Showing posts with label REJAB. Show all posts
Showing posts with label REJAB. Show all posts
Tuesday, May 31, 2011 3 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Sambutlah REJAB, SYAABAN dan RAMADHAN ..



Alhamdulillah..syukur ke hadrat Illahi, sampai jua usia bertemu dengan tiga bulan mulia iaitu REJAB, SYAABAN dan RAMADHAN. Kutip dan titiplah pahala sebanyak mungkin.Bermula dengan Rejab, ayuh perbanyakkan berpuasa sunat dan lipatgandakan amal ibadah. Sekurang-kurangnya kita sudah pun berniat yang baik-baik, selebihnya berusahalah kita melaksanakannya mengikut keupayaan masing-masing.

Bagi kaum wanita, khusus para isteri. Jangan lupa memohon keizinan suami tercinta sebelum melakukan puasa sunat, Jangan nanti alasan letih dan penat berpuasa dijadikan alasan tidak melayan makan minum dan keinginan suami. Dibimbangi ganjaran pahala yang dicari.. dosa pula yang menghampiri.

Inilah juga masa paling cantik bagi kaum wanita yang berhutang puasa pada Ramadhan yang telah lalu. Sambil wajib membayar hutang dapat juga pahala berpuasa di bulan Rejab. Jangan bertangguh, qada' puasa itu wajib dan jangan diambil ringan.

Sambil menyeru pada diri sendiri..mari kita berazam untuk beramal dan beribadah sebanyaknya. Ayuh kita muhasabah diri, mengenang dosa-dosa dan salah silap yang sengaja atau tidak kita sedari. Mari kita insafi dan koreksi diri di bulan Rejab ini. Insyallah menjelang Syaaban seterusnya Ramadhan, mudah-mudahan kita sudah sedikit sebanyak mempersiapkan hati nurani, akal fikiran, tingkah laku, percakapan dan tindakan, selari dengan tuntuan agama.

Menurut maksud sebuah hadith Rasulullah SAW bermaksud, sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Rejab..maka Allah SWT menyeru kepadanya;

"Telah wajib hakmu atas-Ku, mintalah olehmu kepada-Ku. Demi ketinggian dan kebesaran-Ku, tidak akan Aku tolak hajatmu. Engkau adalah jiran-Ku di bawah 'Arasy-Ku. Engkau kekasih-Ku daripada semua makhluk-Ku. Engkau mulia di sisi-Ku. Berbahagialah kamu, tiada hijab di antara Aku dan engkau."

Ayuh kita rebut pahala kesemuanya dengan rahmat Allah. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bermaksud;

"Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulan ku (Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku."

Akhir kalam, sebagai seorang yang tidak lepas membuat dosa..dengan penuh keinsafan diriku memohon ampun dan maaf zahir dan batin. Andai pernah bicara dan tingkah lakuku menyinggung serta menyakiti hati kalian duhai sanak saudara dan teman-teman semua. Doaku semoga kehidupan kalian diberkati dan dirahmati Illahi di dunia dan akhirat. Amin..



Thursday, June 17, 2010 4 comments By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Memperingat diri di 3 bulan yang mulia.





Sesungguhnya Tuhan Maha berkuasa. Bermula dengan berfikir dan mengenang betapa hebatnya kuasa Tuhan, natijahnya akan datang pula rasa Maha Hebatnya Tuhan. Secara automatik datanglah rasa kehambaan yang mendalam.

Mengenang betapa hebatnya Tuhan datanglah rasa bimbang dan cemas kerana Tuhan berkuasa berbuat apa saja terhadap makhluk ciptaanNya. Kita berasa bimbang dan cemas kerana tidak tahu apa sukatan atau ketentuan Tuhan terhadap kita. Kita tidak tahu bagaimana nasib kita di dunia ini.

Setiap hari dan di mana saja kita lihat berbagai bencana dan malapetaka yang menimpa manusia. Semuanya dalam keadaan tidak terfikir oleh kita dan berlaku tidak disangka-sangka. Tsunami, gunung berapi, gempa bumi, ribut taufan, kapal terbang terhempas, bas masuk gaung, kemalangan jalanraya, rumah runtuh, banjir dan pelbagai musibah lagi.

Semuanya berlaku tanpa dapat kita bendung kerana manusia amat lemah dan tidak berupaya. Sedang nasib kita sendiri belum tahu. Hanya Allah swt saja yang tahu.

Kesemua di atas adalah ketentuan Tuhan dalam perkara yang bersifat lahiriah. Itupun sudah menakutkan kita. Bagaimana pula sukatan Tuhan terhadap kita dalam perkara yang bersifat maknawiyah. Kalau kita faham, ini lebih-lebih lagi menggerunkan kerana padah yang bakal ditanggung adalah neraka yang azabnya amat dahsyat.

Antaranya adalah seperti berikut :

1. Ada orang yang Tuhan beri petunjuk, keimanan, kebaikan dan dalam kebenaran dan dalam ketaatan dari awal hingga akhir.

2. Ada orang yang Tuhan sesatkan, dalam kejahatan dan kedurhakaan dari awal hingga akhir hayatnya.

3. Ada orang yang di awalnya Tuhan tidak beri petunjuk, dalam kejahatan dan dalam kedurhakaan tapi di akhirnya Tuhan beri petunjuk, iman, kebaikan, dalam kebenaran dan ketaatan.

4. Ada orang yang di awalnya Tuhan beri petunjuk tetapi di akhir hidupnya Tuhan sesatkan.

Bagi orang yang kenal Tuhan, dengan rasa bertuhan yang tinggi dan rasa kehambaan yang mendalam...sentiasa tertanya-tanya apa akan berlaku pada dirinya. Kerana dia tahu dirinya dalam genggaman kekuasaan Tuhan. Tuhan saja yang berkuasa ke atas dirinya.

Sebab itu ada orang yang menghadapi berbagai halangan dan rintangan untuk taat dan berbuat kebaikan. Ada pula orang yang mempunyai peluang, memiliki kemudahan, ada kebebasan untuk berbuat baik dan ketaatan tetapi dalam hidupnya penuh dengan kejahatan, kedurhakaan dan maksiat.

Melihat dan merenung ke dalam diri, di sisi manakah aku dalam menyelusuri hidup ini. Kupohon Ya Allah petunjuk dan hidayah Mu...ampunkan aku kiranya aku lalai dan alpa...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...