Thursday, March 25, 2010 3 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Hutang...!! Ohh..Tidak...!!!

Kisah I :

Aduhai...lama kita tak jumpa. Kak H apa kabor? (peluk-peluk sambil laga pipi)

Alhamdulillah, sihat....

Amacam bisnes ari ni, dah licin kuih semuanya. Plan nak beli pau dan karipap, cepat betul habisnya.

Kau datang pukul berapa ni tie, dah dekat pukul 10 tak yah tanya la pasal kuih muih ni. Semua dah dikebas orang, nak nasi lemak ada lagi nih.

Selalu na makan nasi lemak, jap lagi nak gi beli laksa johor kat pasar.

Ha...kau jangan gi mana-mana, duduk sini dulu. Akak dah lama tak sembang ngan kau.

Ok,ok tak leh lama, bizi banyak keja. Tengahari ada member nak datang rumah.

Ala....temankan akak jap, boring tau niaga sensorang sejak Kak A tak ada. Lama betul aku tak kontek dia tie. Puas tepon tak berjawab, agaknya dia dah tak pakai tepon lagi kot.

Yelah, apa kabor dia agaknya. Tentu seronok dapat menetap kat kampung dia di Jasin tu. Duduh rumah baru lagi. Akak dah pernah sampai rumah dia kat Melaka tu?

Lum...teringin gak nak pegi.

Rumah yang dia sewa dekat rumah akak tu...sapa duduk?

Adik pompuan akak pulak sewa satu keluarga, dia teringin lak nak merasa duduk Bangi dekat dengan akak Tie.

Ye ke, tentu seronok kan ada adik beradik dekat dengan kita.

Masalahnya, kesian juga dekat di Tie. Macam-macam masalah sejak mula duduk situ sampai sekarang.

Problem apa nye kak?

Kau tau..Si A tinggalkan macam-macam harta karun bila dia pindah. Naik pening kepala adik aku.

Elok la...kalau ada harta benda dia boleh dipakai..dah kira untung tu.

Harta benda hapa nyer! Tinggalkan hutang piutang ada la....
(O..O..ni dikira ngumpat ker? Ayoyo..dosa nih, tapi setan kata..teruskan...boleh buat pengajaran)

Kesian...Kak A, tentu dia ada masalah yang kita tak tau. Kengkadang zahirnya kita tengok ada orang tu cam ok jer, tapi seribu satu masalah dia aje yang tau.

Kesian tu memang kesian....abis adik aku tu sapa nak kesian plak. Duit sewa rumah tu dah 3 bulan tertunggak, sakit betul hati tuan rumah tu dibuatnya. Puas dimintak lalu tepon haram tak dilayannya. Dia sekeluarga main angkat kaki gitu jer, janji bila-bila dia akan bayar.

Haritu, orang TNB dah datang nak potong bekalan elektrik rumah tu, puas adik aku merayu-rayu. Tak pasal-pasal adik aku kena bayar ansur-ansur, bukan sikit dah nak mencecah $600 kau tau. Adik aku pun bukan orang senang.

Lagi..nak tidur pun tak senang. Ada-ada jer orang goncang gate atau ketuk pintu. Naik takut kecut perut adik aku dibuatnya. Semua datang mintak hutang. Ada yang nak tarik kereta, nak amik balik barang eletrik nak tuntut itu la ini la. Semua pakat tanya adik aku mana si A tinggal sekarang.

Habis adik akak bagitau ke kat mana Kak A tinggal.

Tak hingin dia nak masuk campur, dia main jawab tak tau jer.

Huh! Dahsyat jugak tu. Pasal hutang piutang ni tak leh buat main kak, bahaya kat dunia apa lagi di akhirat nanti. Dah try call dia lagi, cubalah tanya kat anak dia yang kerja kat kilang Sony tu, kot dia boleh tolong...

Dah cuba..diam cam tu jer. Ada sekali tu adik akak cuba tepon dia, nasib baik dapat. Kau tau Tie apa dia jawab?

Dia cakap ape kak?

Dia dengan selamba nyer sambil tergelak-gelak boleh jawab;

A..ha..ha..a..ha..ha.. Padan muka kau! Dulu kau yang gatal sangat nak duduk rumah tu, ha.. kau rasakan. Aku tak nak bayar..aku tak de duit..aku kata aku tak nak bayar.. tak nak bayar, aku tak ada duit paham tak!!!

Fulamak! Berani mati nyer dia. Sesedap rasa jer dia buat ayat ekk kak.

Tu la, pada hal bertahu-tahun kitaorang jual kuih sama-sama, banyak yang akak dah tolong dia. Tak sangka dia jadi cam tu plak. Kalau ye pun bayor le sesikit, lelama habis gak dan tak la sakit hati orang lain dibuat nyer.

Huh! Hutang jangan memain...ini jadi pengajaran pada kita semua kan kak. Walau satu sen, hutang tetap hutang. Selagi tak dihalalkan..menanggung la esok. Lagipun tak baik kita buat jahat kat orang...nanti orang lain pulak buat jahat kat kita, hukum karma tu kak!

Ok la kak, dah lewat ni. Mudah-mudahan perkara ni boleh selesai dengan baik, insyallah. Minta maaf zahir batin ye kak..kirim salam kat adik akak, lain kali kita jumpa lagi ye.. (salam, peluk, laga-laga pipi lagi... orang pompuan le kata kan...)

