Wednesday, January 27, 2010 0 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

JOM SENAMROBIK NAK?

Lega dan seronok rasa hati bila aktiviti senamrobik dekat klinik kesihatan depan rumah aku dah bergerak semula. Punya lamanya bercuti sejak bulan puasa tahun lepas, raya dan on and off akibat cuaca. Bila hujan petang jawabnya kensellah program.

Sebenarnya semua warga BBBangi dijemput bersenamrobik sama bermula pukul 6.00 ptg hingga lebih kurang 7.00 ptg. Hari yang ditetapkah ialah pada hari Rabu dan Jumaat. Pada asalnya peserta yang sangat-sangat diharapkan hadir ialah para pesakit yang datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti. Melihatkan kehadiran yang mendukacitakan lalu dijemput kepada sesiapa yang sudi dan berminat.

Pada asalnya aku yang tercongok depan klinik ni pun tak tau cerita. Walaupun sebenarnya dah beberapa tahun ia bermula. Bila terdengar muzik berkumandang, ada lagu poco-poco, lagu Arab, lagu Siam, rentak zapin, dangdut dan sebagainya naik pelik juga. Bila jenguk rupanya ada orang tengah bersenam dipimpin seorang lelaki macho, staf klinik drebar ambulan lagi. Tapi, tunjuk ajar dia kira pro sebab selalu kena pergi kursus senamrobik anjuran kementrian kesihatan. Wow! Cam seronoknya, nak join segan ingatkan untuk staf klinik kesihatan tu aje.

Akhirnya bila suatu hari dipelawa oleh peserta tetap program tu apa lagi, diam tak diam dah hampir tiga tahun kita join the club. Kalau dulu badan dan sendi-sendi selalu sakit-sakit kini adalah lembutnya. Andai tubuh badan dulu tergolong mereka yang digelar obesiti, kini ada juga mulut manis yang menegur kita nampak susut sikit. Pendek kata tak rugilah kalau ada sesiapa yang berminat.

Dahlah FOC- Percuma, tak payah jadi ahli kelab atau ke gym. Cakap pasal gym, kepada sesiapa yang tak ada kerja pagi-pagi tu, lepas hantar anak ke sekolah bolehlah singgah klinik. Anda boleh mendaftar untuk menggunakan kemudahan peralatan dalam gym kecil secara percuma dan bersenamlah sambil mengeluarkan peluh dan dapat pula menjaga kesihatan. Ia terbuka kepada semua baik lelaki mahupun perempuan. Bagi yang berminat silalah ambil kesempatan. Kepada yang malas rajin-rajinlah mencipta alasan.

Aku promote ni pun bukan dapat wang ikhsan atau royalti, sesaja nak bagi meriah sebab setakat ni ramai juga yang join datang dari pelbagai seksyen dan area sekitar Bangi. Kategori umur pun menarik sebab kebanyakannya yang hadir ialah mak orang yang dah vateran dan yang selalunya pasti dah mewarisi anika ragam penyakit. So... sesiapa yang rasa tulang temulang dan urat saraf dia tak akan patah dan putus bila bergoyang ikut rentak yang rancak, jemputlah ya join kita orang.

Anda boleh pakai apa saja jenis pakaian yang selesa, asalkan menutup aurat dan kasut sukan. Jangan seksi sangat, sebab ada juga mak orang yang berani mati seksa mata kita dengan pakai baju sendat seluar ketat. Nak tegur tak sampai hati, maklumlah dah berumur masing-masing. Kita pulak segan silu sedang dia buat dek jer. Senam-senam juga maruah kena jaga beb!

Dijamin perasaan anda akan terasa muda dan remaja bila dah tak terasa malu tatkala dah biasa menari dan berjoget mengikut tunjukajar coach. Akhirnya anda akan terasa rindu dan terkilan bila tertinggal atau tak dapat datang salah satu sessi senaman tersebut. Apa lagi, ada time jangan malu-malu dan malas-malas. Come and join the club now!
Thursday, January 14, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

RINDUNYA KAT KENGKAWAN BLOGGER..

Wow! Diam tak diam dah lama juga aku tak buat apa-apa kat blog ni. Terasa malas betul nak menghadap depan komputer ni. Semenjak komputer ni masuk wad, dihantar kepada sahabat suami yang minat dan agak pandai bab godeh mengodeh komputer ni maka tinggallah dia selama dua minggu di rumah orang tu. Punca penyakitnya jangan tanya aku, yang pasti bila nak pasang printer HP DESKJET F2280 All-in-One yang baru suami beli, tak pasal-pasal dia tak nak jalan. Alhamdulillah entah apa kawan tu operate dengan susah payahnya akhirnya semua dah ok.


