Friday, September 11, 2009 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Lagi Khabar Sedih Di Ramadhan Yang Mulia.

Petang semalam 11 Sept o9, tengah kalut di dapur menyiapkan persiapan juadah untuh berbuka puasa. Jam dah menunjukkan pukul 6 ptg. Kalau leceh-leceh kang mau tak siap alamat berbuka nasi putih dengan kicap le gamaknya. Aku suka masak lewat-lewat sikit, biar fresh konon dan paling best suami kata; mak kamu ni kalau dia masak kalang kabut rasa lauk pauk dia perkh..! tak boleh lawan, hotel pun kalah! Ikhlas ke tu.. yang pasti diaorang sure menjilat jari punya.
Time kita sibuk time tu la sms berbunyi bertalu-talu disusuli pulak bunyi panggilan. Terkejar-kejar la dengan senduk sudip di tangan ke ruang tamu menyahut panggilan telefon. Tak sempat jawab panggilan cepat-cepat baca sms.
Rupa-rupanya ada kabar sedih yang nak disampaikan... Abang aku baru saja dijemput Illahi lebih kurang jam 6.25 ptg di wad ICU Hospital Putrajaya. Innalillah..... aku memang bercadang nak ziarah dia di rumah anaknya di Pricint 18 hari ini. Tak sempat nampaknya. Sebenarnya pemergian dia dalam usia 60 tahun bukanlah suatu yang memeranjatkan.
Dia baru saja diberi izin keluar oleh doktornya di Hosp. Besar K.L. Itupun setelah dia merayu-rayu kononnya nak bercuti sambut raya dengan anak-anak. Tak tahan dengan rengekkan si pesakit doktor berikan kelonggaran.
Aduhai... tubuh badan manalah yang tahan setelah menghuni wad hospital berbulan-bulan lamanya. Terbaring lesu menahan kesakitan yang tidak juga mau pulih. Tidak boleh bangun untuk berjalan-jalan mengambil udara segar. Dijamu ubat demi ubat siang malam. Dicucuk jarum demi jarum tiap masa. Dilakukan pula pembedahah kecil dari tangan kiri berpindah ke tangan kanan akibat bengkak dan jangkitan.
Bersebab juga dari kencing manisnya yang kronik yang dihidapnya berpuluh tahun. Ditambah lagi dengan buah pinggangnya yang tidak berfungsi lagi, jantung yang lemah dan paru-parunya yang berair. Masyaallah! Berdayakah lagi tubuh yang amat kurus itu menanggung kesemua penyakit yang amat berat itu. Sudah pasti berat mata yang memandang berat lagi bahu yang memikul.
Keluar masuk hospital dari wad biasa ke wad icu, atau yang mana satu dulu bagaikan mainan bagi dia. Dari hospital di Batu Pahat dan Johor Bahru hinggalah ke KL, berkejar dengan ambulan bukan perkara pelik lagi.
Namun demikianlah bila ALLAH SWT yang maha esa belum mahu mengambil nyawa hambanya, sama sekali ajal tidak akan datang menjemput. Mungkinkah Allah swt mahu menguji hambanya atau sebagai kifarah di atas dosa-dosa kita. Mungkinkah jua Dia mahu meringankan kita tatkala di alam barzakh atau pada hari perhitungan nanti? Sesungguhnya Allah jua yang maha mengetahui.
Mujurlah abang J mempunyai seorang isteri yang setia sanggup berpenat lelah melayan seribu satu karenah. Bersabar menemannya siang dan malam. Begitu juga tiga orang anaknya, berkejar-kejar selepas waktu kerja seboleh mungkin menjenguk dan membantu sebarang keperluan dan memberi ruang ibu tirinya berehat barang sekejap.
Tubuh si isteri pun ada waktunya longlai diserang demam dan ketidaktentuan fizikal dan mentalnya. Sentiasa dikeliling orang yang sakit di wad dengan bau ubat, najis dan pelbagai unsur yang tidak menyenangkan, apakah mungkin dia atau kita boleh bertahan!
