Saturday, August 6, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Mencuci Sawang di Ramadhan al Mubarak.



ASSALAMUALAIKUM WM WB...buat semua. Pastinya semua sahabat handai sedang menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini. Mudah-mudahan ibadah puasa kita tahun ini adalah yang terbaik berbanding tahun yang sudah-sudah.

Blog DIDB ni dah lama berehat, kalau rumah dah bersawang dibuatnya. Sebab utama, PC buat hal dan sengaja malas nak hantar diservis. Sebagai gantinya telefon bimbit menjadi tumpuan khususnya untuk berFacebook dan sesekali menjenguk blog kawan-kawan. Tau-tau sajalah, lalu handphone rasanya tak banyak boleh dibuat oleh saya. Setakat balas membalas dan mencatit status dalam FB bolehlah, tapi nak menulis berblogging memang tak kuasa. Dengan tulisan yang kecik dan halus, mau berpinar-pinar biji mata dibuatnya.

Kelebihannya dengan ada Wifi di rumah, saya boleh membaca FB, Blog dan berGoogle sambil baring-baring dan tak kisah berada di mana waima dalam toilet sekalipun. Tak payah nak ke meja menghadap PC sebab saya tak guna laptop. Akibatnya dah naik malas nak menulis dan sebagainya. Apapun melihat dan membaca melalui skrin besar tentulah lebih jelas dan puas.

Akhirnya selepas menghantar juga CPU ke pusat servis, dengan bayaran RM15 semuanya kembali normal. Rosaknya sikit saja, malah bukan rosak pun kata pekerja terbabit cuma silap sana sini berkaitan sistem. Entah sistem ke apa ke aku bukannya tau sangat, janji PC ni dah kembali pulih seperti asal. Itulah ruginya kita kalau cuma tau pakai tapi tak tau nak servis dan memperbaiki mana yang rosak. Pernah hantar ke beberapa pusat servis dulu ditekannya kita dengan bayaran yang tak masuk akal, terasa macam kena tipu pun ada.

Alhamdulillah, hari-hari dilalui bersama Ramadhan al Mubarak berjalan dengan sempurna. Tau-tau hari sudah masuk hari ke 7 umat Islam berpuasa. Bermakna sudah 7 hari kita diberi oleh Allah swt peluang menikmati kelebihan dan ganjaran yang dijanjikanNya. Terpulanglah kepada kita bagaimana mahu meraih peluang mengumpul pahala berganda pada setiap hari dan ketika.

Buat pertama kali iftar kami berlangsung dengan cukup korum. Semalam, Angah kami jemput dari Hentian Pekeliling setibanya dari UiTM Jengka. Seboleh-boleh dia mahu pulang ke rumah merasa berbuka puasa di samping keluarga. Mengucap syukur dia terharu bercampur gembira sewaktu kami bersama-sama menghadap hidangan. Sempat lagi terkenangkan teman sebilik yang tidak pulang berbuka puasa di bilik dengan nasi bungkus.

Sayangnya sekejap benar angah dapat berada di rumah, sampai 2.00 petang semalam dan petang nanti akan kembali semula ke Jengka. Namun, kesempatan berharga yang diizinkan Allah ini memang sangat dihargai oleh angah. Bagaimanapun, dia mesti pulang kerana tidak mahu ponteng kelas. Syukur semua tugasan sudah dibereskan sebelum balik semalam. Angah perlu menunggu tarikh 26.8.11 untuk pulang semula ke kampung sempena cuti hari raya.

Kepulangan anak-anak memang dinanti oleh ibu dan ayah. Demikianlah pastinya yang dirasa oleh orang tua kita semasa ketiadaan kita merantau belajar atau bertugas. Kini aku dan suami benar-benar merasakan perasaan itu. Tak sabar rasanya menunggu kepulangan anak ke pangkuan kita dan perasaan amat gembira serta bersyukur apabila saat itu tiba.

Makan bersama terasa sangat enak, bual bicara dan gurau senda terasa riuh dan meriah. Sungguh ni'mat Allah yang mana satukah hendak kita dustakan. Kecapilah ni'mat berkeluarga bahagia ini dengan rasa syukur kepada Allah. Ini hanya sebahagian kecil berbanding ni'mat-ni'mat lain yang Allah limpahkan kepada kita. Patutkah kita menjadi hamba yang kufur dan sombong bongkak tidak mahu sujud bersyukur kepadaNya.

Nanti jangan sampai rasa ni'matnya pulang ke kampung diambil Allah. Rasa ini kian berkurang apabila kedua-dua orangtua kita sudah tiada lagi di dunia ini. Kembali kita ke kampung sudah tidak disambut oleh tangan tua mereka menyambut salam dan pelukan kita. Senyum dan tawa riang mereka telah sunyi sepi. Saat ini Aidilfitri bagaikan hambar. Hanya pusara tempat kita menziarah ibuayah tersayang di pagi raya.

Diri ini sudah bertahun-tahun melaluinya. Saat riang berbuka puasa bersama dan meriahnya Aidilfitri sudah lama ditinggalkan...hanya sanak saudara yang menanti kepulangan kami. Mujur aku masih punya ibu mertua, sekurang-kurangnya terubat rasa rindu kepada mak dan ayah. Ayuh, kita selesaikan Ramadhan ini dengan penuh khyusuk dan tawadduk kerana belum pasti kita masih dapat bertemunya di tahun-tahun yang mendatang.

Buat mak dan ayah serta bapa mertuaku... al Fatihah, semoga damai di sana di sisi Yang Esa.
Kami merindui kalian...










4 comments:

Mama said...

Salam Yati

KZ mengucapkan selamat berpuasa kpd Yati sekeluarga. Mmg hepi bila anak2 berkumpul... tp mereka sibuk dgn urusan masing2... saat2 dpt bersama mmg jarang sekali.

Kita kena redha dan sentiasa bersyukur dgn nikmat Allah

Zaitun said...

Weekend lepas hubby dan anak kak Zai ada balik punyalah seronoknya,kak Zai makan nasi bertambah tapi bila mereka pulang semula nasi sepinggan pun susah nak dihabiskan.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

waalaikumussalam KZ,

lama sungguh tak berinteraksi..nak kata lama tak jumpa..memang tak pernah bersua..ha..ha..

saya juga mengucapkan selamat berpuasa kpd KZ sekeluarga..

bagi KZ yg berkeluarga besar sebab dah ada menantu dan anak cucu, berkumpul sekeluarga pd hari raya dll memamg meriahkan..

masalah biasa ialah bila mereka pulang semula ke destinasi masing2, mulalah terasa sunyi dan kehilangan..rindu tawa riang jerit pekik anak cucu. Demikianlah ni'mat Allah yg patut kita syukuri.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Assalamualaikum Kak Zaitun,

Boleh bayangkan betapa seronoknya akak bila suami dan anak2 berkumpul di rumah. Makan2,bertukar2 cerita dan bergurau senda saat paling happening.

Itulah kata saya tadi, bila mereka pulang semula ke destinasi masing2 mulalah situasi berubah..datang semula rasa sunyi dan rindu, sampai sepinggan nasi pun payah nak dihabiskan..alahaaai..chian kak zai.

lihatlah ni'mat Allah bagi insan yg berkeluarga, bayangkan mereka yg hidup sebatang kara..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...