Selama komputer ni tak boleh guna punyalah boring dan gundah gulananya anak-anak aku. Aku pulak no hal walau terasa rindu juga tak dapat tinjau cerita dan berita dari kebanyakan blog yang aku sering ikuti. Anak-anak nak main game dan sebagainya semua tergendala. Tau-tau bil MAXIS BROADBAND dan sampai minta dibayar, terasa rugilah pulak hari-hari yang berlalu begitu aje.


Ini ha baru nak duduk mengetuk keyboard, anak dah panggil mak..mak.. minta tolong hantar dia pergi sekolah. Hidung pulak sok sek..sok sek meleleh hingus kena selsema yang aku pasti berjangkit dari anak murid aku. Sepanjang cuti sekolah berbulan haritu aku ok jer, tetiba bila naik sekolah je tekak sakit, kepala berdenyut-denyut dan akhirnya aku selsema. Matapun kuyu mengantuk nak tertidur.


Harap-harap sebelum aku terlena lepas hantar anak ke sekolah ni, aku teringin jugak nak tengok gerhana matahari. Kabarnya akan berlaku kejap lagi dalam pukul 3.00 ptg. Kalau sempat boleh buat solat sunat gerhana. Bila-bila dah segar bugar nanti baru boleh curah idea yang membuak-buak ni. Maklum baru bukak sekolah macam-macam karenah cikgu-cikgu kena hadap. Apalagi layan aje la...sabor jelah cikgu.....
Friday, December 25, 2009 0 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

SELAMAT HARI LAHIR ANGAH..KAMI SaaaYANG ANGAH!!




Mak, ayah, kakak dan adik ucapkan Selamat Ulangtahun ke 16. Jadilah hero mak ayah yang berhati mulia dan berakhlak sempurna. Taat perintah Allah dan Rasulnya serta jadikan al Ouran teman setia.

Mak ayah sentiasa mendoakan kejayaan angah dunia akhirat. Berazamlah untuk berlajar bersungguh-sungguh sebab tahun 2010 angah akan berjuang habis-habisan untuk SPM. Semoga angah sentiasa tabah dan diteguhkan iman dalam menempuh segala rintangan, insyaallah.



























Monday, November 30, 2009 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

DAGING KORBAN AIDILADHA

Petang semalam cik abang balik menjijit sebungkus daging korban dari tempat kerjanya. Sebagainana lazimnya hampir setiap tahun dengan izin Allah terlaksanalah hajat beliau melakukan ibadah korban sempena Aidil Adha.

Walaupun bekerja seperti biasa namun mereka dibenarkan sama-sama melihat, membantu mana yang patut dengan menggunakan masa secara bijaksana. Setelah masuk waktu zohor, berjemaah di masjid dan tibalah masanya warga UNITEN menjamu selera. Dari berbelas ekor lembu korban, dua ekor dikhaskan untuk dibuat hidangan. Selebihnya disedekahkan kepada mereka yang selayaknya.

Ada yang dibuat sup biasa, sup ala tom yam, gulai dan nasinya disumbat daging ala briyani gam. Wow, pasti menyelerakan. Kesemua ahli keluarga warga UNITEN dijemput hadir ke majlis dan menikmati jamuan yang disediakan. Cik abang dah pesan silalah datang ke masjid bersama anak-anak andai teringin menjamu selera, jangan malu-malu.

Akhirnya bila tengok jam dah pukul 12.00 tengahari, tengok pulak langit yang mendung dan cuaca suram semacam, tetiba aje mood pun hilang. Semalam anak-anak bersemangat terutamanya si hero sorang ni, alih-alih kata tak payah pergi la pulak. Telan air liur ajelah bila dengar cerita ayah nanti ye...

Kebetulan Aidil Adha tahun ini kami sambut di rumah, tak balik kampung pun. Nak balik kampung aku, kedua orang tua dah tak ada. Mujur di kampung suami masih tinggal ibu mertua. Kami sudah pun memohon maaf tak dapat pulang dan minta izin beraya di rumah. Insyaallah, pada 4 atau 5 haribulan kami sampai sambil memenuhi jemputan walimatulurus sepupu suami disebelah rumah emaknya.

Kesian mengenangkan anak-anak terliur jamuan di tempat kerja ayahnya, apalagi daging korban bahagian suami yang dibawa tadi menjadi hidangan makan malam kami gamaknya. Specialnya jamuan kali ini hasil air tangan ibunya, resepi biasa-biasa tetapi ori. Terjaga kebersihan lagi kesuciannya. Bukan saja di masukkan rempah dan ramuan, ditambah zikir dan selawat agar berkat dan mendapat rahmat. Barulah hidangan dimakan tarasa ni'mat.

