Monday, January 31, 2011 2 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

dan SEGAMAT pun banjir lagi..

Maaak!!! Habislah barang-barang akak...buku-buku, kain baju, tilam bio-ion Zhulian mak, mesti semuanya dah tenggelam dalam air.

Tidaaaak!!! Itu reaksi pertama mak dia. Macamana ni kak...apasal tak letak kat tempat tinggi.

Ala... mana nak tau Segamat nak banjir lagi.

Masyallah, demikianlah selalunya reaksi kita bila ditimpa musibah. Sebelum kita redha, kita terlebih dulu dilanda rasa kesal, mengeluh dan menyalahkan keadaan. Kemudian bila telah reda rasa terkejut dan gelabah, akhirnya kita akan berkata..begitulah kalau sudah ketentuan Allah swt. Tiada daya upaya kita nak menghalangnya.

Sejak kakak pulang ke Bangi untuk bercuti mid sem Sabtu lalu, telah ada riak kebimbangan di wajah kakak. Dia sudah mula bercerita tentang air telah mula naik melanda kampung-kampung sepanjang perjalanan pergi balik ke UITM Segamat. Hujan juga sentiasa turun setiap hari. Namun di minda masing-masing belum terfikir akan berlaku banjir besar seperti tahun 2006 dulu.

Rumah sewa kakak dan kawan-kawan terletak betul-betul di tengah bandar Segamat. Bila Labis yang sibuk dengan pilihanraya dilanda kehadiran orang ramai untuk mengundi, rupa-rupanya ia diiringi sekali dengan turunnya hujan lebat yang berpanjangan. Hujan lebat melanda bukan sahaja di Segamat malah seluruh negeri Johor. Ibu mertua di Batu Pahat juga sudah menelefon kami memeberitahu bahawa rumah di kampung juga sudah mula dinaiki air.

Kebimbangan kakak dan keseluruhan teman-teman sepengajian di UITM Segamat memang berasas. Baru sebentar tadi kakak menghubungi salah seorang pensyarahnya yang tinggal berdekatan dengan rumah sewa kakak. Teruja sungguh dia nak tahu bagaimana agaknya keadaan sebenar yang berlaku di tempat tinggal mereka sekarang.

Seperti yang diharapkan ianya tidak berlaku namu ujian Allah mendahului segalanya. Ustaz K memberitahu rumah teres dua tingkatnya sudah dinaiki air separas pinggang. Mereka sekeluarga terpaksa tinggal di tingkat atas rumah. Mereka juga tidak dapat keluar ke mana-mana kerana kesemua jalan terputus hubungan. Bayangkan bagaimana keadaan rumah sewa kakak yang cuma teres setingkat dan terletak di kawasan belakang rumah Ustaz K. Aduh...! Kakak hanya dapat menutup muka dan telinga dengan jari sepuluh mengambarkan kengeriannya mendengar khabar tersebut.

Pertama kali duduk menyewa di luar kampus. Sering bercerita akan keseronokan tinggal bagai di rumah sendiri tiba-tiba diuji dengan peristiwa banjir ini. Dalam keadaan masing-masing seronok menghabiskan cuti mid sem di samping keluarga tercinta akhirnya terpaksa memikirkan bagaimanalah agaknya keadaan rumah sewa berserta barang-barang peribadi yang ditinggalkan di sana.

Buat kakak dan teman-teman senasib dinasihatkan pertama-tamanya hendaklah mengucap syukur setinggi-tingginya terhadap Allah swt. Kakak serta teman-teman seperjuangan semuanya selamat di samping keluarga.

Tentang barang-barang penting yang basah, rosak dan musnah, usah dibimbangkan. Insyallah ia boleh diganti baru. Kata ustaz K, berkemungkinan cuti mid sem ini akak dilanjutkan sedikit akibat banjir ini, maklumlah ramai pensyarah, kakitangan dan pelajar UITM yang tinggal di sekitar Segamat pasti mengalami nasib yang sama.

Sama-samalah kita berdoa agar hujan cepat reda dan banjir yang melanda kembali pulih seperti sediakala. Nanti kita sama-sama usahakan apa yang perlu bila kakak kembali semula ke Segamat, insyallah.
Monday, January 24, 2011 9 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Mengintai Januari 2011 yang sudah di penghujung..

Lama juga rasanya aku biarkan blog ini bersawang. Sejak PC kesayangan ni buat hal, dihantar berubat dan masuk wad, aku lama tak mengetuk keyboard. Apabila lama sangat terbiar, semangat menulis pun luntur..jadi malas dan hilang gian nak berblog.

