Friday, August 26, 2011 1 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Berakhirnya Ramadhan...kini Syawal menjelma..



Saya dan keluarga menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf, zahir batin atas segala salah dan silap baik keterlanjuran kata maupun perbuatan. Mudah2an silaturrahim semakin erat dan segala persengketaan dileraikan sempena Ramadhan yang mulia dan Aidilfitri yang ceria. Berhati-hati di jalanraya dan selamat bertemu kaum keluarga.

Monday, August 15, 2011 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Ramadhan 15 - sibuk beribadah sama sibuk membakar biskut raya..?




Alhamdulillah..Ramadhan ke 15 hari ini, bermakna separuh dari bulan mulia ini telah kita jalani. Mudah-mudahan amalan kita dipertingkatkan lagi seandainya tidak kian merundum memikirkan keperluan menjelangnya Aidilfitri. Sesetengah kita semakin sibuk dengan agenda membakar beraneka kuih raya. Sebahagian pula tak cukup siang meninjau shopping mall membeli baju raya, tudung raya, kasut raya, pinggan mangkuk raya dan segala macam keperluan khusus untuk beraya. Pokoknya, selagi tak sampai Aidilfitri selagi itu ada yang tak lengkap. Dicari-cari dan dicongak-congak apa lagi yang perlu untuk memeriahkan hari lebaran. Ye lah..raya setahun sekali katakan.

Aku sebenarnya tengah berfikir-fikir sama ada nak buat kuih raya atau main tunjuk-tunjuk saja. Sejak beberapa tahun kebelakangan atau sejak umur meningkat tua, hobi aku membuat sendiri kuih raya telah lama ditinggalkan. Sesaja buat-buat malas dan akhirnya gasak nak membeli saja kerjanya.

Jika dikenang, sayang skill dan kreativiti aku yang dikira berbakat jugalah dalam bab membuat cookies mookies ni terbiar begitu saja. Dulu-dulu bila anak-anak buah datang beraya, tak cukup dikerjakannya kuih muih dalam balang kuih raya atas meja. Tanpa segan silu ke dapur mencari botol-botol kuih tempat aku menyimpan kuih-kuih raya sambil diangkutnya ke depan.
Akukan makcik paling sporting..tak kisah semua tu. Makanlah anak-anak buahku sayang. Siap mintak resepi bagai konon nak cuba buat sendiri di rumah.

Itulah pelik sungguh, bila usia berganjak tua minat membuat kuih raya sendiri bagaikan hilang. Walau hati dan akal berfikir-fikir mahu membuatnya tapi semangat hilang entah ke mana. Anak-anak dan suami puas menggalakkan. Febret mereka tart nenas aku, kononnya tak sama langsung dengan tart yang dibeli. Mereka rindukan chocolate chip, almond london, biskut mazola, biskut suji yang aku buat.

Sebenarnya sejak oven kesayangan aku rosak, sejak itulah bagaikan mati semangat dan kerajinan aku. Terkenang dulu-dulu, walau anak-anak masih kecil sanggup aku bersengkang mata menyiapkan beraneka kuih raya termasuk kek marble dan kek coklat. Begitu juga walau tengah terboyot-boyot mengandung tetap aku laksanakan misi membuat biskut raya tak kira penat dan lelah.

Semangat berkobar-kobar khususnya memikirkan mahu menghadiahkan mak ayah dan keluarga mertua di kampung selain untuk hidangan tetamu di rumah sendiri. Aku sanggup belajar membuat kuih dan biskut raya secara berbayar dengan Kak Zie demi mendapatkan hasil yang memuaskan. Hilang rasa penat melihat biskut-biskut raya yang dibuat menjadi.

Tahun ini..entahlah. Anak-anak dah bising mengajak membuat kuih raya. Mereka sanggup membantu menerap dan membakar bancuhan kuih yang telah aku siapkan. Masalahnya..aku masih belum beli oven besar seperti yang telah rosak dulu walaupun suami mampu mengadakannya. Walaupun ada oven kecil namun ia belum dapat mengembalikan semangat aku yang berbaur dengan malas.

Sebenarnya...aku m.a.l.a.s ..ha..ha..itu penyebabnya. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Padan muka aku..! Nasiblah en asben bukan jenis memaksa-maksa, tengok dia cool memanjang akupun amik kesempatan. Buat kuih tunjuk-tunjuk kat kedai. Tinggal pilih yang mana berkenan dan bayar. Rasa...entah ape-ape jer. Janji dapat bawak balik kampung menambah koleksi kuih tunjuk-tunjuk diaorang pulak..hu..hu..senangkan..?

Meh tengok jenis-jenis kuih yang abang aku dari Lui Muda post dalam FB aku..nak buat lawak le tu sebenarnya..

Kuih paling gangster - kuih lompat tikam
Kuih paling sexy - kuih puteri mandi
Kuih paling geli - kuih taik itik
Kuih baget cute - kuih cek mek molek
Kuih utk awet muda - kuih seri muka
Kuih paling alim - kuih ketayap
Kuih penyakit lelaki paling kronik - kuih batang buruk
Kuih suka pukul - kuih lompang
Kuih dalam zoo - kuih badak berendam
Kuih yg bangun sendiri - kuih bangkit
Kuih orang tak mandi - bau..lu
Kuih paling tenteram - kuih makmur
Kuih paling lembap - kuih siput
Kuih muka comot - kuih tepung gomak
Kuih yg dicipta oleh Sam Polis Trafik - kuih sempreeeeettt...

Layaaaaan...entah ape-ape ntah abang aku..lawak bulan posa gamaknya. Selamat membakar biskut raya yang enak-enak ye kengkawan.


