonmu yang rendang juga jadi tempat berteduh kereta tuanmu dari sengatan panas terik matahari.
Syukur kepada Mu ya Allah...apa saja kurnia MU tidak akan pernah sia-sia melainkan ia pasti memberi manfaat kepada seisi dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...