Tuesday, May 31, 2011 3 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Sambutlah REJAB, SYAABAN dan RAMADHAN ..



Alhamdulillah..syukur ke hadrat Illahi, sampai jua usia bertemu dengan tiga bulan mulia iaitu REJAB, SYAABAN dan RAMADHAN. Kutip dan titiplah pahala sebanyak mungkin.Bermula dengan Rejab, ayuh perbanyakkan berpuasa sunat dan lipatgandakan amal ibadah. Sekurang-kurangnya kita sudah pun berniat yang baik-baik, selebihnya berusahalah kita melaksanakannya mengikut keupayaan masing-masing.

Bagi kaum wanita, khusus para isteri. Jangan lupa memohon keizinan suami tercinta sebelum melakukan puasa sunat, Jangan nanti alasan letih dan penat berpuasa dijadikan alasan tidak melayan makan minum dan keinginan suami. Dibimbangi ganjaran pahala yang dicari.. dosa pula yang menghampiri.

Inilah juga masa paling cantik bagi kaum wanita yang berhutang puasa pada Ramadhan yang telah lalu. Sambil wajib membayar hutang dapat juga pahala berpuasa di bulan Rejab. Jangan bertangguh, qada' puasa itu wajib dan jangan diambil ringan.

Sambil menyeru pada diri sendiri..mari kita berazam untuk beramal dan beribadah sebanyaknya. Ayuh kita muhasabah diri, mengenang dosa-dosa dan salah silap yang sengaja atau tidak kita sedari. Mari kita insafi dan koreksi diri di bulan Rejab ini. Insyallah menjelang Syaaban seterusnya Ramadhan, mudah-mudahan kita sudah sedikit sebanyak mempersiapkan hati nurani, akal fikiran, tingkah laku, percakapan dan tindakan, selari dengan tuntuan agama.

Menurut maksud sebuah hadith Rasulullah SAW bermaksud, sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Rejab..maka Allah SWT menyeru kepadanya;

"Telah wajib hakmu atas-Ku, mintalah olehmu kepada-Ku. Demi ketinggian dan kebesaran-Ku, tidak akan Aku tolak hajatmu. Engkau adalah jiran-Ku di bawah 'Arasy-Ku. Engkau kekasih-Ku daripada semua makhluk-Ku. Engkau mulia di sisi-Ku. Berbahagialah kamu, tiada hijab di antara Aku dan engkau."

Ayuh kita rebut pahala kesemuanya dengan rahmat Allah. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bermaksud;

"Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulan ku (Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku."

Akhir kalam, sebagai seorang yang tidak lepas membuat dosa..dengan penuh keinsafan diriku memohon ampun dan maaf zahir dan batin. Andai pernah bicara dan tingkah lakuku menyinggung serta menyakiti hati kalian duhai sanak saudara dan teman-teman semua. Doaku semoga kehidupan kalian diberkati dan dirahmati Illahi di dunia dan akhirat. Amin..



Sunday, May 29, 2011 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Makan buah berangan sambil berangan-angan...

Hari Ahad lepas Zohor aku, suami dan Sakinah ke jemputan kawin di rumah Hj Roslan Sek 15. Selesai menjamu selera dan bersalaman dengan tuan rumah, kami menuju ke PKNS untuk mencari barang-barang keperluan rumah.

Sampai hujung bulan pepandai jer aneka barang keperluan kat rumah ni menyusutkan diri. Sabun basuh, pencuci lantai, pencuci toilet, shampoo, bawang kecik, besar, putih, merah, kentang, gula, beras, milo dan seribu macam jenis benda dah tinggal ciput dan kehabisan. Makanya encik suami kenalah menjalankan tugasnya memenuhi keperluan seisi rumahtangga yang digelar nafkah zahir.

Sila penuhkan troli di pasaraya dan kayakan tokey Billion tempat aku selalu bershopping keperluan rumahtangga. Senang ke sini sebabdekat rumah dan semuanya ada. Lagipun kami dah hafal semua rak yang perlu dituju. Biasanya barang yang nak dibeli lebihkurang itu juga tiap bulan. Inilah masa nak capai apa saja untuk diselit-selitkan bagi memenuhkan troli, itu encik suami yang pesan. Hari lain tawaran ditutup, ek eleh..

