Wednesday, March 16, 2011 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

10 AMALAN TERBALIK...


Jom kita bermuhasabah menilai kembali tentang amalan harian kita. Kot-kot ada amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang sepatutnya dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin ia berlaku tanpa kita sedar kerana kebiasaan atau terikiut-ikut budaya hidup orang lain.

Antara contoh amalan/kebiasaan terbalik:

1) Ketika menghadiri majlis tertentu kita berpakaian cantik, kemas, segak dan wangi tetapi bila menghadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja contohnya telekung berbau masam sebab jarang dicuci, cuma pakai t-shirt dan kain atau seluar lusuh ketika solat.

2) Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan sampai tak habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu. Sebenarnya kita dituntut agar dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Jangan salah faham, sampai kita gelojoh dan tamak..makanlah dengan sopan dan pujilah keenakan masakan yg terhidang.

3) Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah sangat malas. Sedangkan yang dianjurkan oleh Rasulullah ialah solat sunat banyakkan dilakukan di rumah berbanding di masjid untuk mengelakkan rasa riak.

4) Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang..mesti pergi kerja. Hujan ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid/surau) walau tak ribut, tak panas, tak hujan sekalipun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

5) Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan, tetapi dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah tertinggi dalam setahun. Sepatutnya perbelanjaan di bulan puasalah paling jimat dan terendah.

6) Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Sebenarnya anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir.

7) Kalau hadir kenduri kawin, orang kerap salam berisi/salam keruk. Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka malu nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau menziarah orang mati, tak segan pulak bersalam tak berisi. Sepatutunya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kawin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk menambah pendapatan.

8) Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian ( malam pertama, kedua, ketiga hingga ke tujuh misalnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah. Rasulullah telah menganjurkan agar jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati bagi meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Pihak keluarga si mati sedang dalam kesedihan terpaksa pula menyediakan makan dan belanja untuk mereka datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

9) Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca al-Quran atau solat, tak bimbang sangat pun malah berkira-kira nak keluarkan belanja menghantar anak ke kelas mempelajari al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen , sanggup dibayar RM20 satu subjek dengan 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru al-Quran nak bayar RM 15 sebulan 20 kali belajar pun menggeletar tangan. Kita sepatutunya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca al-Quran dan tak tau bersolat dari tak lulus periksa di sekolah.

10) Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias dan berwangi-wangian. Tetapi kalau duduk di rumah, masya-Allah. Sedangkan dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Kalau berbicara dengan lelaki lain bukan main sopan dan lemah lembut. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Sebenarnya banyak lagi amalan terbalik yang menjadi kebiasaan dan amalan kita seharian. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Ayuhlah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran sebenar, bukan yang digubah mengikut selera kita semata. Allah swt yang mencipta kita..maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

** suka makan apam balik.
Sunday, March 13, 2011 8 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Ikan di laut asam di darat, dalam periuk bertemu juga...

Cuti sekolah sudah bermula. Para guru ada banyak masa di rumah. Inilah peluang melayan anak-anak di rumah. Kalau tak bercuti ke mana-mana, seronok jugak kalau mencuba aneka jenis resepi untuk dihidangkan pada keluarga. Main masak-masak sama-sama dan makan sama-sama sekeluarga. Bagi mereka yang punya ramai ahli keluarga , pasti lebih kecoh dan meriah.

Kebiasaannya, anak-anak sejak kecil suka makan ayam. Hampir setiap hari pasti ada hidangan ayam. Terutamanya ayam goreng. Bagaikan tidak cukup-cukup makan di rumah, masih teringinkan KFC atau McD. Terlalu dihadapkan dengan ayam sampai ada sesetengah kanak-kanak hingga dewasa tak pandai/suka makan ikan.

