Wednesday, February 24, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

KENAL 3 T UNTUK DAPAT SYAFAAT NABI saw.



3 PROSES UNTUK MENDAPAT SYAFAAT NABI s.a.w. :
Hendaklah kita membanyakkan istighfar dan bertaubat memohon keampunan kepada Allah bersungguh-sungguh melalui tiga proses;

1) Takhalli - mesti bersihkan diri sungguh-sungguh dari segala dosa. Berjanji tidak akan mengulangi segala kejahatan yang pernah dilakukan sama ada dosa kecil atau dosa besar.

2) Tahalli - mengisi dalam diri dengan memperkemaskan amal ibadah wajib, memperbanyakkan amalan sunat, banyakkan selawat ke atas Nabi saw dan solat malam. Semoga terbuka hijab di antara kita dengan Allah. Allah sayang, Nabi pun sayang.
Mengamalkan puasa sunat juga dapat menyucikan batin(hati) kerana hati yang sakit sukar mendapat pertolongan Allah. Jika hati sihat dan bersih, minta apa pun akan mudah dimakbulkan oleh Allah.

3) Tajalli - penghayatan, merasakan Allah berada di mana-man saja, rasa diri diperhatikan-Nya setiap saat dan ketika. Buat apa saja ingat Allah, ingat Rasulullah. Seakan ternampak malaikat Rakib dan Atid yang menjaga diri mencatat setiap perbuatan. Rindu dan kasih pada Allah dan Nabi ibarat orang yang kenal buah; dapat dipegang, dapat dirasa dan terus ingat kepada Penciptanya. Tahap ini buat apa pun asyik ingat Allah. Kasih pada Allah sangat mendalam. Melihat wajah orang yang rindu kasih pada Allah hati jadi tenang. Umpama penawar.

CINTA NABI DAN DAPAT SYAFAAT.
Kesimpulannya untuk cinta Rasul dan mendapat syafaat baginda di Padang Mahsyar sebagai jambatan menuju kesejahteraan di negeri abadi, kita hendaklah:

1) Biasakan diri berselawat untuk baginda dalam apa jua keadaan supaya berbekas di hati dan subur dalam ingatan.

2) Fahami sungguh-sungguh bahawa Nabi Muhammad saw insan paling sempurna dan tidak ada seorang manusia pun menyamai baginda. Tidak ada seorang pun boleh meminta syafaat selepas kewafatan Rasulullah dan hanya Allah sahaja yang akan mengizinkan syafaat itu berlaku seperti yang tersebut dalam surah al Baqarah, ayat 255. Baginda terlalu akrab hubungannya dengan Allah swt. Kasih pada Nabi bererti kasih kita pada Allah.

3) Berusaha cari jalan berguru dengan guru mussyid yang boleh beri petunjuk dalam membimbing menghidupkan amalan sunnah, ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah supaya jadi insan contoh; buat apa saja yang Rasulillah buat.

4) Ibu bapa mesti terlebih dulu jadi contoh dalam rumahtangga untuk menghidupkan sunnah Nabi saw. Kejayaan pendidikan di rumah sangat membantu ke arah membendung gejala sosial yang melanda negara. Ibarat kata pepatah, "Batang yang bengkok tidak akan dapat menghasilkan bayang yang lurus."

Semoga peringatan dari Ustaz Hj.Hassan Mahmud Al-Hafiz dapat menjadi panduan kepada kita untuk lebih mencintai Rasulullah saw, insyallah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...