HUTANG!!! TAK NAK BERHUTANG!!!

Kekalau aku ada terberhutang kat sesapa, sila bagi tau. Sila datang tuntut hutang kalian yang mungkin aku dah terdelete dari memori. Lagi baik andai dihalakan saja, sesama selamat dunia akhirat.

Kucing lagi..meow...

Aduh...! Mak, apehal nih. Asal bukak pintu jer ada kucing lain datang.

Kucing semalam tu ke?

Bukan... ni kucing lain plak.

Jantan ke betina?

Sure betina nih..tapi bersih sikit arr dari semalam.
Eeeee..geram la, apsal hari-hari rumah kita ada kucing terbuang datang!

Ish! Tak baik cakap gitu tau angah, mungkin diaorang datang bawak rezeki.

Tau la..angahpun kesian juga. Tapi, bila kita start bagi makan..siap la, alamat dia duduk sini la jawab nyer..
Ni mesti si kuning gemuk ni punya pasal. Dia pergi menggatal dengan betina-betina tu... pas tu dia siap promote adress rumah kita..suruh diaorang datang sini.

Kah..kah..diam diam aku ketawa dalam hati. Logik jugak tu..


Sebenarnya aku setuju jugak cakap dia tu. Boleh kata hampir setiap hari pelbagai jenis kucing datang singgah kat laman atau belakang dapur aku. Ada yang bawak anak baby dua, tiga ekor. Ada jantan, betina, anak dara, janda. Gemuk, kurus kering, comot, busuk dan macam-macam warna.

Aku pasti, ini mesti kerja orang buang kucing. Buang la tempat lain, apa hal campak kat area rumah aku. Walaupun aku simpati, tapi mana larat nak membela semuanya.

Yang paling aku tak ta...han sangat, kucing-kucing tu tumpang muntah dan berak bersepah kat laman rumput rumah aku. Hu..Hu..hu..nak nangis aku dibuatnya.

Mujurlah ada seorang lelaki macho bernama suami mithali sedia membantu, dengan selamba dia berkata,
Ala...berguna ni..boleh buat baja ape.

Biasanya selepas beri makan kucing-kucing tersebut, suami akan menghantarnya ke tempat-tempat yang patut dan sesuai agar dipastikan mereka boleh dapat makan, insyaallah.

Tempatnya? Biarlah rahsia...
Thursday, March 18, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Terkenang belajar mengaji dan mengeja jawi...

Baca n3 Dr Singa pasal tulisan, ejaan dan bacaan Jawi, terkenang lagi zaman dolu-dolu masa jadi bebudak. Nostalgik betul... Siapa orang Johor atau pernah dibesarkan di Johor Darul Takzim dia tau la.

Sebagai rakyat Johor, kita wajib sekolah agama dari darjah 1 sampai 6. Maknanya sesiapa jadi anak Johor, tak pandai baca jawi..memang nak kena. Walaupun pada masa tu kita belajar mengeja dan menyebut beberapa huruf hijaiyah dengan bunyi yang agak pelik.

Ambil contoh - huruf ba disebut be, ta disebut te, tsa disebut tse, ro disebut re, pa disebut pe, nga disebut nge, nya disebut nye dan ya disebut ye. Ejaan mengikut jawi lama.

Katalah nak eja,
Bapa - ba alif pa dieja be alif pe
Pergi - pa ro ga ya dieja pe re ge ye
Tempat - ta mim pa ta disebut te mim pe te
Sehingga - sin ha ya nga ga alif disebut sin ha ye nge ge alif

Ha! Kalau pening lalat tak yah eja. Yang tersangat peliknya, begitu jauh bunyi sebenar huruf dieja, tetapi bila kita sebut bunyi perkataan tu betul pulak.

Masa belajar mengaji muqadam pun serupa. Be di atas ba, be bawah bi, be depan bu = ba bi bu. Te di atas ta, te bawah ti, te depan tu = ta ti tu. Re di atas ro, re bawah ri, re depan ru = ra ri ru.

Alhamdulillah, walau bunyi sesetengah huruf nampak salah namun bila dibaca ayat al Quran.. insyallah betul. Bacaan tajwid dan makhraj dapat dibaca dengan baik. De sekolah agama, kami diajar pelajaran tajwid dan mengaji dengan betul. Semakin dilatih semakin baik, maklum sesetengah ustaz dan ustazah agak garang.

Zaman sekarang pastinya para ustaz dan guru al quran di negeri Johor sudah tidak mengamalkan sebutan huruf yang pelik tu lagi. Mereka dilatih secara standard, maka anak-anak Johor tentunya diajar sama seperti mereka dari negeri lain.

Tercengang dan tersengih anak-anak aku bila aku bunyikan huruf yang aku belajar zaman dulu. Kelakar betul.

Berkat berlajar mengaji muqadam dengan nenek, alhamdulillah aku dapat mengaji al quran dengan baik. Tok Ngah seorang nenek yang penyayang tapi garang. Aku adalah cucu paling disayangi sebab cuma aku sorang yang merasa belaian dan suapan air tangan dia. Dia banyak tinggal dengan makcik/ibuangkat aku, sudah tentulah hari-hari aku banyak dihabiskan bersamanya hingga ke akhir hayat beliau. (al fatihah)

Selesai/khatam muqadam dengan Tok Ngah mak pulak ambil alih. Mak merupakan guru al quran terkenal. Ramai anak murid berguru dengan dia ,belajar mengaji quran dan marhaban. Suaranya sangat merdu bila mengalunkan bacaan quran dan berzanji.