Sesungguhnya bukan sebarang pengorbanan disumbangkan seorang isteri yang solehah apabila diuji ALLAH si suami jatuh sakit terlantar tidak dapat duduk bangun untuk makan minum apalagi membersihkan diri.
Setiap kali melihat situasi begini aku jadi insaf dan kecut perut memikirkan adakah aku boleh setabah mereka. Sambil juga aku berdoa kepada yang Esa jangan sampai hari tuaku aku terlantar sakit lama-lama sehingga menyusahkan suami dan anak-anak atau sesiapa saja sehingga mereka jemu, merungut dan putus asa melayan dan menjaga aku.
Jemputlah aku bila sampai masanya asal jangan menyusahkan orang lain. Kekalkan aku dengan iman agar sentiasa mengingat dan menyebut nama MU. Tidak sampai aku nyanyuk dan lupa diri dari sujud mengesakan MU ya ALLAH!
Malam tadi seusai aku solat maghrib dan Isyak bersiap menanti suami yang berjemaah di surau Mawaddah di Mutiara Bangi. Kami berjanji selepas solat Isyak akan terus bertolak ke Hosp Putrajaya. Bermakna solat sunat tarawih akan ditunda lewat malam nanti selepas selesai urusan di sana.
Sampai di depan bilik mayat, anak-anak buahku sudah menunggu. Rupa-rupanya kami beselisih dengan van jenazah yang berangkat ke kampung arwah isteri abangku yang terlebih dulu dijemput Allah hampir 9 tahun dahulu.
Keputusan dibuat oleh anak-anaknya untuk mengkebumikan abah mereka awal pagi ini di tanah pusara yang sama dengan arwah ibu mereka. Tujuannya supaya mudah bagi mereka nanti menjenguk pusara kedua ibubapa tercinta di tanah perkuburan yang sama. Begitu juga agar mereka tidak lupa selalu pulang ke kampung dan menjenguk saudara mara di sana. Maklum saja dengan kesibukan mereka dengan tugas dan keluarga di samping masing-masing telah menetap di sekitar KL bimbang sampai terlupa atau malas pula nak balik ke kampung suatu hari nanti.
Harus juga dipuji kakitangan hospital dari doktor, jururawat, ustaz, driver dan semua yang terlibat dibagitahu sangat membantu, cekap dan berhemah. Bayangkan selepas berbuka puasa saja mereka terus menguruskan memandi dan mengkapankan mayat. Tepat pukul 9 malam terus saja jenazah diusung ke atas van dan bertolak ke Johor.
Alhamdulillah semuanya telah selesai. Aku dan keluarga tidak dapat menyusul kerana banyak sungguh komitmen di sini lagi pula tak beberapa hari lagi kami akan pulang ke kampung juga untuk menyambut Aidil Fitri.
Hanya doa dan ayat-ayat suci jua yang dapat dikirim buat abangku yang dihormati. Semoga roh mu tenang di samping mereka yang beriman, Amin... Kiriman doa jua buat kakak sulungku tersayang yang baru juga dijemput ILLAHI pada Jumaat 19.6.09 yang lalu dalam usianya 67 tahun. Betapa dalam diam aku telah kehilangan dua orang adik beradik sekaligus tahun ini.
BUAT KITA YANG MASIH TINGGAL DI DUNIA YANG FANA INI, MARI KITA RENUNG-RENUNGKAN BETAPA DEKATNYA MATI ITU DENGAN KITA. BERAPA BANYAK BEKALAN YANG TELAH KITA PERUNTUKKAN UNTUK DI BAWA KE SANA? SEDANG KITA LAGI SIBUK-SIBUK DENGAN URUSAN DUNIA JANGAN SAMPAI KITA LALAI BAHAWA PADA BILA-BILA MASA KITA JUA AKAN DIJEMPUT BERTEMU DENGAN DIA EMPUNYA DUNIA. SUBHANALLAH. ALLAHHUAKBAR!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...