Malam ini aku seperti jadi orang baru yang mencuba-cuba nak menulis, seakan kekok dan kelu nak mengukir kata. Sungguh ia mengambil masa dan aku bagaikan tersepit anatara dua rasa. Sebenarnya ada banyak kerja yang patut aku laksanakan dan akibat menyinggah ke depan PC ini lalu bagaikan banyak sekali masa aku terbuang begitu saja.

Ada hati kecil berkata-kata, alah...sekali sekala, kan dah lama tak berbicara...

Oklah. Tahun baru bulan terawal Januari sudah hampir ke penghujung. Melalui Januari 2011 banyak sekali terakam pelbagai perkara menarik pembuka tirai buat bulan-bulan seterusnya.

11.1.11 - mak ucapkan selamat ulangtahun kelahiran ke 14 buat adik, mak dah doakan yang baik-baik untuk adik.
12.1.11 - ucapan selamat ulangtahun kelahiran ke 49 pula untuk suami tercinta...pasti doaku buat suami juga yang terbaik dan mudah-mudahan kita sekeluarga sentiasa dilimpahkan dengan kesejateraan, keselamatan dan keberkatan dunia akhirat.

1.1.11 - Menghantar kakak kembali menyambung semester terakhirnya ke UITM Segamat juga sangat menarik. Teruja sungguh bila inilah pertama kali dia merasa duduk menyewa bersama lima orang lagi teman sepengajian.

Alhamdulillah, syukur dia mendapat kediaman teres 3 bilik yang luas dan selesa. Lengkap dengan segala kemudahan asas. Tuan rumah telah menyediakan dapur memasak, peti ais dan mesen basuh. Keperluan lain sudah kami dan teman-teman serumah kakak bawa dari rumah seperi TV, microwave oven, kipas tambahan dan aneka keperluan hinggakan sebiji kereta juga dibawa oleh teman sepengajian kakak bagi kemudahan pengangkutan untuk ke kuliah dan sebagainya.

Beruntung sungguh anak zaman ini. Seberapa boleh ibu bapa masing-masing hendak melengkapkan segala keperluan agar anak mereka tidak terlalu bersusah payah menanggung kesulitan. Seharusnya kalian bersyukur dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan berusaha untuk mencapai keputusan terbaik final semester ini, insyallah. Kutiplah pengalaman suka duka tinggal di luar kampus ini sebagai suatu pengalaman terindah untuk kalian menempuh masa yang akan datang.

Angah yang sedang menanti keputusan SPMnya dan panggilan ke PLKN tidak membiarkan masa terluangnya habis dengan sia-sia. Buat masa ini Angah rajin menjalankan tugasnya sebagai kakitangan petrol pam di Petronas berhampiran rumah. Bersemangat nampaknya dia dalam menjalankan tugas yang diberi.

Bertugas mengikut shif siang malam menjadi juruwang di kaunter dan mengendalikan NGV untuk diisi ke kereta pelanggan, benar-benar memberikan Angah suatu pengalaman baru yang menarik dan mencabar. Berkobar-kobar dia apabila sesetengah pelanggan mengucap tahniah dan meniupkan kata-kata semangat kepada pelajar lepasan sekolah sepertinya yang sanggup menghabiskan masa menimba pengalaman sambil mengumpul wang.

Rasa simpati seorang ibu pada mulanya kini bertukar gembira dan bersyukur. Biarlah Angah belajar erti susah payah mencari rezeki. Biar dia belajar makna tanggungjawab terhadap tugas dan diri sendiri. Biar dia merasa rezeki dari titikpeluh dia sendiri. Kesemua pengalaman ini akan menjadi memori terindah buatnya nanti.

Di samping bertugas mencari rezeki, Angah sempat belajar memandu kereta-motor. Semoga Angah lulus dalam ujian memandunya tidak lama lagi, insyallah. Doa mak ayah mudah-mudahan anak-anak tersayang akan berjaya meniti kehidupan dunia dan akhirat.

Kepada ayah dan adik yang tengah diuji Allah dengan demam, batuk dan selsema..semoga cepat sembuh hendaknya. Mak pun dan mula sakit tekak dan bersin-bersin ni, harap tak berjangkitlah ye.. Tugas di sekolah dan di rumah sentiasa menanti. Kalau mem dah tumbang, takut banyak kerja terbengkalai nanti.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...