Mujur anak-anak di rumah kami semuanya gemarkan ikan. Masak dan hidangkan apa saja jenis ikan mereka tidak menolak. Tak banyak karenah. Cuma sebolehnya elakkan memilih ikan yang banyak tulang. Bukan tak suka tapi terasa menyusahkan dan membuang masa nak memisahkan tulang dari isi. Aku yang dah tua ini pun serupa juga, selalu mengingatkan suami jangan cari ikan banyak tulang untuk dimasak. Melainkan ikan terubuk dan ikan parang sebab rasa lemak isinya apabila dibakar dan dicecah asam limau dan ikan parang masak asam pedad serta pindang, memang tak boleh tahan.

Cakap pasal ikan, kebiasaannya ikan laut jadi pilihan. Ikan merah, ikan jenahak, ikan kembung, ikan cencaru, ikan selar, ikan senangin, ikan pari dan macam-macam lagi. Sejak kecil keluarga aku di Johor memang tak makan ikan darat. Ikan keli, haruan, toman, talapia, sepat tak akan ada dalam menu seharian. Kalau boleh sebut pun jangan. Datuk nenek, mak ayah cukup geli geleman. Alasannya tak pasti. Memang aku tak pernah dapat menjamah apa-apa pun hidangan bersumber ikan darat. Sama ada mereka tinggal di bandar atau kampung, tetap tidak menggemari ikan darat.

Pertama kali makan ikan darat, sewaktu belajar di ITM, Shah Alam. Kawan- kawan datang dari pelbagai pelosok negeri juga dari latarbelakang yang berbeza. Bagi yang tinggal di kampung berdekatan dengan sawah dan sungai, pulang dari bercuti ada-ada saja bekal yang dibawa. Dari situ aku dapat kenal dan merasa kesedapan ikan sepat, keli, puyu, haruan dan talapia. Memang tak kurang hebatnya dan memikat selera.

Satu lagi kebetulan, apabila dipertemukan jodoh dengan suami. Beliau yang berasal dari kampung rupanya biasa makan ikan darat. Puyu, keli, sepat, haruan memang hidangan biasa. Malah biasa dibuat main semasa memancing di sungai.

Kalau dah jadi kegemaran suami, apalagi nak dikatakan. Alamatnya kenalah masakkan untuk hidangan keluarga. Cumanya sampai kini, aku masih geli memegang ikan keli segar. Apatah lagi kalau masih hidup. Biasanya walau telah disiang dan dibawa pulang, keli masih mengelitik kerana nyawanya cukup liat. Jangan sesekali menyuruh aku membersihkannya. Nanti aku boleh menjerit bergegar satu Bangi kegelian dan ketakutan. Peliknya..pandai makan dan berani pulak tolong masakkan, hingga masakan aku menjadi igauan anak-anak dan suami.

Kini jika singgah makan di mana-mana restoran, pantang nampak ikan darat seperti keli, baung, talapia, puyu dan lain-lain. Insyallah, pasti menjadi habuan kami. Bukan senang nak jumpa sebab aku tidaklah berapa rajin nak memasaknya berbanding ikan laut.

Mujurlah datuk nenek dan mak ayah aku menggemari satu-satunya ikan yang kelihatan seperti ikan darat iaitu ikan sembilang laut. Sekali pandang ramai yang tak dapat membezakan ikan sembilang dengan ikan keli. Sembilang biasanya dimasak asam pedas Johor dan rasanya memang sedap. Paling penting bagi ikan berbau hanyer seperti sembilang dan pari ini ialah cara membersikannya sebelum dimasak. Cucilah menggunakan asam jawa, limau atau tepung gandum hingga bersih, insyallah semasa dimasak ia tidak berbau hanyer. Demikian juga dengan ikan darat.

Syukur ke hadrat Allah kerana memberikan aku peluang merasa keenakan ikan-ikan darat ini. Sekarang ikan-ikan ini telah menjadi menu hidangan di hotel-hotel dan restoran-restoran dengan harga yang bukan calang-calang. Ikan darat telah dinaik taraf dan bukan makanan orang kampung semata-mata.

Antara ikan yang pernah kami makan...

Ikan talapia, sedap digoreng, dikukus, goreng berlada dan dibakar cecah air asam atau kicap bawang cili api.