Seingat aku, pada zaman itu.. selesai setiap murid mak khatam al quran, ibu bapa murid tersebut akan membuat suatu majlis tanda syukur dan terima kasih kepada guru. Guru diraikan dan diberi hadiah dengan penuh hormat siap bunga telur, pulut kuning, ayam golek dan sebagainya tanda hormat terhadap guru. Mereka mengaji dan bermarhaban penuh meriah samada di rumah atau di surau siap dengan pembesar suara. Sekampung dapat merasakan kemeriahannya.

Kini semuanya tinggal kenangan. Aku rindu serindu-serindunya pada Tok Ngah dan mak. Menitis air mata mengenangkan mereka. Jasa kalian mendidik aku tak dapat dibayar dengan semua harta dunia. Hanya doa sentiasa kutitipkan, semoga roh kalian ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al Fatihah...
Tuesday, March 16, 2010 6 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Tengok Wayang...

Anak teruna aku mohon kebenaran nak tengok wayang dengan kengkawan dia. Dah aku pastikan kat mana, dengan siapa, naik apa, berapa lama, begitu begini soalan mengalahkan polis pencen, akhirnya diluluskan.

Kesian pulak, sesekali nak rehatkan minda. Dia pun boring juga oleh kerana mak ayah dia kalau soal; dah belajar? dah buat latihtubi? dah buat homework? ada tuisyen hari ni? Study hard, SPM dah dekat. Huh..! Seronoknya soalan tu..boring giler! Pulak tu baru selesai program motivasi di Bukit Unggul, kena asak minda lagi. Letih..

Setahu aku sepanjang hidup dia, tak sampai lima kali dia tengok wayang, kakak dia pun begitu lebihkurang, adik dia yang form one ni lagi la tak pernah. Mak ayah dia tak kesian pun..malah lansung tak galakkan. Sebabnya....

Mak ayah dia tak minat tengok wayang. Lagi pelik kami memang tak pernah tengok wayang berdua samasekali. Seingat aku, last sekali aku tengok wayang masa aku form one atau form two kalau tak silap. Itu pun sebab kena paksa dengan kengkawan.

Terkenang semasa budak-budak dulu, aruah mak dan makcik pernah bawak aku tengok wayang cerita hindustan Bobby, lima enam kali pulak tu..nasib baik filem tu best..sangat. Lagi.. ajak tengok cerita Jaws dan beberapa lagi. Kebanyakannya aku tak ingat, sebab aku tak minat.

Panggung wayang Cathay, Rex pada masa tu seingat aku entah apa-apa. Aku tak suka bau hancing, kotor..ada lipas dan tikus, sound dia pekakkan telinga, panas lemas bau asap rokok, ada couple ringan-ringan, sakit leher mendongak bila kena baris depan dan..paling sakit hati ,masa anak dara dulu.. bila keluar dan masuk panggung ada gangguan seksual..jantan miang garpu berjalan. Pokoknya bagi aku menonton wayang lansung tak menyeronokkan, buang masa, sakit hati dan menyampah. Pada aku lah..

Panggung wayang sekarang, dengar cerita anak aku canggih, menarik, sound sistem class, ada aircond dan boleh makan popcorn. Ye la tu.. ingat mak heran ke, tengok filem lalu CD dasn VCD kat rumah pun aku tak minat, sampai player cuma jadi hiasan jer. Dengar cerita juga harga tiket campur beli air dan popcorn boleh tahan juga mahalnya.

Yang sebenarnya...aku teringin juga nak cuba pergi menonton wayang zaman moden ni. Kekadang tu keluar pulak soalan bodoh, segan tak kalau orang tua cam aku pergi tengok wayang? Kalau tak try dari sekarang bila lagi. Malu pulak kalau orang tanya, aku satu habuk pun tak ada eksperian.

Malu gak kalau ketinggalan zaman. Puas anak-anak cuba ajak aku join diaorang tengok wayang kat Alamanda, The Mines, Mid Valley atau kat Warta Bangi. Teringin.. tapi semua planning tak pernah jadi. Pernah cuba-cuba ngorat ayah dia ajak tengok wayang berdua, jawapannya hampeh! Awak pergi la sorang-sorang, saya tak minat..berdosa. Hu..hu..berdosa pulak kata dia, sampai hati...

Sudahnya sampai setua ini aku belum pernah jejak di sebarang panggung wayang dalam Malaysia ni. Teringin nyer nak tengok cerita hantu kat wayang, mesti cam rialkan. Takpun tengok cerita Hindustan cam dulu-dulu, sure syok punya.
Agak-agaknya bilalah aku diizinkan Allah berpeluang ke pawagam yang serba canggih dan serba moden tu agaknya. At list, teringin gak sekali....he..he...

Biar mati anak, jangan mati adat!

