Monday, February 21, 2011 8 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Dia tak solat, akukah yang bersalah...?


Cuti Maulidurasul pada hari Selasa 15 Feb 2011 yang lalu, aku dikunjungi tetamu secara mengejut. Dah sejengkal dari rumah baru mereka teringat nak telefon tuan rumah. Hari cuti maknanya hari bersantai, lepak-lepak sambil tengok TV. Nak pergi Masjid Besi di Putrajaya tak jadi walaupun bukan jauh sangat dari Bangi. Asalnya teringin nak tengok secara dekat orang berarak, berselawat dan merasa kemeriahan hari meraikan kelahiran junjungan besar kita Rasulullah.

Telefon berbunyi seraya suara bertanya tuan rumah. "Assalamualaikum, boleh kitaorang datang rumah tak.." Dah orang bertanya, aku pun jawab. "Eh, sila..sila..jemputlah tapi siapa bercakap ni ye..?" Alahai.. bukan orang lain, suku sakat kaum kerabat adanya. Tinggal pun dekat jer nun kat KL sana.

Dari duduk melepak dan terbongkang anak beranak kekenyangan depan TV di petang hari tetiba jadi kalangkabut. Pegang itu pegang ini, kemas itu kemas ini, campak sana campak sini, sorok situ sorok sini. Cepat-cepat siapkan diri, al maklum tetamunya dah depan hidung baru nak bagitahu nak datang. Kok ye pun bagitahulah awal sikit, boleh gak aku goreng mee ke, masak soto ke atau buat pengat atau bubur untuk dihidang. Sudahnya macam kilat suami ke gerai tepi jalan simpang ke luar taman membeli goreng pisang dan karpap. Dah itu aje yang tinggal. Mujur ada orang berjual cuti-cuti ni.

Tetamu sampai betul-betul azan Asar sedang berkumandang. Selesai menghidang teh o panas dan kuih muih tadi kami pun rancak bersembang. Dari satu topik ke satu topik. Ada yang serius ada yang lucu. Maklum, walaupun masing-masing tinggal bukanlah jauh jaraknya namun untuk bertemu memang payah. Aku dan suami bukan jenis suka sangat berjalan ke rumah orang jika tiada perkara yang perlu. Bertelefon bertanya khabar pun berat.

Sembang kencang menyebabkan masa berlalu tanpa disedari. Alamak..! Aku belum solat asar lagi sedangkan jam dah menunjukkan hampir 6.30 petang. Lalainya aku...astaghfirullah.. Encik suami selepas berbual sebentar dengan tetamu telah siap menunaikan tanggungjawabnya pada yang Esa. Aku yang ditinggal melayan tetamu macam tak sedar diri berborak, dah namanya perempuan..lagipun ada perkara amat penting yang sedang dibincangkan bersama tetamu aku tadi. Hal keluarga dan bab-bab yang berkaitan dengannya.

Aku segera meminta diri untuk solat dan meninggalkan suami melayan tetamu. Usai bersolat, aku turun ke bawah menyertai mereka semula. Mulut terasa berat hendak bertanya kepada tetamu apakah mereka sudah solat asar. Harapan aku mereka sudah tahu sama tahu, tentunya telah maklum akan tanggungjawab masing-masing.

Tetamu yang hadir bukan anak-anak yang belum baligh. Si suami sudah 65 tahun, si isteri sudah lebih 55 tahun - sudah monopous khabarnya, si anak perempuannya sudah jadi mak orang sebab dibawa bersama anaknya yang masih tadika. Mengajar di sebuah sekolah menengah aliran agama. Hello...masih perlu aku ingatkan ker..? Kang kecik hati pulak. Tadikan aku dah bagitau nak mintak diri untuk bersolat, faham-faham sajalah. Itu dah kira ala-ala mengingatkan le...

Untuk si anak perempuan mereka aku anggap dia tengah bendera merah(haid), ada alasan kongkrit tu. Mak ayah dia pulak..? Takkan kata dah jamak solat zohor asar tadi. Hati sudah berkata-kata, aku dan suami nak bertanya atau menyuruh rasa semacam aje. Sudahnya kami layan terus dia berborak.

Diam tak diam, berkumandang pula azan Maghrib. Seperi biasa, suami minta diri untuk solat berjemaah di masjid. Tetamu masih tak habis-habis nak berborak. Dari seteko air dah jadi dua, kuih muih sudah licin bersisa. Melihat kami sudah berdiri ke hulu ke hilir, akhirnya mereka minta diri untuk pulang. Selepas bersalaman dan menghantar mereka ke kereta, kami pun berpisah. Harapan aku sempatlah mereka singgah di mana-mana masjid atau surau untuk mengerjakan solat Maghrib nanti. Bukan apa, jika terperangkap dalam kesesakan jalanraya.. bimbang tertinggal pulak solat maghrib nanti.

