Saturday, August 14, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Halalan Toyibban - buka puasa di hotel.

Suatu ketika dulu, aku pernah menemankan suami berbuka di hotel. Bagi sesetengah orang ini peluang yang tak patut dilepaskan. Dapat makan free, boleh pilih dan makan sesuka hati semua hidangan yang sekian banyak menunya. Sesetengah orang begitu bangga menceritakan perihal dia dapat berbuka di hotel apatah lagi di hotel 5 bintang. Gah sungguh rasanya.

Lain orang lain citarasanya. Aku dan suami secara peribadi memang tak berapa minat. Walaupun depan mata terhidang begitu banyak menu yang nampak lazat namun dalam hati dan minda masih belum dapat menambat nafsu makanku.

Kagum dan bersyukur mengenangkan betapa murahnya rezeki di bumi Malaysia ini. Tapi makan di hotel belum dapat memikat selera aku. Hati dan minda terbayang-bayang kenikmatan berbuka puasa di rumah. Lebih-lebih lagi jika anak-anak tidak dapat berbuka bersama, rasa terkilan menjadi-jadi. Tekak agak sukar menelan, lidah terasa hambar mengecap makanan.

Sekarang ini sibuk dengan pengiktirafan sijil halal untuk hotel menghidangkan menunya kepada kita orang Islam khususnya. Bagi yang bukan Islam hidanglah apa saja tiada masalah untuk dibalun. Tapi bagi umat Islam, wajib berhati-hati. Pastikan kehadiran kita untuk menjamu selera adalah hotel yang diberikan sijil halal asli bukan sijil beli atau tipu. Dibimbangi seronok kita berjamu selera, rupa-rupanya yang masuk ke perut rezeki yang tidak diiktiraf oleh Allah..bermakna sia-sia dan hilang keberkatan berbuka puasa kita tadi. Alangkah ruginya.

Pengalaman seorang sepupu lelaki aku yang bertugas di bahagian dapur sebuah hotel terkenal di Selatan tanah air memberikan sedikit gambaran sebenar. Hotel ini memang mendapat sijil halal JAKIM dan ia tidak menghidangkan makanan yang tidak halal. Tukang masak/chef memang ramai dan boleh dikatakan kesemuanya Melayu dan Islam. Makanan terhidang sudah pasti halal. Dengan ini apa yang perlu dibimbangkan..?

Oleh kerana masa kerja yang lama dan mereka saling mengenali antara satu sama lain maka tidak ada apa yang rahsia. Sepupu aku bukan seorang chef tapi tugasnya memang di kitchen section. Melalui pemerhatian dan pergaulan, dia merasa agak terkilan dan sedih dengan apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi di bulan puasa yang mulia.

Chef di bahagian dapur, memang sibuk tapi mereka ramai dan di sediakan pembantu. Masalahnya amat sukar untuk melihat kesemua chef lelaki ini dan sebahagian pekerja lain berpuasa dan menunaikan solat 5 waktu. Setiap hari dan waktu begitu. Waktu solat berlalu begitu saja dari siang sampai ke malam. Paling berani mereka merokok dan menjamah makan di bulan puasa tanpa rasa malu dan berdosa. Tanpa perlu sembunyikan diri dan pura-pura berpuasa di depan pekerja lain. Akibatnya, dapur yang sudah sedia panas menjadi lebih berasap. Sesama chef sering bertelingkah. Percakapan yang keluar dari mulut bunyinya kasar dan tak sedap didengar. Ada-ada saja masalah yang melanda di kalangan mereka.

Lalu apakah kita harapkan hidangan yang cantik terhidang di depan kita paling sesuai masuk menjadi darah daging kita. Dan akhirnya makanan ini nanti yang akan menempa hati kita menjadikan siapakah diri kita yang sebenar.

Sudah hampir 10 tahun sepeupu aku bertugas di situ dan perkara yang sama berulang setiap kali Ramadhan menjelang. Sudah menjadi lali dan bukan rahsia, tak perlu malu walaupun diperhati dan ditegur oleh sepupu aku. Begitulah kebiasaannya manusia ini lebih malu sesama manusia berbanding malu kepada Allah swt.

Jika alasan penat, letih, panas bersilat depan dapur..apa kurangnya pekerja lain. Sepupu aku dan segelintir yang lain masih boleh berpuasa, termasuk beberapa orang pekerja asing. Bagi yang berpuasa tadi ada masalahnya juga sebab walaupun mereka berpuasa namun tidak pula menunaikan solat 5 waktu.

Masyallah, sakit jiwa dan merintih hati sepupuku mengenangkan rakan sebangsa dan seagama mengambil ringan perkara wajib ini. Tugas dia juga amat berat, banyak menggunakan tulang 4 kerat, bermandi peluh dan perlukan kecekalan hati. Walaupun gaji yang diterima tidak setimpal namun dia bekerja sepenuh hati, seikhlas mungkin sehingga Big boss sangat risau kalau dia tidak hadir kerana sakit dan sebagainya. Pekerja baru bekerja 2,3 hari tak pernah kekal pasti cabut lari tak tahan beban tugas yang digalas.

Dalam usia 41 tahun..darah tinggi dan sakit sendinya semakin mengganggu kesihatannya. Entah sampai bila dia boleh bertahan keluhnya. Ditambah dirinya tinggal berseorangan di rumah peninggalan kedua ibubapa yang telah tiada. Tanpa isteri dan hilai tawa anak-anak kerana dia masih tidak bertemu jodohnya. Sungguh dia terasa sunyi dan sepi.

Seorang lelaki yang baik. Anak tunggal yang sangat berbakti kepada kedua orang tua sehingga akhir hayat mereka. Taat kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam apa saja pekerjaan yang pernah disandangnya. Ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan hidup seseorang hambanya hanya Allah swt saja yang menilainya.

Di bulan yang mulia ini aku titipkan doa buat mu sepupuku. Aku sebenarnya paling dekat dengan dirimu kerana dibesarkan bersama-samamu.. dalam keluarga mu. Diizinkan Allah menjadi kakak mu kerana kedua ibuayah mu menjadikan aku anak saudaranya sebagai anak angkat mereka. Lalu kita dibesarkan bersama-sama bagaikan adik beradik sejati. Mudah-mudahan diri mu sentiasa dalam peliharaan Allah swt. Selamat menjalani Ramadhan dengan penuh kebekatan. Insyallah, kita bertemu di Aidilfitri nanti. Mohon kemaafan zahir dan batin.


2 comments:

Pn Kartini said...

salam:)

agaknya bila keimanan di jiwa tercalar dek kejahilan yang menghayutkan diri lantas tersasar dari landasannya...Semoga diberikan hidayah utk mereka...

P/s:...betulkan..kata org bila makan dari makanan hasil air tanga tidak sembahyang ..boleh gelap hati ek..Nauzubillah..

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam Tini,
Begitulah beratnya permasaalahan org Islam kita. Tau salah dan berdosa namun nafsu dan lemahnya iman menguasai diri.

Dengarnya begitulah, sbb itu alim ulama sejati cukup jaga bab makan minum ni..tak mau sampai terjejas keberkatan ilmu mereka. Sedangkan kita puas jln2 cari mkn ke mana dan di mana kita suka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...