Suatu masa seorang kawan mempelawa aku pergi ziarah anak buah dia yang baru menimang cahayamata lelaki. Kebetulan hari tu hari bekerja. Kenalah call husband mintak izin. Petang tu aku free, dalam pukul 3.00 ptg dia jemput aku dengan kereta. Kami pun meluncurlah menuju ke Shah Alam.

Sesampainya kami di Shah Alam, terpaksa pulak menunggu di tepi jalan kerana kawan tadi tak tau jalan ke taman perumahan menuju ke rumah mertua anak buah lelakinya tadi. Dalam pada menunggu kemunculan anak buah beliau dia pun bercerita;

* Sebenarnya akak segan jugak ni nak tengok baby dia. Dalam rumah tu ada mak dan bapak mertua dan ipar duai dia.

# La... kalau akak segan saya lagi la. Kenapa segan silu pulak kak.

* Bukan segan apa, sepatututnya ikut adat kami kena bawak buah tangan.

# Biasa la kak, tengok new born baby...hadialah apa yang patut..janji ikhlas.

* Apa yang patut kau kata. Ikut adat kitaorang mesti bagi emas sebagai hadiah. Tak kiralah gelang ke, cincin ke, anting-anting ke, rantai ke. Janji emas!

# Wah! Bukan calang-calang tu, kira demand jugak ek. Kalau tak mampu cam mana?

* Sebolehnya usahakan la, kalau tak ada juga cam aku nih..kasi la duit banyak sikit...

Alamak! Habis la aku. Kalau akak tu cakap awal-awal, boleh jugak aku singgah Habib Jewels ke, Poh Kong ke... paling kopak aku boleh gak singgah kat Zhulian.

# Kak, kalau kita bagi barang kemas Zhulian boleh tak?

* Kah..kah..kah.., kau ni..ingat dia bodoh ker, kang pecah tembelang yang barang tu emas tipu, malu besar tau. Suku sakat kitaorang semua dah bagi..tinggal aku sorang jer tau.

# Alah kak, bagi jer apa-apa..janji kita ikhlas kerana Allah. Kalau bagi kerana terpaksa..for sure tak da makna, zero pahala..sia-sia jer.

* Tu la..memang leceh kena ikut adat ni, banyak lagi syarat yang menyusahkan.. kau tau tak. Ini baru beranak satu. Bab kawin mawin, kenduri kendara, jemput menjemput.. lagi pening!

Pendek cerita sampai la aku kat rumah teres dua tingkat. Ramai juga la suku sakat belah mertua anak buah lelaki kawan aku tu. Lepas minum teh dan makan biskut, kami pun menjenguk baby dalam bilik bersama ibu muda. Comelnya baby boy...dah namanya baby...semuanya comel kan..

Berbual begitu begini, sempat tumpang solat asar tibalah masa nak berangkat pulang. Aku macam biasa, tiada emas perak gangsa nak dipersembahkan. Harap sudi la terima sumbangan paling kecil paling ikhlas dari aku tu. Berserta doa semoga si ibu sihat semula dan baby menjadi anak yang soleh.

Mata nakal aku sempat lagi menjeling ke tubuh badan anak-anak kecil dalam rumah tu. Fulamak! Betul la... cuba tengok leher, tangan, jari , kaki.. penuh! Bukan penuh parut kena dera! Penuh dengan barang kemas dari emas tulin, tak kira anak lelaki ke pompuan.

Aduh..! Termalu jugak aku, eh.. tak kisah la.. aku orang luar kan, bukan makcik dia. Adat istiadat aku simpel jer. Janji ikhlas..
Sunday, March 14, 2010 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Alamak! Dah hilang..

Sementara ada masa lapang ni, mengadap la PC lama sikit. Kerja banyak, sekarang cuti sekolah, kita kan cikgu..cuti panjang lagi..lepas ni kita buatlah macam-macam benda yang kita plan tu.

Cerita pasal majlis kawin, teringat masa pergi Seksyen 5. Undangan perkahwinan anak perempuan sulung kawan sekerja suami. Seronok betul suami sebab dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan lama semasa belajar di Politeknik Kuantan dulu. Tamat belajar masing-masing membawa diri samada sambung belajar atau mula bekerja. Suami pun bersembang penuh ceria, maklum lama tak jumpa. Masing-masing pun dah nampak berumur. Ada yang dah bermenantu dan nak timang cucu.

Punyalah seronok dan leka besembang, tibalah masa nak berangkat pulang. Macanm biasa kenalah berjumpa mak ayah pengantin sebagai tuan rumah. Tak lupa bersalaman sambil mengucapkan terima kasih.

Tak beberapa langkah nak berjumpa tuan rumah, suami pun seluk poket seluar nak keluarkan sampul berisi wang sumbangan. Seluk poket kiri kanan, depan belakang...alamak mana dia sembunyi. Bahagian aku dah siap-siap terselit tepi bag tangan..selamat.

Terpanik kejap suami aku. Aku tak panik pun tapi suspen juga la. Lebat jugak la suami aku isi dalam sampul sumbangan tu. Maklum majlis member. Kami pun patah balik ke meja tempat kami mula-mula duduk menjamu selera tadi. Tinjau bawah meja, tengok bawah kerusi. Buat-buat tak malu konon..padahal orang kiri kanan tengah makan. Mujur diaorang selamba aje. Mana taknya, masing-masing tengah berselera menghadap hidangan.

