Monday, November 30, 2009 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

DAGING KORBAN AIDILADHA

Petang semalam cik abang balik menjijit sebungkus daging korban dari tempat kerjanya. Sebagainana lazimnya hampir setiap tahun dengan izin Allah terlaksanalah hajat beliau melakukan ibadah korban sempena Aidil Adha.

Walaupun bekerja seperti biasa namun mereka dibenarkan sama-sama melihat, membantu mana yang patut dengan menggunakan masa secara bijaksana. Setelah masuk waktu zohor, berjemaah di masjid dan tibalah masanya warga UNITEN menjamu selera. Dari berbelas ekor lembu korban, dua ekor dikhaskan untuk dibuat hidangan. Selebihnya disedekahkan kepada mereka yang selayaknya.

Ada yang dibuat sup biasa, sup ala tom yam, gulai dan nasinya disumbat daging ala briyani gam. Wow, pasti menyelerakan. Kesemua ahli keluarga warga UNITEN dijemput hadir ke majlis dan menikmati jamuan yang disediakan. Cik abang dah pesan silalah datang ke masjid bersama anak-anak andai teringin menjamu selera, jangan malu-malu.

Akhirnya bila tengok jam dah pukul 12.00 tengahari, tengok pulak langit yang mendung dan cuaca suram semacam, tetiba aje mood pun hilang. Semalam anak-anak bersemangat terutamanya si hero sorang ni, alih-alih kata tak payah pergi la pulak. Telan air liur ajelah bila dengar cerita ayah nanti ye...

Kebetulan Aidil Adha tahun ini kami sambut di rumah, tak balik kampung pun. Nak balik kampung aku, kedua orang tua dah tak ada. Mujur di kampung suami masih tinggal ibu mertua. Kami sudah pun memohon maaf tak dapat pulang dan minta izin beraya di rumah. Insyaallah, pada 4 atau 5 haribulan kami sampai sambil memenuhi jemputan walimatulurus sepupu suami disebelah rumah emaknya.

Kesian mengenangkan anak-anak terliur jamuan di tempat kerja ayahnya, apalagi daging korban bahagian suami yang dibawa tadi menjadi hidangan makan malam kami gamaknya. Specialnya jamuan kali ini hasil air tangan ibunya, resepi biasa-biasa tetapi ori. Terjaga kebersihan lagi kesuciannya. Bukan saja di masukkan rempah dan ramuan, ditambah zikir dan selawat agar berkat dan mendapat rahmat. Barulah hidangan dimakan tarasa ni'mat.

Dapat pulak khidmat ikhlas daripada suami menghiris daging lalu merebusnya agar empuk. Anak-anak ada yang mengopek bawang, memotong sayur dan menanak nasi. Kucing kesayangan dan kucing mendatang pun ikut sama bising di luar mengeow apabila tercium aroma daging segar yang berasap-asap di dapur.

Bila daging sedang elok empuknya, bermulalah tugas profesional si ibu. Sebahagian daging dimasak kicap lada hitam, sebahagian lagi dimasak asam pedas Johor dan sedikit lagi daging rebus untuk dikongsi dengan makhluk berbulu pelbagai warna di luar tadi ; si Tom dan rakan-rakan seperjuangannya. Kucing pun teringin juga nak merasa....

Selepas sayur dan lauk pauk siap dimasak... masanya telah tiba, selepas solat maghrib kami pun MAKAN. Berselera sungguh anak-anak dan suami. Inilah saat paling gembira si ibu. Sambil menjamu selera dapat berkumpul beramai-ramai sempena cuti sekolah dan cuti semester.

Terima kasih ya Allah memberi kami ni'mat makan dan berkasih sayang. Memberi begitu banyak kebahagiaan dan pelbagai kurniaan. Sedang di luar sana begitu ramai insan yang mederita dan berduka lara. Bantulah mereka mengecap ni'mat yang sama.

Kepada kami duhai ALLAH, jangan sampai aku, suami dan anak-anak lalai dan terleka. Aduhai anakanda renunglah firman Allah SWT:

"Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal yang soleh."
[Al- Mukminun: 51]. Firman Allah lagi, "Janganlah kamu makan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan kebatilan (jalan yang tidak betul)".

Ingatlah anak-anakku, makan minum sebenarnya ada kaitan dengan turunnya petunjuk dan pedoman dari Allah swt. Ini kerana hidayah dan taufik itu jatuhnya ke dalam hati. Jika hati sudah keras dan gelap akibat makan dan minum yang haram maka menjadi sukar untuk menangkap petunjuk dari Allah. Dadanya akan sempit melihat kebaikan.

Sedangkan baik buruknya tingkah laku manusia ada kaitan dengan hati. Sementara hati itu ditempa oleh makan dan minum kerana darah dan daging seseorang itu berasal daripada makanan yang dihadamkan.

Sabda Nabi s.a.w. :
"Sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik ia maka baiklah seluruh tubuh badan. Jika rosak ia maka rosak binasalah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa seketul daging itu ialah hati."

2 comments:

ASH said...

Ada sebungkus daging korban dalam peti ais tu.
Tapi tak sempat naik periuk lagi!!

Pn Kartini said...

Salam Sis..
Now...stop kejap makan daging..:):)sbb sblm ni berturut hari !!aduhaii..:):)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...