Dah bertolak balik sempat lagi suruh suami singgah jap beli buah berangan kat tepi jalan. Ini buah febret aku sejak kecil. Buah berangan yang digoreng dengan pasir/batu kecil-kecil dalam kuali di atas api kebiasaannya dikuasai peniaga Cina. Kini dah ramai orang kita yang mengambilalih perniagaan ini. Eloklah tu, cuma.. carilah buah yang bermutu dan pastikan yang fresh.

Pernah aku terkena peniaga melayu dan cina, menjual buah berangan yang isinya agak kecut dan kering. Akibatnya rasa isinya sudah tidak lemak manis lagi. Hilang keenakan memakannya. Sedangkan isi buah berangan yang bermutu, tatkala disuapkan ke mulut lalu dikunyah..masyallah sedapnya tidak terkata. Lemak..manis.. memang membuatkan aku di awang-awangan. Sedikitpun aku tak terasa jemu dan penat mengopek kulitnya yang yang tebal dan ada kalanya agak payah dibuka.

Mengunyahlah aku dengan ni'matnya sambil berangan-angan sepuas-puasnya. Cuma satu masalah setelah isi buah berangan ini hadam dalam perut, ia akan menghasilkan angin-angin semulajadi yang keluar agak kerap walaupun perut kita tidah terasa kembung. Eloklah tu kan..kan.. dan jaga diri baik-baik agar tidak dipandang kurang adab apabila berada di hadapan orang ramai. Sebenarnya kalau orang tak ramai lagi bahaya.. ek..!

Tak pasal-pasal dah berpuluh tahun makan buah berangan, tetiba dapat idea baru. Nampak adik syok makan cheese depan mata, kecurlah pulak. Mulut tengah kunyah buah berangan, masukkan pulak sepotong cheese dan kunyah sekali rap. Masyaallah... teramat sedaplah pulak. Bertambah-tambah rasa lemak manis masin buah yang dah sedia sedap tadi. Geleng kepala suami dan anak-anak tengok. Dasar kuat makan dan tak reti berpantang. Pantang jumpa pandai laa..

Memang pantang jumpa buah berangan. Aku boleh mengadap sorang-sorang, sambil tengok tv. Sepeket buah berangan berharga 5 atau 10 henggit aku kunyah sampai letih. Dah diaorang kat rumah ni tak berapa minat sapa suruh. Kang tak habis suami kata aku kaki membazir. Maka layan jerlah..penat aku stop kejap..kang lapang sambung makan lagi..

Makan buah berangan juga mengingatkan zaman bebudak aku. Bila kami makan sebiji buah cempedak di rumah, bijinya mak suruh kumpul. Lepas tu dia cuci, rebus dalam air campur sedikit garam. Bila empuk, panas-panas lagi aku dah berebut nak makan. Bestnya makan ramai-ramai, waktu tu bukan senang nak makan buah berangan. Kena beli dengan apek cina tepi kedai kat bandar dan harganya mahal loh.. Oleh itu jangan membazir buang biji cempedak begitu saja.


Pandai-pandai anak dara aku layan maknya makan, siap tolong kopekkan kulitnya dan gulungkan dengan cheese.. kasi up grade ini buah berangan. Kalau gini gayanya dihidangkan kat hotel mesti melambung-lambung harganya sebiji.

Kepada sesiapa yang juga peminat makan buah berangan, cubalah resepi dan teknik baru ni. Aku yakin ia tidak mengecewakan citarasa anda, cuma pastikan tekak kalian boleh terima chesee keping-keping yang sesuai untuk bebudak nak membesar. Banyak sangat makan kang badan yang dah sedia membesar cam aku ni akan mengembang biak macam bini king kong pulak. Makanlah dengan berpada-pada. Selamat mencuba.
Friday, May 27, 2011 7 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Bila sudah ajal...

Foto terakhir beberapa minit sebelum Tatam pergi meninggalkan kami...