Aku sekeluarga memang suka jika ada tetamu terutama saudara mara dan kenalan yang sudi berkunjung ke rumah. Andai berpesan dari awal bukankah seronok dapat menyediakan serba sedikit hidangan istimewa untuk tetamu menjamu selera. Memuliakan dan menjamu tetamu sunnah Rasulullah. Ada yang berkata , tetamu datang membawa pahala..pulang menghapuskan dosa-dosa kecil kita.

Aku bercerita bukan nak mengaibkan sesiapa. Sekadar hendak mengingatkan diri sendiri sebab yang empunya diri ini pun banyak khilafnya. Masuk waktu, suka dilengah-lengahkan. Puas suami menegur dan menyindir sekiranya bila dia pulang berjemaah di surau/masjid, aku masih belum solat lagi.

Akibat melewat-lewatkan solat ni, akhirnya kita lalai. Sibuk membesarkan hal-hal dunia contohnya buat-buat sibuk mengemas rumah, memasak, basuh pinggan, jemur kain, jaga anak, tengok tv, berblog, berfacebook. Mulalah mata nampak itu nampak ini, nak pegang itu nak pegang ini, nak bereskan itu nak bereskan ini. Akhirnya waktu solat pun hampir luput. Mulalah kalang kelibut. Baru nak mandi, bersyampoo, berlulur dan sudahnya berwudhuk ala kadar. Akibatnya solat fardhu ditunaikan secara express, laju dan tunggang tunggik macam ayam patuk padi. Bacaannya asal yang wajib saja, entah betul entah salah tajwidnya.

Masyallah..tahu salah, sedar tak elok. Taubat sudah beribu kali tapi buat juga. Umur makin lanjut, perangai masih tak banyak berubah. Apalagi kalau habit meninggalkan solat atau suka amalkan suka-suka qada' solat setelah meninggalkan dengan sengaja. Seingat aku, orang tua dulu-dulu ramai yang berpegang cara begini. Kalau mereka sibuk dalam kenduri kendara, selamba aje meninggalkan solat. Sibuk katanya, tak apa nanti boleh qada' di rumah. Sedikit pun tidak rasa bersalah dan berdosa.

Aduhaaaii...janganlah generasi kini terikut-ikut. Terutamanya kepada anak-anak mak di rumah. Sabarlah dan jangan jemu mendengar mak ayah menegur kalian agar segera mengerjakan solat. Jangan marah saat kalian bergembira bersama teman-teman di luar, kalian terima sms mak ayah bertanyakan kalian sudah solat atau belum. Jangan merungut tatkala kamu dilamun mimpi indah, mimpi kalian tergganggu dengan suara dan ketukan pintu bilik mengejutkan kamu dari lena. Segeralah patuh anak-anakku.

Perintah ini bukan dari mak ayah, tapi sebenarnya dari Allah swt yang menghidupkan kita. Jangan sesekali kita lupa. Kita sedang menghirup udara kurniaanNya dan berpijak di mukabumi ciptaanNya. Kalau kita terlupa mari kita ingatkan, kalau kita terlalai mari kita sedarkan tetapi kalau kita sengaja buat-buat lupa serta engkar, memang layaklah kita semua dihumban ke neraka jahanam paling dalam!!!!

Friday, February 18, 2011 0 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

PENYAKIT


Sakit. Kata orang jangan cari penyakit. Siapalah yang inginkan rasa sakit dan jatuh sakit. Sakit dan penyakit pun ada beribu aneka jenis sakit. Sakit rohani dan jasmani. Sakit mental dan fizikal.


Sekarang ini musim orang sakit, padahal tiap-tiap hari mesti ada orang sakit. Cumanya ramai sangat di sekeliling kita yang diserang demam, batuk dan selsema secara berpanjangan. Sesetengahnya baru saja pulih dah diserang lagi. Walaupun bukan penyakit kronik namun sudah namanya sakit pasti tak selesa kita dibuatnya. Apakah tahap imun dan antibodi tubuh kita sudah semakin lemah atau kuman serta virus di sekeliling kita sudah semaki kuat.


