Showing posts with label hidup lawannya mati. Show all posts
Showing posts with label hidup lawannya mati. Show all posts
Wednesday, May 26, 2010 10 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

PENGURUSAN JENAZAH II - cara/teknik memotong kain kapan.


Ustazah Arbakyah sedang menunjuk cara mengkafankan mayat. Datin Yus memberanikan diri menjadi sukarelawan model jenazah/mayat yang sentiasa tersenyum...

Ustazah menerangkan jenis kain, ukuran lebar dan panjang serta cara memulakan penyediaan serta pemotongan kain kafan.

Sabtu 22.5.10. Jam 8.30 pagi hingga 1.00 tgh. Bertempat di Surau Al Umm, Sek 1, B.B.Bangi. Sekali lagi aku diberi kesempatan menghadiri sessi kedua kursus Pengurusan Jenazah. Ia adalah sambungan dari kursus pertama yang banyak berkisar tentang bagaimana caranya apabila kita menerima khabar kematian seseorang samada ahli keluarga, saudara mara atau jiran tetangga kita.
Apa perlu dilakukan tatkala jenazah dibawa pulang ke rumah untuk dimandikan dan diuruskan. Al maklum, dalam keadaan panik dan fikiran bercelaru semua tindakan serba tak kena. Bagaimana kedudukan mayat hendak diletakkan sewaktu menghadap Qiblat samada melintang atau membujur. Nampak mudah tetapi ramai yang kurang faham. Apatah lagi urusan lain, kalau sedang bersedih tentu sekali kita mengharap orang lain yang melakukannya.
Apabila sampai masa hendak dimandikan, tentu sekali kita perlukan orang yang mahir. Sebaik-baiknya anak-anaklah yang memandikan jenazah si ibu atau ayah malah kalau berani sang suami sangat digalakkan memandikan si isteri begitu juga sebaliknya. Malang sekali kebanyakan kita amat kurang ilmu serta keyakinan diri. Banyak takut dari berani. Takut salah, takut badi, takut lemah semangat dan takut segalanya.
Inilah masanya kita ingat akan si tukang mandi mayat. Selagi kita hidup sihat ketawa ria lagi sejahtera. Menikmati kemewahan harta benda dan kelazatan makan minum lansung tidak terbayang manusia yang amat berbakti ini. Nanti di penghujung usia tatkala terlantar menanggung sakit dan ketika sedang menanti saat datangnya sakaratul maut, barulah terbayang-bayang siapalah yang akan menguruskan kita apabila telah keras kaku tidak berdaya lagi.
Samada mayat kita nanti diuruskan di rumah atau di hospital, orang pertama yang akan melihat keaiban kita adalah si tukang mandi mayat. Di situlah letaknya amanah paling tinggi dan kecekapan si pemandi mayat dalam menyempurnakan tubuh badan kita sesempurna mungkin sebelum disemadikan ke dalam tanah untuk beralih ke alam barzah.
Melihat kecekapan dan ketertiban ustazah menunjukkan contoh melalui model apatah lagi jika berdepan dengan mayat sebenar yang beraneka ragam. Begitu berlemah lembut dan sentiasa meminta izin apabila hendak membersihkan anggota badan si mayat. Mulut sentiasa komat kamit dengan bacaan doa dan ayat-ayat al Quran.
Sentiasa berpesan agar kita yang menguruskan mayat agar berhati-hati dan menghormati si mati. Orang yang telah mati tetap berasa sakit seperti semasa hidup apabila dikasari. Apatah lagi jika terpaksa dilakukan sebarang post mortem untuk mencari punca kematian. Sungguh dia tidak boleh bercakap namun kesakitan terpaksa ditanggung dalam keadaannya diam kaku sebagai mayat.
Ustazah Arbakyah sentiasa 24 jam lengkap dengan bag besarnya yang penuh peralatan memandi dan mengkafankan mayat dalam keretanya walau ke mana pergi. Telefon yang sentiasa berdering meminta khidmatnya. Sebelum sampai ke surau pada pukul 8.00 pg untuk memulakan kursus dia sudah pun selesai menguruskan 4 jenazah yang antaranya meninggal akibat denggi berdarah.
Bayangkan bilakah waktu tidurnya dan rehatnya. Namun masih tersenyum lebar, bergurau senda mencurahkan keringat dan ilmunya mengajar kami yang yang daif ini. Sedangkan pasti tubuh seorang ibu, isteri dan wanita berusia 50an itu terasa letih dan sambil menunggu masa beredar dia sudah pasti akan menerima pada bila-bila masa panggilan untuk menguruskan mayat yang lain pula. Jarang sekali dia menolak demi tanggungjawab dan amanah.
Kesabaran ustazah amat tinggi ditambah sifat merendah diri sedangkan ilmu dan pengalaman penuh di dada. Puas dicaci hina oleh tukang mandi mayat yang senior sepanjang dia menjalankan tugasnya. Niat suci menegur kesilapan si pemandi mayat yang lain semasa dia dihantar oleh Jabatan Agama untuk memantau sudah menjadi asam garamnya. Manusia ego dan berlagak ada di mana-mana, sentiasa menyangka dirinya yang terbaik. Sedangkan ilmu yang diwarisi adalah hak Allah swt jua.
Mudah-muadahan Allah swt memberi kesihatan dan kekuatan padanya. Semoga beliau dipanjangkan usia agar dapat meneruskan baktinya. Mungkin suatu hari kita semua memerlukan khidmat beliau kerana mati itu pasti datang. Bila, di mana, bagaimana hanya Allah swt yang Maha Mengetahui. Bagi menguruskan jenazah kaum lelaki, suami dan anak menantu beliau juga bertugas menguruskannya.
Untuk menghubungi Ustazah di sini disertakan alamat beliau;
Ustazah Arbakyah Asmuni, No 5 Jln Muhibbah II, Taman Muhibbah, 43000 Kajang. (belakang Tabung Haji Kajang)
Tel : 03 87335313 dan 012 6526639
Segala bayaran upah, penyelengaraan dan pengurusan jenazah sila bertanya kepada beliau sendiri. Begitu juga untuk mengadakan sebarang kursus berkaitan. Kepada sesiapa yang teringin menempah kain kafan yang telah siap dipotong juga boleh membuat demikian dengan harga RM200 satu set lengkap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...