Puas tinjau sepanjang khemah dan sekitar tempat kami makan, singgah pulak meja suami berborak dengan member lama dia tadi. Tertongeng-tongeng kami meninjau, bawah kerusi, bawah meja. Hampa. Mujurlah suami ada bawak duit lebih. Tanpa sampul, sumbangan tetap bertukar tangan. Alhamdulillah beres.

Menuju ke kereta, aku pot pet pot pet manja juga lah.. Macam mana la boleh tercicir, sedangkan suami yakin dia dah masukkan sampul berwang itu dalam poket seluar dia. Sampai ke kereta, aku dan suami tinjau sana sini lagi, cari dalam kereta pulak. Sah memang tak ada.

Entah-ntah awak tertinggal kat rumah kot. Cuba seluk balik poket seluar awak tu. Suami pun mengikut arahan isteri dia yang tersayang ni. Tetiba... la... ada pulak dalam poket belakang ni..! Kah..kah..kah.. kami ketawa serentak. Eeee... awak ni kan bang memang pelupa tau. Acah-acah nak cubit. Kalau tak bawak duit lebih tadi termalu kita kat kawan abang tu.

Sampai hari ni, kami cukup hati-hati. Bila nak menghadiri apa-apa majlis undangan, kami pastikan jangan sampai terlupa bawa atau letak sampul berharga tu baik-baik. Nak selamat.. tumpang aje dalam bag tangan mak andeh ni. Itu pun kalau tak kena ragut la...nauzubillah, selisih malaikat 44. (apsal orang tua dulu-dulu suka cakap cam nih ha, ape makna malaikat 44 tuh..malaikat kan banyak). Terkenang pulak mengajor anak-anak kat sekolah..jibrail, mikail, israfil, rakib, atid,munkar, nakir,ridhuan, malek, izrail... hu..hu.. you all hafal ker...?

Kg, Sungai Sering dekat Bukit Antarabangsa?

Cuti ni musim orang kawin. Pendek kata sepanjang bulan 3,4,5,6 memanjang senarai jemputan dekat dan jauh. Itu belum campur kenduri akikah tanda syukur dikurniakan baby dan majlis pertunangan. Jangan nanti bab cerai berai pun buat kenduri sudah.

Bila tengok para artis nak kawin buat majlis super grand+glam, aku naik ngeri pulak. Ada yang nak nikah kat Mekah depan kaabah, nikah dalam masjid supaya dapat berkat katanya. Tak salah, niat baik mudah-mudahan hasilnya pun baik hingga ke akhirnya. Kekal bahagia hingga akhir hayat. Kata satu ustaz tu jangan ucapkan doa semoga bahagia hingga ke anak cucu, bahaya.. takut-takut bila pengantin dah dapat anak dan sampai waktu dapat cucu diaorang bercerai-berai pulak. Sebabnya ramai tetamu dulu doakan macam tu...setakat anak cucu..betul ke? Logik juga ek.

Semalam aku dan suami bertandang ke satu jemputan majlis akikah dapat cucu, pangkat anak sedara dia di Kampung Sungai Sering dekat Bukit Antarabangsa. Baru tau menuju jalan mendaki Bukit Antarabangsa tu ada pulak kampung. Al maklum tak pernah sampai, suami nampak cool...jer. Sudahnya melilau mencari alamat tuan rumah. Tanya kat stesyen Petronas, soal tokey nasi lemak tepi jalan. Pusing lagi..tak jumpa..tanya aneh jual paper, soal cina jual buah-buahan, pusing lagi. Tanya pulak Pak guard kondominium, jalan terus belok kiri, pas tu belok kanan..belok kiri lagi.. Pusing punya pusing, asyik jumpa jalan yang sama. Kalau balik Johor sure dah nak sampai...

Alhamdulillah.. last sekali tanya kat mamat Indon tengah bertukang, dia tunjuk masuk jalan kecik, terus...masyallah baru jumpa. Hu..hu..cekap tak kitaorang hampir sejam juga la ronda. Punyalah banyak lorong dan simpang. Semua orang yang ditanya akan kata memang susah sikit nak bagi plan ke kampung tu sebab bila jumpa simpang terus..belok kiri..pas tu belok kanan..belok kiri..belok kanan..ayoyo.. Selalunya cik abang cepat fed up pusing-pusing cam ni, tap hari ni kesabaran dia tinggi betul la.

Syukur.. kami sampai..majlis pun selesai. Cantik betul. Yang penting dapat berjumpa saudara mara mengiratkan silaturrahim. Kenyang perut dihidang nasi beriyani, dalca daging, kari kambing, ayam berempah, udang besar celup tepung, acar mangga/nenas dan kuih muih. Tetamu pun ramai mengalahkan ada kenduri kawin. Maklum perkampungan Melayu, kebanyakan penduduk telah tinggal di situ sejak tahun 1975 dulu.

Lepas makan, cabut balik Bangi sebab pukul 2.30pm ayah dia nak hantar anak dara dia balik UITM Segamat naik keretapi di stesyen Kajang. Lepas solat mak dia nak terlentang cari bantal, baca suratkabor dan....berdengkur macam dugong kekenyangan. Penat o..jadi co-pilot pusing Bukit Antarabangsa, mengalahkan mendaki Gunung Kinabalu.
Friday, March 12, 2010 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

HARI INI DALAM SEJARAH.