Di kawasan sekitar perumahan dan kejiranan aku sudah semakin banyak tergantung kain rentang yang memberi amaran bahawa DENGGI telah dan sedang aktif menyerang kawasan anda. Fogging menghapuskan nyamuk AEDIS sudah mula dijalankan oleh Jabatan Kesihatan. Mereka menyembur parit dan longkang serta kawasan sekitar rumah. Tindakan diambil kerana sudah ramai yang dikesan menghidap demam denggi semasa mendapatkan rawatan di klinik.


Hendak dikatakan penduduk sekitar perumahan pengotor, macam tak patut. Mereka yang terkena demam denggi kelihatannya tinggal di kawasan perumahan yang cantik, bersih dan terjaga. Peliknya mereka ini pula yang menjadi mangsa. Pandai sungguh nyamuk-nyamuk Aedis ini memilih mangsanya.


Penyakit mental dan fizikal yang boleh dirawat oleh para doktor, insyallah mudah diubati dengan membekalkan ubat-ubatan pada pesakit. Kalaupun tidak boleh disembuhkan seratus peratus, sekurang-kurangnya ia boleh dikawal. Dengan penjagaan kesihatan seperti mengawal pemakanan seharian, mematuhi jadual makan ubat dan bertemu doktor, bersenam dan mengawal tekanan hidup, insyallah semuanya dapat diatasi dengan izin Allah swt.


Masalah sakit paling ditakuti bagi aku penyakit hati (qalbu). Dibimbangi penyakit ini bukan sahaja merosakkan mental fizikal serta akhlak si penghidap malah boleh merosakkan akhlak serta hubungan terhadap Allah dan akhlak terhadap makhluk.


Antara ciri-ciri penting akhlak manusia dengan Allah swt ialah;


* Beriman dengan Allah

* Beribadah atau mengabdikan diri, tunduk, taat dan patuh kepada Allah

* Sentiasa bertaubat

* Melaksanakan segala perkara wajib, fardhu dan nawafil

* Redha menerima qadak dan qadar Allah


Akhlak terhadap makhluk boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu sesama manusia dan makhluk selain manusia.


* Akhlak dengan Rasulullah

* Akhlak dengan ibubapa

* Akhlak dengan guru

* Akhlak dengan jiran tetangga

* Akhlak dengan suami isteri

* Akhlak dengan anak-anak

* Akhlak dengan kaum kerabat


Makhluk selain manusia


* Malaikat

* Jin

* Haiwan

* Tumbuh-tumbuhan

* Alam semesta


Dengan tidak menjaga, mengawal dan merawat penyakit hati ini dibimbangi ia semakin parah malah semakin jauh dari Allah. Bererti juga iman bakal rapuh dan kewarasan akal fikiran terganggu kerana mereka yang jauh dari Allah pasti tidak tenang zahir dan batinnya.


Segala kemakmuran material dan kelazatan hidup yang dikecapi tanpa mengucap syukur dan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah swt akhirnya membawa manusia menghadapi pelbagai jenis penyakit.


Timbullah pelbagai tekanan emosi, penyakit jiwa, kegiatan abnormal, perasaan bimbang, takut, resah gelisah yang mengganggu sistem saraf yang akhirnya mendorong manusia melakukan perbuatan yang keji, di luar batasan dan hilang pertimbangan.


Tanpa akhlak, ibadah akan rosak. Sambil menyeru diri sendiri, marilah kita menjaga, merawat dan sembuhkan penyakit hati kita dengan selalu muhasabah diri dan perbaharui iman.


Rasulullah saw ditanya; "Bagaimana caranya kami perbaharui iman kami?"

Rasulullah saw menjawab; "Perbanyakkanlah mengucap lailaha illallah." (riwayat Ahmad)


Kemudian muhasabahlah semula ucapan kalimah syahadah kita. Apakah ada perkara-perkara yang membatalkan syahadah yang telah kira ucapkan, rasakan dan lakukan sama ada secara sedar atau tidak? Bagaimana penerimaan kita terhadap seluruh hukum Allah yang meliputi semua sistem kehidupan? Apakah kita menerima separuhnya dan menolak separuh yang lain?


Muhasabah semula juga perlaksanaan rukun-rukun yang lain seperti solat, puasa, zakat dan haji. Apakah benar-benar kita amalkan berdasarkan kefahaman yang tepat atau sekadar ikut-ikutan atau adat semata-mata.


Rasulullah saw pernah bersabda mengingatkan;

"Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga. Betapa ramai orang yang solat malam tetapi hakikatnya dia sekadar berjaga malam." (riwayat Ahmad)


Betapa ramai orang yang solat tetapi solatnya itu tidah mencegahnya dari fashya'(keji) dan mungkar. Imam al-Ghazali rhm pernah mengingatkan bahawa solat yang dilakukan tanpa rasa khusyuk umpama menyerahkan bangkai yang tidak bernyawa kepada Allah.


