Selalu dan kebiasaanya apabila menerima tetamu kami kerap menerima komen yang serupa. Semasa di halaman rumah untuk mengiringi mereka pulang pasti ada yang memberi komen pasal lokasi rumah kami. Antara komen kawan-kawan dan saudara mara yang biasa kami dengar :-
* senanglah nak cari rumah ni, walau tak pernah sampai tapi tak pening nak tuju. Tak payah masuk sana masuk sini, pusing sana pusing sini sampai sesat dibuatnya. Landmark pun banyak dan senang nak cam. Ya ke, alhamdulillah.
* untung rumah kau berdepan dengan Pusat kesihatan/Klinik kesihatan kerajaan, senang nak dapat rawatan. Sakit pening langkah parit depan rumah dah sampai klinik. Kalau mengandung rasa nak terberanak jalan selangkah dua dah jumpa mak bidan. Kalau patah riuk atau cedera ke, merangkak pun sampai. Ya ke, ish..ish..ish.. alhamdulillah.
* kalau nak jumpa doktor sementara nak tunggu no giliran kena panggil, siap boleh balik rumah tengok tv atau lepak-lepak, kata diaorang. Ya ke, ish..ish..ish.. alhamdulillah.
Semua tu aku ya kan aje la sebab memang kebetulan. Eh, ada lagi nak komen pulak.
* untung betul kau pondok pengawal pun tertonggoh depan rumah kau. Tak payah kau nak risau bimbang pasal pencuri, perompak, penyamun yang semakin menjadi-jadi sekarang. Hari malam nyenyak kau tidur sebab ada Pak Guard tengok-tengokkan rumah, kereta, motor, basikal dan segala harta benda kau waima selipar buruk kau pun. Ya ke, ish..ish..ish.. alhamdulillah.
* kalau lapar nak cari makan depan klinik tu macam-macam ada. Nasi dagang, nasi lemak, nasi ambeng, kuih muih, surat khabar, majalah apa aje semua ada. Restoran mamak, Thailand, Melayu pantai timur pantai barat, Western semua dekat dan 24 hours. Setakat tetamu datang mengejut no problem tak payah kalangkabut nak masak order jer. Ya ke, ish..ish..ish alhamdulillah.
Syukur Allah letakkan aku dapat menetap tinggal di sebuah bandar yang dikelilingi penduduk yang 90 peratus adalah masyarakat melayu. Di kelilingi juga oleh pusat-pusat pendidikan ternama, IPTA, IPTS dan cerdik pandai yang bertugas dan kebanyakan menetap di sini.
Namun sudah namanya manusia kebanyakannya kita kadang-kadang terlupa hendak mensyukuri segala kemudahan yang sedia ada di depan mata. Kita masih juga mengharap sesuatu yang lebih lagi atau bila dah dekat tidak digunakan sepenuhnya kemudahan tersebut.
Bila sesekali berjalan di kawasan perumahan yang lain dan terlihat betapa dekatnya rumah si pulan dengan masjid, pasti suami aku akan berkata; untungnya rumah dia sebelah masjid, senang nak pergi solat berjemaah. Dia memang teringin betul kalau rumah kami dekat sangat dengan masjid padahal masjid UKM dan surau-surau perumahan pun tidaklah berapa jauh. Kenalah berkereta atau naik motor bila nak berjemaah seperti yang biasa dia lalui setiap hari.
Bagi aku terpulanglah pada individu tersebut, pokok pangkal hati dan kemahuan. Walaupun sebesar dan secantik manapun masjid tersergam di tepi rumah dia. Dan walau sekuat manapun azan dilaungkan ke lubang telinga tetapi kalau hati kata tak mau, akal kata solat kat rumah pun sama janji solat, nak kata apa lagi. Biarlah kalau masjid dan surau jauh sikit, lagi panjang kita melangkah lagi banyak pahala Allah bagi kat kita.
Tengoklah masjid-masjid kita bila solat berjemaah didirikan, tak sampai lima jari boleh dikira saf-saf yang berbaris. Ish..ish..ish.. mana pergi kariah dan masyarakat melayu islam di kawasan perumahan kita pergi. Sibuk di siang hari dan sibuk pula pada malam harinya. Alasan letih dan tak sempat biasa bermain dibibir bila di ajak berjemaah. Apakan daya, sendiri mau ingat bak kata si Nabil lu pikir la sendiri.
Sementara ada kemudahan yang Allah kurniakan baik berupa kesihatan, umur, masa, harta benda eloklah kita pergunakan sebaik mungkin. Sebelum kita terlambat dan akhirnya menyesal tak sudah tatkala nyawa.. sudah tinggal di keronkongan.
" Wahai Tuhanku, ya ALLAH bahawasanya aku berlindung dengan Engkau daripada kelemahan, kemalasan, ketakutan, kekikiran, kegundahan dan daripada azab kubur. Jadikanlah kami sentiasa mensyukuri ni'mat kurniaan Mu dan bersabar dalam menghadapi ujian dariMu."
0 comments:
Post a Comment