Suatu masa aku sekeluarga balik kampung. Di sana ada tersimpan sesuatu yang berharga, sesuatu yang bakal menjadi kenangan abadi dalam hidup kami. Aku dibekalkan dengan dua keping kaset video yang sudahpun berusia 20 tahun. Alamak..! Lamanya..berfungsi lagi ke benda ni. Harap-harap ianya masih boleh dimainkan.
Huh! Aku teruja. Bertolak balik ke Bangi..aku pastikan dua benda ini tidak tertinggal, simpan baik-baik takut rosak pula. Hu..hu..tak sabar nak tengok isi di dalamnya, rindu nak mengimbas kenangan lalu. Sambil bersandar dikerusi kereta aku tersenyum, terbayang-bayang saat manis dulu-dulu. Malu...tapi mau...
Alhamdulillah..selamat sampai ke Bangi, tak terasa penat pun sebab hati dah berbunga-bunga, tak sabar-sabar nak tunjuk kat anak-anak ulangtayang saat manis kami dulu. Biar diaorang lihat dan rasakan kemeriahan saat indah kami memulakan suatu kehidupan.
Tentu sekali ia menjadi Hari Ini Dalam Sejarah, bukan saja buat diri aku malah kesemua ahli keluarga dan sanak saudara. Kepada sesiapa pun yang pernah melangkah ke alam ini, khususnya buat pertama-tama kalinya tak akan boleh terlupa dari lipatan kenangan sepanjang hidupnya.
Dalam video ini akan menayangkan saat-saat mendebarkan tatkalah si gadis disunting menjadi seorang isteri. Ia terlaksana dalam suasana penuh barakah. Pada suatu pagi yang indah dan cerah, dalam sebuah masjid lama penuh sejarah. Dikelilingi sanak saudara terdekat kedua-dua belah pihak, ada dua hati berdebar-debar menanti saat bakal disatukan.
Kedua-dua mempelai tampak berseri-seri, dengan berpakaian serba putih si gadis tunduk malu..lalu berlansunglah saat dinanti. Mempelai lelaki mengenggam tangan tok kadhi, dengan sekali lafaz...sahlah sudah si gadis kini menjadi seorang isteri. Menitis si air mata tanda syukur ke hadrat Illahi, kedua mempelai kini bergelar suami isteri. Bangunlah kedua pasangan ini di dalam masjid, solat syukur merendah diri menadah tangan menyatakan rasa bersyukur tidak terhingga kepadaNya. Akhirnya upacara paling utama tuntutan agama ini telah selamat terlaksana.
Isi kandungan video kaset ini memang benar-benar bersejarah kerana apabila ditonton kami bagaikan berada pada masa itu. Di samping dilanda rasa gembira kami juga diselubungi rasa hiba kerana kebanyakan orang-orang tua dan saudara mara yang masih sihat kala itu kini telah tiada. Sepanjang 20 tahun berlalu ramai yang telah pulang ke rahmatullah dijemput Illahi. Baik dari pihak aku maupun suami. Semoga roh mereka dirahmati Allah swt dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman..al Fatihah.
Paling tidak mungkin dilupa ialah saat kami diijabkabulkan, aku diwalikan oleh bapa kandungku yang ketika itu sudahpun berusia 73 tahun. Apa peliknya...sebenarnya sejak baru dilahirkan aku diambil manjadi anak angkat oleh ibu saudaraku, adik kepada bapa kandungku. Beliau ketika itu tiada zuriat sendiri dan ibu kandungku berjanji semasa aku masih dalam kandungannya apabila aku lahir nanti dia akan menyerahkan aku kepada makcikku untuk dipelihara seperti anak kandungnya sendiri.
Alhamdulillah, aku dijaga penuh kasih sayang walaupun dia juga memelihara dua anak tiri dan dua lagi anak angkat. Berkat keikhlasannya akhirnya selepas 4 tahun memelihara aku dia juga dianugerahkah zuriat sendiri, seorang anak lelaki satu-satunya anak tunggal bersama suaminya yang juga merupakan sepupu makcikku sendiri. Kami semua dibesarkan dengan penuh kasih sayang bagaikan adik beradik kandung.
Kini kedua ibubapa kandung dan ibubapa angkat aku telah lama tiada, lalu melalui video ini sajalah aku dapat melihat mereka seolah-olah mereka masih hidup, cuma saat itu ibu kandungku telah lama meninggal. Adik-beradik kandung aku juga seramai 12 orang kesemuanaya hadir memeriahkan majlis. Kini 2 orang kakak dan abangku telah meninggal juga. Beruntung aku masih boleh melihat mereka lagi saat itu, masih muda, sihat dan ceria.
Kini apabila kaset video itu hendak dimainkan semula, player pula sudah tiada..rosak sebab dah lama. Di rumah aku pulak, memang tak ada sebab video player semua dah moden hanya untuk VCD dan DVD saja. Alamak! Yang aku pandai-pandai bawak balik video cassete ni apahal. Tak terfikir pulak yang kat rumah tak ada player antik macam tu. Excited punya pasal ditambah kuat berangan ini la padahnya, padan muka aku!
Ha! Yes! Tak pasal-pasal idea brilliant aku datang. Angkut anak dara aku ajak round satu Bangi pergi tinjau kedai-kedai gambar, kedai kamera nak tanya satu soalan kat diaorang. Mujur tak masuk tanya kedai 2 hinggit, kedai betul basikal, baiki motor kereta. Itupun anak dara aku dah bengkek semacam sebab aku ada hajat nak tanya kat ciber cafe dan kedai mak andam yang siapkan orang jadi pengantin.
Punya la teruja. Kelakar campur malu bila aku bukak mulut tanya kat tokey cina/melayu/jawa kat kedai-kedai tu semua. Berani diaorang senyum-senyum ala menyindir bila aku tunjukkan video kaset tu. Aku yang pandai ni cuma tanya kalau-kalau video tu boleh ditukar atau dialih jadi CD. Pernah dengar dulu-dulu kata boleh buat cam tu. Ini diorang sengih-sengih bagi alasan tak ada dan tak boleh. Kononnya dah tak ada lagi peralatan lama-lama tu, dah ketinggalan zaman.
Apa la...baru 20 tahun. Tak kan tak ada sapa-sapa yang masih simpan video player antik ni. Habis.. cam mana aku nak tengok video hari ini dalam sejarah aku ni. Aku dan anak-anak teringin sangat nak mengimbau kenangan lalu. Abang aku kat Felda Lui tu siap dah pesan, nanti kalau boleh jadikan CD dia nak satu sebab boleh buat banyak-banyak pakai burn CD. Boleh sedekah sorang satu kat adik-beradik yang lain. Boleh tengok kembali betapa meriahnya majlis pernikahan dan majlis persandingan aku dan suami. Boleh tengok juga wajah-wajah dan keletah diaorang masa muda-muda dulu. Anak-anak diaorang yang masih kecik masa tu sekarang ramai yang dah kawin dan beranak pinak. Hari ini dalam sejarah tu!
Aku ada tanya juga kat kengkawan dan sedara mara..yang peliknya sekor pun tak ada simpan video player ni. Diaorang kata dah lama humban dalam semak atau sedekah kat India pungut barang terbuang. Sampai hati diaorang kecewakan hasrat mulia aku ni.. hu..hu.. Paling aku takut, lagi lama aku simpan video kaset ni.. naik bercendawan dan rosak dia nanti. Maklumlah terbiar tak diservis, tak diputarkan.
Ha..! Datang satu lagi idea bernas aku. Aku bercadang nak hantar ke Jabatan Arkib Negara Malaysia. Selalunya macam-macam sejarah lama-lama.. diaorang boleh siarkan kat tv, mana tau kalau-kalau arkib negara boleh tolong aku. Harap-harap impian aku ni akan jadi kenyataan, insyallah.
Thursday, March 4, 2010 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

