Semalam Selasa 8.12.2010 jam 4.00 ptg.
Menjemput Angah pulang dari sekolah setelah selesai menduduki kertas Biology - kertas dan subjek terakhirnya dalam peperiksaan SPM 2010.
Entah kenapa hati dijentik rasa sayu...melihat angah dengan baju sekolah coklat cair, seluar panjang coklat pekat, bersongkok dan berkasut hitam berserta bag sekolah tersandang dibahu. Nanti pasti aku akan merindui saat menghantar dan menjemput dia pergi dan pulang dari sekolah. Perasaan yang sama dirasa sewaktu kakaknya meninggalkan alam persekolahan dan kini meneruskan study di universiti.
Rutin seorang ibu, kerja ikhlas yang digalas bertahun-tahun..tanpa rasa jemu. Buat kaum ibu yang diamanahkan suami bertugas menghantar dan menjemput anak pergi dan pulang dari sekolah..diharap janganlah mudah mengeluh. Lakukan dengan sepenuh tanggungjawab tanpa mengungkit-ungkit akan susahpayah kita itu. Anak-anak kita tanggungjawab kita.
Betapa lega hati apabila anak yang kita jemput dari sekolah, selamat kembali ke pangkuan kita. Tak perlu risau pening kepala memikirkan keselamatan mereka. Tenang hati apabila dari jauh sudah nampak kelibat mereka. Lapang dada bila dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih kerana bersyukur kita ibunya sanggup bersusah payah menjemput dia. Walau dalam hujan dan terik matahari.
Inilah kenangan paling abadi yang pasti akan dikenang oleh anak-anak dan kita sendiri. Nanti tugas harian ini akan berhenti tatkala dia sudahpun meninggalkan alam persekolahan. Sekali lagi kita akan nikmati suasana yang sedikit berlainan apabila anak-anak berpeluang menyambung pelajaran ke IPT dan sebagainya. Masih menghantar dan menjemput mereka mencari ilmu tapi pada suasana dan waktu yang berbeza. Lalu saat-saat manis berulang lagi menjadi memori paling indah dalam diari hidup kita sebagai ayah dan ibu.
Kepada teman-teman yang anak-anak mereka dijemput pergi dan pulang sekolah oleh orang lain menggunakan van, bas atau apa saja..anda juga seorang ibu dan ayah yang perihatin. Mengamanahkan seseorang dan harus membayar dengan ongkos yang bukan sedikit, merupakan suatu pengorbanan yang bukan calang-calang. Nanti anak-anak anda juga akan terkenang-kenang dan berterima kasih atas pengorbanan anda.