Tidak hairanlah jika ada orang yang solat tetapi masih hasad, orang yang berpuasa tetapi terus mengumpat, orang yang mengeluarkan zakat tetapi masih rasuah, menunaikan haji tetapi masih sombong, bakhil, tamak dan pemarah.


Manusia memakai banyak topeng dalam hidupnya, namun segalanya tersingkap oleh akhlak dan
keikhlasan hatinya. Benarlah akhlak itu terbentuk dari dalam ke luar - inside out.

Saturday, February 5, 2011 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Berakhir sudah banjir..selamat menyambung pelajaran anak-anak..


Alhamdulillah...syukur kakak telah selamat sampai ke rumah sewanya di Taman Perling, tengah bandar Segamat. Berkereta bersama teman serumahnya sambil mengekor di belakang kereta mak dan ayah Yana. Jalan melalui Tangkak masih terputus, banyak jalan yang rosak. Akibatnya mereka terpaksa mengambil masa agak lama untuk sampai ke Segamat melalui Gemas.

Aku yang berhasrat untuk turut sama ke Segamat menghantar kakak bagi membantunya mengemas apa yang patut akhirnya terlantar di rumah makan ubat bila diserang demam, selsema dan batuk. Betul-betul tak larat. Baru diuji demam pun kita dah terasa payahnya apalagi mereka yang terbaring lama kerana sakit yang kritikal dan payah sembuh.

Telefon kakak pagi tadi bertanya khabar dan situasi di sana. Nak telefon semalam bimbang mengganggu dia yang pasti kepenatan mengemas dan membersihkan rumah. Aku dan suami memang kasihan akan ujian yang menimpa mereka malah kepada semua mangsa banjir yang terlibat. Apakan daya kita, ini pengalaman pertama mereka dan jadikanlah setiap masalah dan pengalaman perit itu suatu pengajaran dan peluang. Di lain masa kita akan lebih berhati-hati dan bersedia lebih awal. Apapun sebagai manusia kita hanya boleh merancang. Kadang-kadang semua telah kita pastikan namun kehendak Allah swt mendahului segala-galanya kerana Dia saja yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.

Seperti yang dijangka, buku-buku kakak yang baru dibeli untuk semester yang baru dibuka habis rosak. Karpet, tilam, bantal, selimut semua lencun. Dokumen-dokumen penting seperti surat beranak dan sijil-sijil turut kembang. Mana-mana yang boleh diselamatkan diusahakan untuk dikeringkan di bawah mentari yang mula bersinar.

Kain baju mana-mana yang disangkut tidaklah terendam walaupaun tetap basah dan lembab. Masalahnya bau yang tidak enak menyelinap satu rumah, maklumlah lama juga kesemua benda terendam dalam air banjir. Habis semua terpalit lumpur yang busuk, dah macam bau loji kata kakak.

Kononnya kata kakak semua kain baju, cadar, selimut boleh dihantar dobi namun akhirnya satu kedai dobi pun tak ada di Segamat. Kalau adapun pasti tak buka kerana banjir yang menenggelamkan bandar Segamat mengakibatkan bank, kedai-kedai masih tidak dibuka. Syukur washing mechine fully auto di rumahnya masih elok walaupun terendam dalam banjir. Mudah sedikit urusan mencuci dan mengeringkan baju dijalankan. Peliknya peti ais pun tak rosak, syukur..

Terima kasih kepada ibubapa Yana yang membantu membersih, mengangkat dan menjemur tilam yang berat-berat di pagar rumah. Mereka turut membelikan toto dan sedikit sebanyak barang keperluan. Mereka jugalah yang mengizinkan anaknya membawa kereta bagi kemudahan pengangkutan pergi balik kakak dan teman serumah ke kampus selama ini. Terima kasih atas budi baik kalian, hanya Allah swt yang membalasnya.

Di luar rumah sewa kakak sudah membukit terhimpunnya segala macam harta benda yang rosak dihimpun oleh penduduk sekeliling. Bayangkan seluruh bandar Segamat, satu kerja majlis perbandaran Segamat terpaksa mengangkut dan mambuang segala macam barangan rosak seperi perabut, tilam bantal dan sebagainya.

Esok kakak akan ke kampus dan mendaftar sebagai mangsa banjir bagi pelajar NR (nonresident) dan barangkali adalah sedikit bantuan kepada para pelajar NR yang berselerak menyewa di sekitar bandar Segamat.