KEMBALILAH KE PANGKAL JALAN...

Salam..
Mak apa kabar, sihat? Em.. akak nak tanya ni. Berdosa kan if bagi duit utk tlg org yg pragnant gugurkan kandungan. Hu..hu.. Takut la mak..X tau camne nak tlg dia. Kawan akak ni ditimpa pelbagai masalah besar. Akak harap akak dijauhkan dugaan yang berat2 mcmtu. Hu..hu... Nak peluk mak..Takot!
Sender;
Kakak
+013*******

Received;
00:42:55
03-03-2010

Bangun tidur awal pagi itu..dengan mata masih terpisat-pisat, aku capai telefon dan ada massage. Baca..dari anak dara aku nun jauh di Segamat. Dup..dap..dup..dap.. jantung aku berdegup laju. Baca lagi, betul-betul..hati-hati takut tersilap. Maklum mata masih kelabu. Masyallah.. dan alhamdulillah..dia bukan anak aku, nauzubillah kenapalah ia terjadi kepada kawan anak aku. Tabahkanlah dia...

Aku kenal anak gadis itu. Bermula dengan kenangan pertama kali menghantar anak sulung mendaftar masuk ke Universiti. Kebetulan semasa sibuk mendaftar terserempak dengan kawan sekolahnya. Mereka pernah sekelas namun tidak rapat. Sama-sama dari Bangi dan sebagai pelajar baru tentulah ia memberi rasa ceria di hati anakku. Masakan tidak..sebentar lagi dia akan berpisah dari kami untuk tinggal di asrama dan ini merupakan pengalaman pertamanya tinggal jauh dari keluarga. Dengan hadirnya seorang kawan tentulah terubat rasa risau, sedih dan bimbangnya.

Mereka selesai mendaftar dan yang paling seronok bila mereka berdua ditempatkan sebilik berdua. Akhirnya tinggallah mereka untuk satu semester kerana pada semester kedua, kawan anakku itu tidak mendapat kemudahan asrama lalu terpaksa menyewa di luar.

Pendekkan cerita, dugaan tinggal sendiri di luar dengan masalah kewangan, pengangkutan, makan minum, pergaulan dan segala macam itu ininya, akhirnya anak gadis itu tidak sanggup lagi meneruskan pengajian. Berhentilah dia separuh jalan dan mengambil keputusan untuk tinggal di Kuala Lumpur, mencari pekerjaan untuk menampung hidup.