Ikan sepat, selalu dibuat ikan masin/ikan kering, sedap digoreng, masak lemak cili api dan dibuat pekasam. Meleleh air liur....

BELUT. Alamak...! Setakat ini belum pernah mencuba. Gelinya...licin, liak lintuk mengalahkan ular. Namun kalau nak mencuba sup belut, ada dijual di Restoran Urat Ketin di Sek 7, Bangi. Berkhasiat dan power kata orang lelaki... Ada juga anak belut kering digoreng garing macam keropok...ini boleh try kot.. hu..hu..

Ikan puyu, goreng pun sodap..biasa makan ikan puyu pekasam..memang febret.

Ikan baung. Jarang jumpa dan harganya agak mahal, biasa nampak dijual di Pasar Tani di MAEPS, Serdang. Baung memang kegemaran suami. Kalau hantar dan jemput anak di Segamat pasti singgah di sebuah restoran di bandar Segamat. Asam pedas dan gulai lemak tempoyak ikan baung memang terangkat. Kami makan anak beranak puas-puas..

Ikan patin. Juga kegemaran kami sekeluarga. Biasanya masak asam pedas Johor ler.. bubuh serai, daun kesum... memang tak tahan....

Inilah ikan Sembilang laut. Ikan paling famous di Johor. Agak mahal juga harganya. Peliknya di negeri lain seperti N.Sembilan dan Selangor, tak ramai yang minat beli ikan sembilang ni.. harganya pun murah berbanding di Johor.

Ikan Keli. Di mana-mana pasar atau pasar raya kita boleh jumpa ikan keli dijual. Harganya pun sangat berpatutan. Kini menjadi kegemaran ramai. Keli goreng berlada, keli salai masak lemak cili api memang penambat selera.

Nampaknya di kalangan adik beradik aku, cuma aku yang jadi penggemar ikan darat. Rugilah diaorang tak dapat merasa antara ni'mat kurniaan Allah. Lepas ini ada banyak lagi jenis ikan darat yang akan aku sekeluarga cuba. Antaranya - ikan jelawat, ikan toman, ikan seluang, ikan kelah, ikan belida, ikan rohu, ikan sebarau, ikan tongsan, ikan kaloi, ikan kelisa dan banyak lagi hasil mahsul dari sungai, tasik, paya dan yang pasti ikan-ikan ini menjadi buruan para pemancing yang sabar dan setia.
Saturday, March 5, 2011 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Anak orang, anak kita...jaga-jaga anak kita..

Pagi Isnin 28 Feb 2011 - kami sekeluarga bertolak dari kampung suami untuk ke Segamat dahulu menghantar anakanda Kina pulang ke rumah sewanya. Mujur kuliah petangnya dibatalkan bermakna kami tak perlu terburu-buru untuk memastikan kakak tidak terlepas kelas petangnya.

Sesampainya ke bandar Segamat, cuaca panas terik. Suasana telah kembali normal selepas dilanda banjir tidak lama dulu. Singgah makan tengahari di sebuah restoran kegemaran. Setiap kali ke Segamat inilah restoran pilihan. Sebab utamanya, suami terpikat dengan gulai ikan baung yang segar dan lazat. Dimakan bersama sambal kupang, ulam-ulaman dan rojak..memang sedap, alhamdulillah.





Sedang asyik menjamu selera, terpandang pada seorang anak gadis manis yang telah selesai makan bersama 3 orang teman lelaki sepengajiannya. Gadis cantik rambut panjang ikal mayang bercelup warna perang. Berbaju kurung sopan sedang berborak bersama teman-temannya semeja.

Apa yang menjengkelkan aku ialah bila dijarinya terselit sebatang rokok. Sambil bersembang sambil dia menghisap dan menghembus asap rokok. Profesional sungguh dengan gaya santainya. Tidak perlu segan silu walau banyak mata yang memandangnya sinis. Aku bertanya kakak kalau-kalau dia kenal. Memang dia kenal kerana satu batch cuma lain bidang.