Dapat pulak khidmat ikhlas daripada suami menghiris daging lalu merebusnya agar empuk. Anak-anak ada yang mengopek bawang, memotong sayur dan menanak nasi. Kucing kesayangan dan kucing mendatang pun ikut sama bising di luar mengeow apabila tercium aroma daging segar yang berasap-asap di dapur.

Bila daging sedang elok empuknya, bermulalah tugas profesional si ibu. Sebahagian daging dimasak kicap lada hitam, sebahagian lagi dimasak asam pedas Johor dan sedikit lagi daging rebus untuk dikongsi dengan makhluk berbulu pelbagai warna di luar tadi ; si Tom dan rakan-rakan seperjuangannya. Kucing pun teringin juga nak merasa....

Selepas sayur dan lauk pauk siap dimasak... masanya telah tiba, selepas solat maghrib kami pun MAKAN. Berselera sungguh anak-anak dan suami. Inilah saat paling gembira si ibu. Sambil menjamu selera dapat berkumpul beramai-ramai sempena cuti sekolah dan cuti semester.

Terima kasih ya Allah memberi kami ni'mat makan dan berkasih sayang. Memberi begitu banyak kebahagiaan dan pelbagai kurniaan. Sedang di luar sana begitu ramai insan yang mederita dan berduka lara. Bantulah mereka mengecap ni'mat yang sama.

Kepada kami duhai ALLAH, jangan sampai aku, suami dan anak-anak lalai dan terleka. Aduhai anakanda renunglah firman Allah SWT:

"Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal yang soleh."
[Al- Mukminun: 51]. Firman Allah lagi, "Janganlah kamu makan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan kebatilan (jalan yang tidak betul)".

Ingatlah anak-anakku, makan minum sebenarnya ada kaitan dengan turunnya petunjuk dan pedoman dari Allah swt. Ini kerana hidayah dan taufik itu jatuhnya ke dalam hati. Jika hati sudah keras dan gelap akibat makan dan minum yang haram maka menjadi sukar untuk menangkap petunjuk dari Allah. Dadanya akan sempit melihat kebaikan.

Sedangkan baik buruknya tingkah laku manusia ada kaitan dengan hati. Sementara hati itu ditempa oleh makan dan minum kerana darah dan daging seseorang itu berasal daripada makanan yang dihadamkan.

Sabda Nabi s.a.w. :
"Sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik ia maka baiklah seluruh tubuh badan. Jika rosak ia maka rosak binasalah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa seketul daging itu ialah hati."
Sunday, November 29, 2009 0 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

ZURIAT.

9 ZURIAT SYAITAN.

Sayidina Umar berkata, syaitan mempunyai 9 zuriat:

1. ZALITUN - Menjaga pasar. Dia akanmenghasut penjual supaya menipu dan mengurangkan timbangan.

2. WATHIN - Suka membuat kekacauan.

3. A'WAN - Menjaga para pemerintah.

4. HAFFAF - Menjadi sahabat pemabuk.

5. LAQUS - Menjadi sahabat kepada penyembah berhala (orang yang syirik)

6. DASIM - Menjadi penjaga rumah ( syaitan yang ditugaskan memecahbelahkan rumahtangga orang ). Apabila suami masuk ke rumah tanpa memberi salam serta tidak mengingati Allah, maka berlakulah pergaduhan dengan isterinya hingga membawa kepada perceraian dan sebagainya.

7. MUSAWIT - Menjadi sahabat kepada orang yang menyebar berita palsu.

8. WALHAN - Meragu-ragukan manusia dalam solat, ketika berwuduk dan juga ketika melakukan ibadah yang lain.

9. MUROH - Teman kepada pemuzik ataupun penyanyi.

Jika dilihat pada nama zuriat syaitan di atas boleh tahan sedap bunyinya. Olehitu diharap berhati-hatilah kepada semua ibu bapa tatkala hendak memilih nama anak-anak anda. Biarlah sedap bunyinya dan sedap juga maknanya. Dibimbangi nama yang buruk pengertiannya akan memberi kesan tidak baik pada akhlaknya.

PERHIASAN.

8 PERHIASAN.

Sayidina Abu Bakar r.a berkata: Terdapat 8 perkara yang menjadi perhiasan kepada 8 perkara:

1. Menjaga perkara yang haram ialah perhiasan kepada fakir.

2. Syukur adalah perhiasan kepada ni'mat.

3. Sabar adalah perhiasan kepada bala.

4. Tawaduk adalah perhiasan kepada kemuliaan.

5. Berlemah lembut adalah perhiasan kepada ilmu.

6. Merendah diri adalah perhiasan bagi orang yang bercakap.

7. Meninggalkan riak (menunjuk-nunjuk) itu adalah perhiasan kepada kebaikan.

8. Khusyuk itu perhiasan bagi sembahyang.
Friday, November 27, 2009 1 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...