Saturday, August 6, 2011 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Mencuci Sawang di Ramadhan al Mubarak.



ASSALAMUALAIKUM WM WB...buat semua. Pastinya semua sahabat handai sedang menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini. Mudah-mudahan ibadah puasa kita tahun ini adalah yang terbaik berbanding tahun yang sudah-sudah.

Blog DIDB ni dah lama berehat, kalau rumah dah bersawang dibuatnya. Sebab utama, PC buat hal dan sengaja malas nak hantar diservis. Sebagai gantinya telefon bimbit menjadi tumpuan khususnya untuk berFacebook dan sesekali menjenguk blog kawan-kawan. Tau-tau sajalah, lalu handphone rasanya tak banyak boleh dibuat oleh saya. Setakat balas membalas dan mencatit status dalam FB bolehlah, tapi nak menulis berblogging memang tak kuasa. Dengan tulisan yang kecik dan halus, mau berpinar-pinar biji mata dibuatnya.

Kelebihannya dengan ada Wifi di rumah, saya boleh membaca FB, Blog dan berGoogle sambil baring-baring dan tak kisah berada di mana waima dalam toilet sekalipun. Tak payah nak ke meja menghadap PC sebab saya tak guna laptop. Akibatnya dah naik malas nak menulis dan sebagainya. Apapun melihat dan membaca melalui skrin besar tentulah lebih jelas dan puas.

Akhirnya selepas menghantar juga CPU ke pusat servis, dengan bayaran RM15 semuanya kembali normal. Rosaknya sikit saja, malah bukan rosak pun kata pekerja terbabit cuma silap sana sini berkaitan sistem. Entah sistem ke apa ke aku bukannya tau sangat, janji PC ni dah kembali pulih seperti asal. Itulah ruginya kita kalau cuma tau pakai tapi tak tau nak servis dan memperbaiki mana yang rosak. Pernah hantar ke beberapa pusat servis dulu ditekannya kita dengan bayaran yang tak masuk akal, terasa macam kena tipu pun ada.

Alhamdulillah, hari-hari dilalui bersama Ramadhan al Mubarak berjalan dengan sempurna. Tau-tau hari sudah masuk hari ke 7 umat Islam berpuasa. Bermakna sudah 7 hari kita diberi oleh Allah swt peluang menikmati kelebihan dan ganjaran yang dijanjikanNya. Terpulanglah kepada kita bagaimana mahu meraih peluang mengumpul pahala berganda pada setiap hari dan ketika.

Buat pertama kali iftar kami berlangsung dengan cukup korum. Semalam, Angah kami jemput dari Hentian Pekeliling setibanya dari UiTM Jengka. Seboleh-boleh dia mahu pulang ke rumah merasa berbuka puasa di samping keluarga. Mengucap syukur dia terharu bercampur gembira sewaktu kami bersama-sama menghadap hidangan. Sempat lagi terkenangkan teman sebilik yang tidak pulang berbuka puasa di bilik dengan nasi bungkus.

Sayangnya sekejap benar angah dapat berada di rumah, sampai 2.00 petang semalam dan petang nanti akan kembali semula ke Jengka. Namun, kesempatan berharga yang diizinkan Allah ini memang sangat dihargai oleh angah. Bagaimanapun, dia mesti pulang kerana tidak mahu ponteng kelas. Syukur semua tugasan sudah dibereskan sebelum balik semalam. Angah perlu menunggu tarikh 26.8.11 untuk pulang semula ke kampung sempena cuti hari raya.

Kepulangan anak-anak memang dinanti oleh ibu dan ayah. Demikianlah pastinya yang dirasa oleh orang tua kita semasa ketiadaan kita merantau belajar atau bertugas. Kini aku dan suami benar-benar merasakan perasaan itu. Tak sabar rasanya menunggu kepulangan anak ke pangkuan kita dan perasaan amat gembira serta bersyukur apabila saat itu tiba.

Makan bersama terasa sangat enak, bual bicara dan gurau senda terasa riuh dan meriah. Sungguh ni'mat Allah yang mana satukah hendak kita dustakan. Kecapilah ni'mat berkeluarga bahagia ini dengan rasa syukur kepada Allah. Ini hanya sebahagian kecil berbanding ni'mat-ni'mat lain yang Allah limpahkan kepada kita. Patutkah kita menjadi hamba yang kufur dan sombong bongkak tidak mahu sujud bersyukur kepadaNya.

Nanti jangan sampai rasa ni'matnya pulang ke kampung diambil Allah. Rasa ini kian berkurang apabila kedua-dua orangtua kita sudah tiada lagi di dunia ini. Kembali kita ke kampung sudah tidak disambut oleh tangan tua mereka menyambut salam dan pelukan kita. Senyum dan tawa riang mereka telah sunyi sepi. Saat ini Aidilfitri bagaikan hambar. Hanya pusara tempat kita menziarah ibuayah tersayang di pagi raya.

Diri ini sudah bertahun-tahun melaluinya. Saat riang berbuka puasa bersama dan meriahnya Aidilfitri sudah lama ditinggalkan...hanya sanak saudara yang menanti kepulangan kami. Mujur aku masih punya ibu mertua, sekurang-kurangnya terubat rasa rindu kepada mak dan ayah. Ayuh, kita selesaikan Ramadhan ini dengan penuh khyusuk dan tawadduk kerana belum pasti kita masih dapat bertemunya di tahun-tahun yang mendatang.

Buat mak dan ayah serta bapa mertuaku... al Fatihah, semoga damai di sana di sisi Yang Esa.
Kami merindui kalian...










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...