Kebetulan hari Isnin maka semua pelajar wajib berbaju kurung ke kampus. Bagi pelajar yang mewarnakan rambut, ia satu kesalahan semasa menghadiri kuliah. Maka mana-mana pelajar yang ketara mewarnakan rambut akan hadir kuliah dan masuk ke kampus dengan bertudung. Selesai kuliah dan ketika berada di luar kampus, terpulang. Ini bukan perkara pelik, sebab aku sudah biasa menyaksikan benda yang sama sejak aku menjadi student ITM berpuluh tahun yang lalu.

Apalagi hendak dikatakan...bagi sesetengah orang berpendapat, alah...setakat merokok atau menghisap shisha, apalah sangat...lagipun dia berada di luar kampus. Setakat menghisap rokok bukan hisap dadah. Iyalah hak individu, cumanya ia sangat-sangat tidak manis. Di hadapan orang ramai dan orang tua seperti aku. Si gadis rambut blonde ini pulak memakai nama pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam yang terkenal. Seharusnya dia dinasihatkan dan bak kata kakak, kalau dalam kampus sudah pasti kena tegur dan disaman Pak Guard. Oklah kakak, pengajaran buat kakak, abang ngah yang bakal ke universiti dan adik yang masih bersekolah.

Ingat anak-anakku, pembentukan akhlak yang mulia sangat penting. Seseorang Muslim tidak akan sempurna amalannya jika tidak disertai dengan akhlak yang baik. Hadith Rasulullah bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada paras rupa kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.

Rasulullah juga mengingatkan dalam sebuah hadith:

Dosa yang paling besar yang akan menimpa ibubapa di akhirat nanti ialah dosa membiarkan anak-anak mereka jahil dan buta agama.




Sempat juga kakak menyertai kami anak beranak ke majlis perkahwinan sepupu kembar mereka di JB. Seronok meraikan pengantin sambil berpeluang bertemu sanak saudara. Biasalah bila ada majlis kenduri kendara, inilah masa berkumpulnya kaum keluarga, sanak saudara dan teman taulan yang lama tak bersua. Silaturrahim terjalin mesra dan ikatan persaudaraan yang renggang bertaut semula.

Tahniah buat kakak iparku kak As yang mendapat menantu kali kedua. Uniknya kali ini giliran si kembar Najib dan Norizah bersama pasangan masing-masing. Acara berlangsung dengan meriah yang kebetulan jatuh pada hari lahir mereka berdua. Tahniah berserta doa mudah-mudahan kalian berbahagia hingga ke syurga. Banyakkan bersabar, bertolak ansur dan saling hormat menghormati antara suami dan isteri, insyallah hidup kalian diberkati.

Tolong jangan abaikan solat, risau dan bimbang melihat statistik perceraian pasangan Islam masa kini. Bayangkan..setiap 15 minit berlaku perceraian, masyaAllah. Tidak dinafikan ramai juga pasangan yang menjaga solat namun bercerai berai juga akhirnya. Al maklum, pasangan kita datang dari latarbelakang yang berlainan. Sedangkan kita yang lahir sebagai adik beradik keluar dari satu rahim pun ada kalanya bertelagah. Tentulah solat sahaja tidak cukup sebagai penentu kebahagiaan sebuah rumahtangga. Andai pasangan tidak pandai menyesuaikan diri, kurang sabar, panas baran, kuat merajuk, suka meminta-minta, pokoknya tidak bertolak ansur, tidak mustahil pelbagai masalah dalam rumahtangga akan timbul.

Buat anak-anakku, jadikan ini sebagai panduan dan pedoman. Saat bercinta semuanya nampak indah dan cantik. Nanti bila dah duduk tinggal sebumbung sebagai suami isteri yang sah, barulah keluar segala belang dan tembelang. The true colours akan terpampang, masa inilah perlunya sikap saling faham memahami dan toleransi. Bermohon dan dan berdoalah setiap selepas solat agar kalian diperkuatkan iman dalam menempuh ujian demi ujian hidup berumahtangga. Berdoalah semoga perkongsian hidup di atas dunia ini akan sampai hingga ke syurga, insyallah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...