Al kisahnya, aku sekeluarga masih bengkak2 mata kesedihan di atas kematian TATAM kucing kesayangan kami. Petang semalam lebih kurang pukul 4.00 ptg, aku dan Nur Sakinah keluar membeli barang keperluan di Giant, Bangi. Dalam perjalanan balik kira-kira jam hampir 6.00 ptg, suami telefon mengatakan Tatam dah terbaring mati di atas rumput di hadapan rumah tempat aku parking kereta.

Masyallah.. sebelum memulakan perjalanan tadi aku dan kakak sempat bermain2 dan mendukung Tatam sambil kami snap beberapa keping gambar. Oleh kerana Tatam dan Tom suka bermain di bawah kereta, maka setiap kali sebelum memulakan perjalanan kami akan pastikan mereka berada di tempat yang selamat.

Sakinah telah pasti Tatam dan Tom berada di dalam pagar di halaman rumah, baru kami mulakan perjalanan. Kami bergerak tanpa merasa dan mendengar sebarang perkara yang tidak diingini. Kami begitu yakin bahawa Tatam sedang bermain dengan Tom di dalam halaman rumah. Apakan daya...sesungguhnya Allah swt jua yang memegang nyawa setiap makhluk.

Tiba-tiba dengan sekelip mata, aku menerima panggilan suami Tatam telah tiada. Dalam telefon suami berkali-kali bertanya adakah aku yang terlanggar Tatam tadi. Aku tau dia tersangat sayangkan Tatam. Tatam juga memang teramat manja dengan dia. Kedua-dua ekor kucing begitu rapat dengan suami. Setiap kali mendengar bunyi kereta dan motor suami yang baru pulang dari tempat kerja atau surau/masjid, pasti kedua-duanya akan berlari-lari menyambut tuannya.

Aku tidaklah terlalu terkesan sekiranya benar aku yang terlanggar Tatam sebab aku sedikitpun tidah perasan akannya. Seandainya pada ketika itu aku terasa dan terdengar bunyi aku sedang terlenyek Tatam, lalu dengan cemas keluar dari kereta melihat dia cedera parah dan mati di depan mata... pasti perasaan menjadi teramat pilu ditambah dengan rasa bersalah sampai bila-bila.


Lihatlah Tatam yang comel, manja dan cerdik. Bukan mudah melupakan kenangan bersama dia..

Tom memandang pilu jasad Tatam yang ditutup akhbar, saat ini suami masih tidak sanggup hendak menggali tanah dan mengabdikan jasadnya. Suami mahu menunggu adik pulang dari sekolah untuk menatap buat kali terakhir jasad Tatam... Akhirnya setelah kembali berjemaah maghrib di surau, barulah datang kekuatan bagi menanam jasad Tatam. Kebetulan lubang sudah sedia digali beberapa hari untuk suami menanam pohon kuini atau gajus yang dibelinya. Rupanya perancangan Allah termakbul dahulu. Lubang digali rupanya untuk menempatkan kucing kesayangnya buat selama-lamanya.

Masakan boleh melupakan Tatam begitu mudah, setelah melihat dia lahir ke dunia di depan mata. Menjaga dan memelihara semasa sakit dan sihatnya. Bermain, bergurau dan bermanja dengannya adalah memori paling indah....

Pagi selepas solat Subuh, aku masih sempat bermain dan mengambil gambarnya yang sibuk hendak menangkap tali kamera... Selamat tinggal Tatam 26.11.10 - 27.5 11.

Kelihatan Tatam yang sedang melunjurkan kaki. Saat-saat manis mereka berkumpul anak beranak. Akhirnya hanya Tatam dan Tom yang kami pelihara. Dua lagi adik beradiknya kami beri kepada tuan baru dan begitu juga dengan ibunya yang sarat bunting kali kedua.

Duhai Tatam yang kami kasihi... Allah lebih menyanyangi kamu.. syukur masih ada Tom buat pengubat rindu dan Tom juga kelihatan tercari-cari kerana dia pasti sunyi tanpa Tatam tempat bergurau, bergumpal dan berkejar-kejaran sepanjang hari...