Aku sama sekali tidak menyalahkan anak ini bulat-bulat. Kalau diteliti sejarah hidupnya pasti ia ada hubungkait sehingga dirinya terjebak dalam pergaulan tanpa batasan. Dari cerita mulut anakku dan sedikit perbualan serta pemerhatianku, anak ini menjalani kehidupan yang sangat mencabar jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain.

Dia - kematian ibu semasa melahirkannya. Bapanya hilang entah ke mana tak dapat dikesan. Ada abang tetapi tidak berapa ambil kisah tentang dirinya. Sejak kecil tinggal dengan neneknya dan apabila besar bersekolah menengah dia dibawa tinggal dan berhijrah ke Bangi oleh Pakciknya yang merupakan bujang terlajak.

Pakciknya tidak mempunyai kerja tetap. Sekejap bekerja di restoran, sekejap bertukar kerja sebagai pengawal keselamatan. Dan yang paling membingungkan apabila anak gadis tadi dibawa tinggal di rumah sewa yang di dalamnya tinggal semua penyewa lelaki kebanyakannya warga asing Bangla dan Indonesia.

Kerana terpaksa disitulah dia menumpang tidur, belajar, makan dan mendapatkan perlindunga serta kasih sayang dari pakciknya yang berhati mulia menanggung kehidupannya. Di situ juga dia harus pandai bersabar dan menjaga diri dari pandangan liar penyewa dan kebimbangan hati kalau-kalau ada di antara mereka yang berniat jahat.

Semasa aku mendengar cerita ini semua, sesekali kami mengajak dia tinggal di rumah kami namun dia tidak pernah sudi walau untuk singgah sebentar. Katanya dia segan sedangkan hatiku sebagai seorang ibu sentiasa bersasa bimbang dan curiga akan keselamatannya. Pakciknya tidak berdaya sedangkan dia masih ada makcik yang tinggal berdekatan. Namun atas dasar makciknya tidak mahu masuk campur dan terlibat dalam kehidupan anak ini lalu dibiarkan saja mereka pandai-pandailah mengurus kehidupan masing-masing.

Akhirnya, apabila pengajian terbengkalai, dia pula belajar hidup bedikari di KL tanpa pakciknya. Setelah mendapat kerja, punya pendapatan sendiri, ditipu kekasih hati dan akibatnya trjerumus dalam pergaulan bebas. Ditambah tertekan dengan pelbagai masalah mendatang dan kini dia telahpun termengandung lalu apa lagi ujian yang harus dia tanggung di bahunya.

Aku sebenarnya tumpang sedih, dia mengharapkan bantuan dari anakku. Katanya dia perlukan duit yang agak banyak untuk menggugurkan kandungannya dan menyelesai pelbagai masalah lainnya di samping dia juga telah berhenti kerja. Apalah daya anakku, dia pun masih belajar. Wang pinjaman PTPTN cukup-cukup untuk perbelanjaan sehingga habis semester 4 beberapa bulan lagi.

Sebagai sahabat anakku berasa serbasalah. Dia turut bersimpati dan dalam masa yang sama merasa terkilan. Dia mencadangkan supaya mereka berdua bernikah saja. Yang peliknya, kawannya menolak samasekali atas alasan kekasihnya itu tidak sesuai dijadikan suami. Berperangai tak elok dan tidak bekerja.

Aduhai... baru kini kamu sedar dari mimpi-mimpi indah. Baru kini kamu kenal siapa sebenar jantan yang kamu cintai itu. Baru kini kamu tahu diri kamu ditipu hidup-hidup oleh si dia. Setelah kehormatan kamu tergadai, setelah semuanya serba tak kena baru kini hendak menyesal. Setelah nasi menjadi bubur.

Aduhai...janganlah hanya kau tangisi hidup ini. Masih ada ruang untukmu kembali ke pangkal jalan. Jangan kau gugurkan anak yang tidak berdosa itu. Jangan kau tambah pula secalit lagi dosa besar. Dan seandainya.. apabila kau masih sudi meneruskan kandunganmu nanti, jagalah dirimu baik-baik. Bertaubatlah dan sucikanlah dirimu. Mohonlah keampunan dari ALLAH swt., Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Seandainya jua, jika kau sempat melahirkan anak itu ke dunia.. kasih dan sayangilah dia sepenuh hati kerana kau telahpun menjadi seorang ibu. Naluri seorang ibu sejati, tidak akan sanggup membuang dan membunuh anaknya sendiri. Peliharalah dia atau kalau masih tidak sanggup, berilah kepada mereka yang mahu membelanya. Bayi kecil itu juga manusia yang punya peluang untuk hidup menjadi manusia berguna.

Buat kakak, anak perempuan mak yang dikasihi. Jadikan pengalaman ini suatu iktibar dan pengajaran. Jagalah kehormatan dirimu, peliharalah akhlakmu dan awasilah pergaulanmu. Perkukuhkan imanmu sekuat mumgkin kerana perjalanan hidup ini sungguh mencabar. Banyak sekali dugaan menanti. Dalam apa jua langkah dan tindakanmu, ingatlah ALLAH selalu dan bayangkan wajah kedua ibubapamu.

Berhati-hati anakku, doa ayah ibu tidak cukup kalau dirimu sendiri tidak bermohon kepadaNYA. Perkuatkan benteng imanmu dalam menghadapi godaan syaitan dan nafsumu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...