Friday, February 18, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

PENYAKIT


Sakit. Kata orang jangan cari penyakit. Siapalah yang inginkan rasa sakit dan jatuh sakit. Sakit dan penyakit pun ada beribu aneka jenis sakit. Sakit rohani dan jasmani. Sakit mental dan fizikal.


Sekarang ini musim orang sakit, padahal tiap-tiap hari mesti ada orang sakit. Cumanya ramai sangat di sekeliling kita yang diserang demam, batuk dan selsema secara berpanjangan. Sesetengahnya baru saja pulih dah diserang lagi. Walaupun bukan penyakit kronik namun sudah namanya sakit pasti tak selesa kita dibuatnya. Apakah tahap imun dan antibodi tubuh kita sudah semakin lemah atau kuman serta virus di sekeliling kita sudah semaki kuat.


Di kawasan sekitar perumahan dan kejiranan aku sudah semakin banyak tergantung kain rentang yang memberi amaran bahawa DENGGI telah dan sedang aktif menyerang kawasan anda. Fogging menghapuskan nyamuk AEDIS sudah mula dijalankan oleh Jabatan Kesihatan. Mereka menyembur parit dan longkang serta kawasan sekitar rumah. Tindakan diambil kerana sudah ramai yang dikesan menghidap demam denggi semasa mendapatkan rawatan di klinik.


Hendak dikatakan penduduk sekitar perumahan pengotor, macam tak patut. Mereka yang terkena demam denggi kelihatannya tinggal di kawasan perumahan yang cantik, bersih dan terjaga. Peliknya mereka ini pula yang menjadi mangsa. Pandai sungguh nyamuk-nyamuk Aedis ini memilih mangsanya.


Penyakit mental dan fizikal yang boleh dirawat oleh para doktor, insyallah mudah diubati dengan membekalkan ubat-ubatan pada pesakit. Kalaupun tidak boleh disembuhkan seratus peratus, sekurang-kurangnya ia boleh dikawal. Dengan penjagaan kesihatan seperti mengawal pemakanan seharian, mematuhi jadual makan ubat dan bertemu doktor, bersenam dan mengawal tekanan hidup, insyallah semuanya dapat diatasi dengan izin Allah swt.


Masalah sakit paling ditakuti bagi aku penyakit hati (qalbu). Dibimbangi penyakit ini bukan sahaja merosakkan mental fizikal serta akhlak si penghidap malah boleh merosakkan akhlak serta hubungan terhadap Allah dan akhlak terhadap makhluk.


Antara ciri-ciri penting akhlak manusia dengan Allah swt ialah;


* Beriman dengan Allah

* Beribadah atau mengabdikan diri, tunduk, taat dan patuh kepada Allah

* Sentiasa bertaubat

* Melaksanakan segala perkara wajib, fardhu dan nawafil

* Redha menerima qadak dan qadar Allah


Akhlak terhadap makhluk boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu sesama manusia dan makhluk selain manusia.


* Akhlak dengan Rasulullah

* Akhlak dengan ibubapa

* Akhlak dengan guru

* Akhlak dengan jiran tetangga

* Akhlak dengan suami isteri

* Akhlak dengan anak-anak

* Akhlak dengan kaum kerabat


Makhluk selain manusia


* Malaikat

* Jin

* Haiwan

* Tumbuh-tumbuhan

* Alam semesta


Dengan tidak menjaga, mengawal dan merawat penyakit hati ini dibimbangi ia semakin parah malah semakin jauh dari Allah. Bererti juga iman bakal rapuh dan kewarasan akal fikiran terganggu kerana mereka yang jauh dari Allah pasti tidak tenang zahir dan batinnya.


Segala kemakmuran material dan kelazatan hidup yang dikecapi tanpa mengucap syukur dan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah swt akhirnya membawa manusia menghadapi pelbagai jenis penyakit.


Timbullah pelbagai tekanan emosi, penyakit jiwa, kegiatan abnormal, perasaan bimbang, takut, resah gelisah yang mengganggu sistem saraf yang akhirnya mendorong manusia melakukan perbuatan yang keji, di luar batasan dan hilang pertimbangan.


Tanpa akhlak, ibadah akan rosak. Sambil menyeru diri sendiri, marilah kita menjaga, merawat dan sembuhkan penyakit hati kita dengan selalu muhasabah diri dan perbaharui iman.


Rasulullah saw ditanya; "Bagaimana caranya kami perbaharui iman kami?"

Rasulullah saw menjawab; "Perbanyakkanlah mengucap lailaha illallah." (riwayat Ahmad)


Kemudian muhasabahlah semula ucapan kalimah syahadah kita. Apakah ada perkara-perkara yang membatalkan syahadah yang telah kira ucapkan, rasakan dan lakukan sama ada secara sedar atau tidak? Bagaimana penerimaan kita terhadap seluruh hukum Allah yang meliputi semua sistem kehidupan? Apakah kita menerima separuhnya dan menolak separuh yang lain?


Muhasabah semula juga perlaksanaan rukun-rukun yang lain seperti solat, puasa, zakat dan haji. Apakah benar-benar kita amalkan berdasarkan kefahaman yang tepat atau sekadar ikut-ikutan atau adat semata-mata.


Rasulullah saw pernah bersabda mengingatkan;

"Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga. Betapa ramai orang yang solat malam tetapi hakikatnya dia sekadar berjaga malam." (riwayat Ahmad)


Betapa ramai orang yang solat tetapi solatnya itu tidah mencegahnya dari fashya'(keji) dan mungkar. Imam al-Ghazali rhm pernah mengingatkan bahawa solat yang dilakukan tanpa rasa khusyuk umpama menyerahkan bangkai yang tidak bernyawa kepada Allah.


Tidak hairanlah jika ada orang yang solat tetapi masih hasad, orang yang berpuasa tetapi terus mengumpat, orang yang mengeluarkan zakat tetapi masih rasuah, menunaikan haji tetapi masih sombong, bakhil, tamak dan pemarah.


Manusia memakai banyak topeng dalam hidupnya, namun segalanya tersingkap oleh akhlak dan
keikhlasan hatinya. Benarlah akhlak itu terbentuk dari dalam ke luar - inside out.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...