Angah yang juga sangat memanjakan Tatam dan Tom pasti sedih dan terkilan tidak dapat bersama Tatam sejak dia berada di UiTM, Jengka. Angah sangat perihatin dan paling rajin ke kedai membelikan makanan Tom dan Tatam. Dia belum dikhabarkan akan kematian Tatam.

Aku tak mahu berlarut dalam kesedihan, nak happykan hati dan perasaan.. Kematian memang suatu peringatan bagi kita.. kematian haiwan kesayangan pun kita bersedih, inikan pula perginya orang tersayang di sekeliling kita. Sungguh.. kematian adalah perkara paling hampir dengan kita. Sangat hampir... dan akan tiba bila-bila.


Berita gembira bila pertama kali mendengar suara Angah di telefon. Suara girang berbaur sebak bila dia dapat bercakap dengan ibunya. Kata Angah dia sihat dan merasa seronok menjalani minggu mesra siswa di kampus. Kesemua siniors baik-baik, rakan sebilik ok, makan sedap, tidur nyenyak walaupun program sangat padat. Bangun 4.30 pagi dan selesai jam 1.00 malam. Seronok katanya dapat solat berjemaah setiap waktu dan akan cuba kekalkan seperti yang maknya pesan. Alhamdulillah....setiap waktu mak ayahnya mendoakan yang terbaik untuknya. Nanti ada cuti panjang dia akan pulang ke rumah dan tak sabar menanti saat itu.



Di hari pendaftaran... berdebar-debar akan menempuh hidup baru di kampus dan suspen bakal ditinggalkan mak, ayah dan kakak untuk pulang semula ke Bangi, hu..hu..

Lagi khabar gembira.. syukur kakak Kina telah menerima keputusan final exam diploma dia dengan cemerlang.. fiying colours and dean least.. alhamdulillah. Sedang berdebar-debar juga menunggu di mana dia akan di tempatkan untuk menyambung degreenya nanti. Harap-harap janglah jauh-jauh sangat... 4 kampus dia bakal ditempatkan, sama ada di Shah Alam, Segamat kampus lamanya, Sg Petani atau Terengganu.

Walau di manapun nanti, mak ayah tetap bersyukur. Paling penting kakak gembira meneruskan pengajian dengan semangat membara dan berusaha bersungguh-sungguh selama 2 tahun saja lagi bagi mencapai cita-citanya menggenggam ijazah dengan jayanya, insyaAllah.
Saturday, May 14, 2011 8 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Giliran Angah pula...

tanda lahir di tangan angah menjadi panduannya sejak kecil bahawa itulah tangan kanan sebab angah kidal dan selalu keliru antara tangan kanan dan kiri...



bakal mendiami salah satu bilik di kolej kediaman ini..nikmati dan tempuhi alam baru sebagai siswa universiti.. mak, ayah dan kakak kina telah melaluinya..


Abang Ngah rasa bersyukur sangat bila ditawarkan melanjutkan pelajaran ke UITM, Jengka Pahang. Lama sangat rasanya duduk tidur baring tanam anggur kat rumah. Beberapa kali dia mengeluh dan berharap agar cepat-cepat dapat sambung belajar samada di IPTA/IPTS atau mana-mana kolej. Janji belajar dan relevan dengan bidang yang diminatinya iaitu sains atau IT.

Sebenarnya dia juga sedang menunggu panggilan ke PLKN kerana namanya tersenarai bagi panggilan ke 3 bermungkinan pada bulan sepuluh nanti. Oleh kerana panggilan ke IPTA telah tiba maka jawabnya, PLKN terpaksa ditangguhkan sehingga dia tamat belajar dan bukan dibatalkan. Habis belajar nanti dia tetap dipanggil semula menjalani latihan, demikian katanya undang-undang baru PLKN.

Dalam suka, angah tetap berdebar-debar untuk menempuh alam baru. Paling dia gemuruh kerana terpaksa berjauhan dari ibu kesayangannya. Walau sudah 17 tahun, sebagai satu satunya hero dalam rumah ini selain ayahnya dia merupakan anak yang manja. Sikit-sikit mak itu, mak ini. Walaupun ayahnya tak garang tapi payah betul dia nak cakap direct pada ayahnya bila hendakkan sesuatu. Seboleh-bolehnya kena melalui mak dia dulu sebagai orang tengah. Malu dan segannya lebih kepada ayahnya. Agaknya benarlah kata orang anak lelaki selalunya jadi anak emak.

