Thursday, June 16, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

SELAMAT HARI BAPA...abah, ayah, bapak...




Katanya bulan Jun ada sambutan hari bapa. Bulan lepas hari ibu. Alah.. suka-suka saja sesiapa yang nak menyambutnya dengan mengajak ayahanda atau bonda masing-masing pergi makan-makan atau bagi hadiah dan ucapan kasih sayang. Tak salah pun. Tak sedapnya, tiba-tiba ada pulak yang menyatakan sambutan begitu adalah haram. Sesetengah masyarakat kita memang mudah benar menghalalkan dan mengharamkan sesuatu. Perkara yang pasti haramnya pandai-pandai nak dihalalkan..semacam ikut selera masing-masing saja.

Aku ni dah lama tiada beribu dan berbapa lagi setelah kedua-duanya kembali menghadap Illahi. Baik ibubapa kandung mahupun ibubapa saudara yang memelihara, mendidik dan membesarkan aku sejak lahir. Yang pasti segala jasa mereka tidak akan terbalas olehku. Melalui ibubapa kandung, aku lahir ke dunia ini. Bersama ibubapa saudara(makcikku) aku dibesarkan, diberi pendidikan dan ditumpahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Beruntung rasanya kerana dianugerah Illahi dua orang bapa. Peliknya aku tidak merasa kasih sebenar bapa kandung kerana dia langsung tidak memeliharaku dan tidak juga rapat dengan aku berbanding pakcik-pakcik aku yang lain. Syukurnya dia sudi menjadi wali semasa hari pernikahan kami dan aku cukup berterima kasih atas kesempatan itu. Barulah benar-benar terasa bahawa aku sebenarnya punya bapa kandung. Gembira dan terharu mengenangkannya.

Seorang lagi bapa yang memelihara aku adalah suami pada makcikku sendiri, adik bongsu bapa kandungku. Bersama dialah aku benar-benar rasa ni'mat mempunyai seorang bapa. Dia menyayangi aku bagai menatang minyak yang penuh. Kasih seorang bapa terasa begitu tulus dan ikhlas, sentiasa penuh kasih sayang sehingga akhir hayatnya. Pada usia 87 tahun dia meninggalkan aku dan alhamdulillah saat-saat akhirnya dia tinggal di hospital aku sempat menjaganya selama seminggu atas izin suami.

Seorang lagi bapa yang sempat aku menumpang kasih adalah bapa mertuaku. Dengan rupa wajah yang serius berserta bentuk badan yang tegap walau sudah berusia, aku agak kecut perut sewaktu mula-mula aku diperkenalkan dengannya. Suaranya saja bila menegur anak cucu boleh membuatkan mereka menikus semuanya.

Rupanya bila sudah berkumpul menjadi ahli keluarga ternyata tanggapan aku meleset. Dia memang nampak bengis namun hatinya lembut dan penyayang. Aku begitu rapat dengannya. Boleh berbual dan bertanya apa saja. Bersembang dan berceloteh sambil gelak ketawa. Ibu mertuapun kadang-kadang naik pelik. Berani betul menantu dia yang satu ini. Suami aku pun kurang berani nak bersembang sesuka hati dengan 'bapak' sebab dari kecil dia kurang rapat apalagi beramah mesra seperti aku dengan 'ayah' bapa saudara yang memelihara aku.

Dengar cerita adik beradik kandung aku, 'abah' bapa kandung akupun tak kurang garang dan panas barannya. Patutlah mereka selalu mengatakan betapa aku beruntung diberi kasih sayang oleh makcik aku bersama suaminya. Cemburu mereka melihat kemesraan kami sekeluarga. Demikianlah betapa bijaknya susun atur Allah swt dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Maha Berkuasa Allah tidak pernah menzalimi seseorang bahkan setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya.

Maka akulah antara insan yang selalu mengucap syukur atas ni'mat mempunyai bapa seperti yang Allah swt izinkan. Aku akan sentiasa mendoakan kesejateraan buat ketiga-tiga bapa kesayanganku ini. Segala jasa, budi baik dan kasih sayang mereka hanya Allah swt yang akan membalasnya. Buat allahyarham Abah, Ayah dan Bapak.. anakanda, suami dan cucu-cucumu mendoakan mudah-mudahan kalian ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Sejatera dan aman damailah kalian di sisiNya. Salam rindu kami buatmu..Al Fatihah.

Buat suami tercinta, setinggi-tinggi terima kasih kerana menjadi idola kepada anak-anak. Sifat-sifat mulia seorang bapa ada dalam dirimu. Pantaslah dirimu dikasihi dan disayangi sepenuh hati sebagaimana mereka mengasihi diriku sebagai seorang ibu.

4 comments:

Pn Kartini said...

Assalamualaikum my dear sis:)

Selamat Hari bapa utk orang2 kesayangan akak juga...dan utk mereka yg bergelar BAPA!..:)

Untuk arwah ayahanda..sama2 kita sedekahkan Al-fatihah...
(........setelah pemergiannya..terasa rindu menebal di jiwa!....:(..)

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam Tinie,

masyallah..kehadiran seorang bapa dalam hidup kita adalah satu anugerah sebagaimana jua kehadiran seorang ibu, begitu banyak kenangan terakam dalam kenangan.

al fatihah dan doa kini mengiringi pemergian ayahanada kita tersayang..setiap waktu, penuh rindu..

ridoma said...

alhamdulillah kerana msh mpyai bpa.. al fatihah untk arwah ayh aunt...

inspirasicyber said...

bapa juga seperti ibu.memberi pengorbanan yang tak ternilai oleh kita...tak terbalas dengan wang ringgit...rajn2lah ziarah mereka jika berjauhan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...