Saturday, March 5, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Anak orang, anak kita...jaga-jaga anak kita..

Pagi Isnin 28 Feb 2011 - kami sekeluarga bertolak dari kampung suami untuk ke Segamat dahulu menghantar anakanda Kina pulang ke rumah sewanya. Mujur kuliah petangnya dibatalkan bermakna kami tak perlu terburu-buru untuk memastikan kakak tidak terlepas kelas petangnya.

Sesampainya ke bandar Segamat, cuaca panas terik. Suasana telah kembali normal selepas dilanda banjir tidak lama dulu. Singgah makan tengahari di sebuah restoran kegemaran. Setiap kali ke Segamat inilah restoran pilihan. Sebab utamanya, suami terpikat dengan gulai ikan baung yang segar dan lazat. Dimakan bersama sambal kupang, ulam-ulaman dan rojak..memang sedap, alhamdulillah.





Sedang asyik menjamu selera, terpandang pada seorang anak gadis manis yang telah selesai makan bersama 3 orang teman lelaki sepengajiannya. Gadis cantik rambut panjang ikal mayang bercelup warna perang. Berbaju kurung sopan sedang berborak bersama teman-temannya semeja.

Apa yang menjengkelkan aku ialah bila dijarinya terselit sebatang rokok. Sambil bersembang sambil dia menghisap dan menghembus asap rokok. Profesional sungguh dengan gaya santainya. Tidak perlu segan silu walau banyak mata yang memandangnya sinis. Aku bertanya kakak kalau-kalau dia kenal. Memang dia kenal kerana satu batch cuma lain bidang.

Kebetulan hari Isnin maka semua pelajar wajib berbaju kurung ke kampus. Bagi pelajar yang mewarnakan rambut, ia satu kesalahan semasa menghadiri kuliah. Maka mana-mana pelajar yang ketara mewarnakan rambut akan hadir kuliah dan masuk ke kampus dengan bertudung. Selesai kuliah dan ketika berada di luar kampus, terpulang. Ini bukan perkara pelik, sebab aku sudah biasa menyaksikan benda yang sama sejak aku menjadi student ITM berpuluh tahun yang lalu.

Apalagi hendak dikatakan...bagi sesetengah orang berpendapat, alah...setakat merokok atau menghisap shisha, apalah sangat...lagipun dia berada di luar kampus. Setakat menghisap rokok bukan hisap dadah. Iyalah hak individu, cumanya ia sangat-sangat tidak manis. Di hadapan orang ramai dan orang tua seperti aku. Si gadis rambut blonde ini pulak memakai nama pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam yang terkenal. Seharusnya dia dinasihatkan dan bak kata kakak, kalau dalam kampus sudah pasti kena tegur dan disaman Pak Guard. Oklah kakak, pengajaran buat kakak, abang ngah yang bakal ke universiti dan adik yang masih bersekolah.

Ingat anak-anakku, pembentukan akhlak yang mulia sangat penting. Seseorang Muslim tidak akan sempurna amalannya jika tidak disertai dengan akhlak yang baik. Hadith Rasulullah bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada paras rupa kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.

Rasulullah juga mengingatkan dalam sebuah hadith:

Dosa yang paling besar yang akan menimpa ibubapa di akhirat nanti ialah dosa membiarkan anak-anak mereka jahil dan buta agama.




Sempat juga kakak menyertai kami anak beranak ke majlis perkahwinan sepupu kembar mereka di JB. Seronok meraikan pengantin sambil berpeluang bertemu sanak saudara. Biasalah bila ada majlis kenduri kendara, inilah masa berkumpulnya kaum keluarga, sanak saudara dan teman taulan yang lama tak bersua. Silaturrahim terjalin mesra dan ikatan persaudaraan yang renggang bertaut semula.

Tahniah buat kakak iparku kak As yang mendapat menantu kali kedua. Uniknya kali ini giliran si kembar Najib dan Norizah bersama pasangan masing-masing. Acara berlangsung dengan meriah yang kebetulan jatuh pada hari lahir mereka berdua. Tahniah berserta doa mudah-mudahan kalian berbahagia hingga ke syurga. Banyakkan bersabar, bertolak ansur dan saling hormat menghormati antara suami dan isteri, insyallah hidup kalian diberkati.

Tolong jangan abaikan solat, risau dan bimbang melihat statistik perceraian pasangan Islam masa kini. Bayangkan..setiap 15 minit berlaku perceraian, masyaAllah. Tidak dinafikan ramai juga pasangan yang menjaga solat namun bercerai berai juga akhirnya. Al maklum, pasangan kita datang dari latarbelakang yang berlainan. Sedangkan kita yang lahir sebagai adik beradik keluar dari satu rahim pun ada kalanya bertelagah. Tentulah solat sahaja tidak cukup sebagai penentu kebahagiaan sebuah rumahtangga. Andai pasangan tidak pandai menyesuaikan diri, kurang sabar, panas baran, kuat merajuk, suka meminta-minta, pokoknya tidak bertolak ansur, tidak mustahil pelbagai masalah dalam rumahtangga akan timbul.

Buat anak-anakku, jadikan ini sebagai panduan dan pedoman. Saat bercinta semuanya nampak indah dan cantik. Nanti bila dah duduk tinggal sebumbung sebagai suami isteri yang sah, barulah keluar segala belang dan tembelang. The true colours akan terpampang, masa inilah perlunya sikap saling faham memahami dan toleransi. Bermohon dan dan berdoalah setiap selepas solat agar kalian diperkuatkan iman dalam menempuh ujian demi ujian hidup berumahtangga. Berdoalah semoga perkongsian hidup di atas dunia ini akan sampai hingga ke syurga, insyallah.

2 comments:

Pn Kartini said...

Assalamualaikum:)

Moga akak sihat2 di sana dan dirahmatiNya selalu..:)

Memang menyedihkan bila statistik penceraian yang begitu drastik meningkatnya...!
Dalam apa jua..tolak ansur ,kepercayaan & kesefahaman itu ptg kan sis.....:)

p/s: suka tgk gambar kawin tu..meriah jek!

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Walaikumussalam..

mendoakan agar kehidupan Tini sekeluarga berbahagia hingga ke syurga..amin.

persefahaman, tolak ansur dan pastikan setiap waktu berdoa agar Allah swt limpahkan rahmatNya dlm rmhtangga kita, hidup aman selamanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...