Kepada kakak bersyukurlah atas ujian yang sedikit ini. Jadikan ianya sebagai suatu pengalaman paling manis bila kakak sudah meninggalkan kampus UITM Segamat May nanti. Tabahkan hati dan pasanglah tekad untuk menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran dan berazam untuk yang terbaik bagi mengakhiri semester akhir ini. Doa mak dan ayah tidak putus-putus buat kakak dan teman-teman semua semoga kalian berjaya dengan cemerlang, menjadi anak-anak yang solehah dan sentiasa mensyukuri ni'mat Allah walau dalam susah dan senang.
Wednesday, February 2, 2011 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Banjir dan jemputan kawin...


Pasal banjir di Segamat, katanya air dah mulai surut cuma menanti jalan menuju ke Segamat yang terputus kembali pulih. Tiada aral, insyallah Sabtu ini akan ke sana menghantar kakak pulang. Tak sampai hati membiarkan dia pulang sendiri dan menghadap segala kemusnahan dan kerosakan seorang diri walaupun ditemani rakan serumah. Akan kami tinjau segala yang perlu dan membantu apa yang patut. Seperti dinyatakan dalam FB, ibubapa teman-teman serumah kakak pun akan berbuat perkara yang sama.

Memandangkan cuti panjang Tahun Baharu Cina, banyak sekali jemputan walimatulurus anak kawan aku dan suami serta saudara mara yang kami kena hadir hingga ke JB sana. Khusus pada majlis kawin yang berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad ini. Terpaksalah dikorbankan jika keadaan tidak mengizinkan.

Bercakap pasal majlis kawin ni, ada teman yang masih bertanya agak-agak berapa jumlah salam keruk (loghat Johor) yang patut disalam ke tangan mak ayah pengantin. Memandangkan harga barang dan sewa khemah, dewan dan katering sudah melambung naik, mereka bimbang salam keruk pun pasti kena bubuh tinggi dari dulu.

Masyallah...bagi aku terpulanglah ikut sejauh mana ikhlas sipemberi dan ikut juga kemampuan. Ada sesetengah mengukur paras ukuran bergantung pada siapa dan taraf tuan rumah yang menjemput. VIP, VVIP, orang berada, pertengahan atau marhaen yang biasa-biasa macam aku. Paling dibimbangi andai sesetengah negeri dan daerah yang masih mengamalkan mencatit jumlah wang dan apa barang yang diberi.

Kawan aku sebenarnya suspen sebab ada seorang mak pengantin ni, semasa majlis walimah anak sulungnya pernah terlepas cakap. Dia bantai mengutuk teman sendiri yang hadir ke majlisnya itu kedekut nauzubillah. Aku yang kebetulan ada sama turut mendengar dan terngiang-ngiang di telinga sampai kini (apsal la aku ada sama masa tu ek..nyesal..tapi aku hanya mendengar dan tak menyampuk sebab terkedu..hu..hu..).

" Kau tau si anu tu, ada ke patut dia bagi lima hinggit jer..kedekut nak mampus..!"

Masyallah, dalam hati aku berkata..suka hati orang tu la nak bagi berapa, janji ikhlas. Sepatutnya kita yang jadi mak bapak pengantin janganlah nak mengharap duit orang. Kita jemput orang datang majlis kawin anak kita tentulah seikhlas hati agar majlis anak kita meriah, diberkati dan didoakan oleh mereka yang hadir agar selamat dunia akhirat. Kalau niat kita semoga orang ramai berduyun-duyun datang dan menyumbang sebanyak mungkin, itu sudah silap. Mengharap agar mudah-mudahan segala perbelanjaan yang telah kita labur dan leburkan balik modal, aku kira belum cukup ikhlas.

Andai sampai masa aku pula bermenantu, ku mohon ya Allah Engkau pelihara hati dan niat ikhlas kami. Jangan sampai pahala yang dicari, dosa pula yang jadi. Seharusnya kita berdoa semoga jodoh anak-anak kita berpanjangan dan hidup aman damai, majlis kita diberkati Allah dan para jemputan dapat hadir dengan selesa menjamu selera. Soal salam keruk tu terpulanglah, orang memberi kita menerima seikhlas hati. Lain kali bagi si pemberi sumbangan, jangan rajin sangat menulis nama anda atas sampul duit tu, tak pasal-pasal tuan rumah tau berapa jumlah isinya. Kalau banyak bolehlah berbangga tapi kalau ciput tak pasal-pasal kita kena malu bila disebut-sebut dek mak ayah pengantin.

Selalu kena ingat lain padang lain belalangnya, lain orang lain ragamnya. Rambut sama hitam hati lain-lain.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...