Untuk menghilangkan resah angah, hujung minggu lalu kami membawa dia survey meninjau ke UITM, Jengka. Kami sebenarnya selalu mengharapkan andai anak-anak ditawarkan ke IPTA, janganlah terlalu jauh sangat. Syukurlah perjalanan yang menempuh pemandangan yang cantik dan melintasi penempatan peneroka Felda Jengka, tidaklah sejauh mana. Lebihkurang 2 jam, kami sudah sampai ke destinasi. Aku dan suamipun belum pernah sampai ke sana, nanti bila dah tau jalan dan tempatnya mudah kiranya apabila nak menghantar angah pada hari Sabtu 21.5.11 nanti. Tidaklah sesat terlajak meraban entah ke mana-mana membuang masa.

Sebelum sampai masuk ke daerah Jengka, kami dah pun terbelok masuk susur ke Termeloh. Mujur semasa membayar tol sempat ayahnya bertanyakan gadis tol jalan sebenar menghala ke Jengka. Walaupun boleh melaui jalan Termeloh tetapi perjalanan akan jadi lebih jauh sebab melaui jalan lama.

Keputusan terus dibuat untuk masuk ke Termeloh dan singgah makan di gerai berdekatan sebab perut masing-masing dah berkeroncong. Terbuka selera dapat menjamu ikan patin masak gulai tempoyak. Sebelum makan kami bertanya dulu berapa harga seketul ikan, dibimbangi terkena RM30 seketul mau pitam dibuatnya. Mujur cuma 6 hinggit aje sebab bukan patin sungai. Alahai... cuma nak makan ikan patin jer, besar mana le beza rasa isi ikan patin sungai dan pantin sangkar. Jangan bau hanyir dan bau tanah sudah. Berselera betul suami makan sampai tambah nasi lagi sepinggan.

Selepas bertanyakan penduduk tempatan jalan sebenar menghala ke UITM, Jengka.. kami keluar semula ke tol dan menuju hala ke Kuantan. Tidak berapa jauh sudah kelihatan signboard jalan masuk ke Bandar Pusat Jengka dan ke UITM. Akhirnya kami pun sampai ke tempat yang dituju. Di pintu masuk kampus, kami ditahan Pengawal Keselamatan/Pak Guard yang bertanyakan tujuan nak masuk ke dalam. Al maklum sekarang pelajar sedang bercuti panjang. Mak aii.. bertanya dengan muka serius macamlah kami ada sembunyikan Osama bin Ladin dalam kereta. Suami jawab sesaja nak survey sebab akan daftar anak hujung bulan nanti. Akhirnya kami dibenarkan masuk.

Puas pusing-pusing bawa angah tengok sekitar kampus biar dia rasa cam bestnya kena duduk kolej. Terkebil-kebil dia bila kami tunjukan asrama siswa yang bakal dia diami. Bibir angah tersenyum tapi hati siapa yang tau. Kakaknya sakat dan mengusik angah, baik-baik ada hantu Anjasmoro dan Nyiang rapik kat bilik air kolej. Kah..kah..kah.. kami ketawa guling-guling tengok bulatnya mata angah.

Habis sesi pusing-pusing kampus, kami mula beredar untuk pulang ke Bangi. Angah kata dia suka dan tak sabar nak mulakan pengajian. Syukur alhamdulillah...kami berpesan agar nanti angah belajar bersungguh-sungguh. Pandai-pandai suaikan diri dengan persekitaran dan pergaulan. Jaga disiplin diri, jaga sahsiah dan akhlak sebagai pelajar, jaga solat serta hormat kepada para pensyarah.

Anak mak Muhammad Asnawi - tujuan angah ke universiti adalah untuk belajar maka belajarlah dengan niat kerana ALLAH. Disamping itu kutip dan galilah ilmu sebanyak mungkin sehingga angah berjaya. Berjaya membentuk diri menjadi orang yang berguna dan berbakti kepada keluarga, agama, bangsa dan negara tercinta.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...