Monday, September 20, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Dan...kenangan lama itu menyapa lagi...

Semalam aku melayari facebook dan bertemu seseorang...walau hanya melalui 3 keping foto beliau. Seseorang... yang meninggalkan secebis memori mengusik jiwa. Lalu perasaan pun gembira bercampur terharu. Dia memang seorang lelaki yang sangat-sangat ingin aku temui. Jangan curiga..lebih kurang 30 tahun terpisah. Ada sesuatu yang ingin aku ucapkan..ingin aku pohonkan...

Bersempena bulan yang mulia ini, molek sangat andai aku dapat bertemunya..memohon ampun maaf atas kekhilafan masa lalu. Aku yang ketika itu masih kebudak-budakan, tidak matang dan belum pandai menilai. Pasti sekali ketika itu aku telah terkasar bahasa, tersilap kata dan terlanjur tingkahlaku. Maafkan aku..saat itu aku sendiri pun keliru, kurang mengerti dan tidak pandai mengambil keputusan.

Keadaan diri yang terlalu muda masih belum mengerti apa-apa. Malah kedudukan kita juga berbeza. Apalah matangnya anak gadis seusia 14/15 tahun ketika itu. Diri yang hanya tahu bergembira bersama teman-teman di samping banyak menghabiskan masa di sekolah, betul-betul keliru dan terkesima.

Saat pertama kali beliau diperkenalkan kepada aku dan beberapa orang teman di store sukan sekolah oleh Mr P, dirimu kami sambut dengan gembira. Kedatangan seorang guru muda berusia 24 tahun, mendaftar mengajar di sekolah sebagai guru baru amat kami hargai. Sebagai guru sudah pasti dirimu sangat kami hormati.

Sejak itu aku dan kawan-kawan sangat rapat dan hormat kepada mu kerana sikapmu yang mudah mesra terhadap anak didikmu. Banyak masamu dihabiskan bersama kami di padang sekolah, meluangkan masa bersama kami yang aktif dalam bidang sukan. Selain mengajar di kelas dikau juga membimbing kami dalam persatuan sekolah.

Lalu banyak sekali masa aku dan teman-teman dihabiskan bersamamu yang kebetulan sangat berminat dalam dunia fotografi. Sebuah kamera NIKON sentiasa tersangkut di lehermu dan ada-ada saja gambar yang hendak kau rakam sebagai memenuhi minatmu itu.

Aku yang di ketika itu selalu ceria dan agak pemalu tidaklah seramah teman-teman yang lain. Mereka begitu berani bercakap apa saja, bergurau senda dan usik mengusik bagaikan seorang teman rapat. Sedangkan aku masih tersimpan rasa segan dan hormat terhadap mu lalu aku lebih banyak tersenyum dari berkata-kata bila berdepan denganmu guruku.

Musim pun berlalu...tiba-tiba saja tersebar gossip di sekolah bahawa kau dan aku ada hubungan istimewa. Masyallah, aku yang tidak tau apa-apa hanya terpinga-pinga. Dia guruku mana mungkin aku berani menyimpan perasaan apalagi memilih dia sebagai kekasih. Sememangnya aku pun belum bersedia ke arah itu walaupun ramai jejaka di luar sana yang melakukan pelbagai usaha mendekati diriku.

Aku yang sangat remaja, anak gadis yang baru hendak mengenal hidup bagaikan sekuntum bunga yang baru berkembang mekar..di intai si kumbang-kumbang jati. Aduh..rimas dan bimbang sekali bila ke sana sini ada mata yang melirik.. ada suara yang menegur. Terasa bagaikan terganggu hidup ini. Mentelah aku tinggal di bandar, tempat aku dilahirkan. Suasana di bandar agak berbeza berbanding kampung, banyak sekali cabaran dan dugaan.

Aku yang bingung dengan gossip liar itu bertanyakan kawan-kawan rapat. Mereka bercerita betapa banyaknya gambar-gambar aku yang diambil secara candid camera, pelbagai rupa dan gaya berada dalam album simpanan peribadi Cikgu H. Entah bila dan di mana dia snap gambar aku, aku sendiri sendiri tak pasti. Sedangkan aku tidak pernah menyimpan walau sekeping pun gambar beliau hingga kini. Malah dia juga menceritakan perasaan dan minatnya pada aku di depan kawan-kawanku semasa mereka berkumpul sewaku ketiadaan aku.

Dari situlah tersebar berita kononnya aku dan dia punya hubungan erat. Sememangnya sedikit sebanyak aku dapat mengesan tingkah laku dan membaca body language Cikgu H bila berdepan denganku selama ini. Kebetulan aku memang sangat penyegan dan gelabah bila berdepan dengan dia berbanding teman-teman yang lain. Semuanya atas dasar hormat seorang murid terhadap gurunya bukan sebab lain.

Memang pelik apabila hampir setiap pagi akan masuk seorang murid ke kelas aku dan memberitahu guru yang sedang mengajar bahawa cikgu H hendak berjumpa denganku di ofis, di bilik guru atau di kelas yang dia sedang mengajar. Aku yang lurus hanya menurut perintah dan dengan segan silu akan bertemu denganya. Masalahnya.. bukan ada apa perkara yang penting hendak di sampaikan sekadar bertanya kabar dan kadangkala memberi aku kertas-kertas soalan pelbagai subjek untuk aku buat latihan. Itu saja.. sedangkan aku yang bingung malu-malu hendak menatap wajah dia tatkala berbual.

Berlangsung dari situ, ada-ada saja kawan-kawan aku yang jadi gang baik dia akan mencari jalan agar aku sentiasa dapat bersama Cikgu H dalam apa-apa saja aktiviti. Perkara ini berlaku kebanyakannya dirancang dan mereka hanya menurut perintah sambil seronok mengenakan aku. Jika dikenang terlalu banyak peristiwa berlaku melibatkan aku dan Cikgu H.

Antara peristiwa paling tidak dapat dilupa...

Suatu hari pagi-pagi lagi kawan-kawanku seramai 8 orang telah datang ke rumah dengan tujuan memujuk aku agar turut serta plan mereka hendak pergi berkelah ke pantai paling popular di daerah aku. Puas aku menolak tapi mereka meminta izin emak aku agar membenarkan aku mengikut mereka. Emak pulak membenarkan tanpa banyak soal dengan pesan agar kami menjaga diri dan cepat pulang ke rumah.

Untuk ke sana kami harus menaiki bas. Bas pertama membawa kami ke stesen bas. Sampai di stesen harus bertukar bas untuk sampai ke pantai M.B. Kami pun bergegas menaiki bas yang telah sedia menunggu. Dalam perut bas sesak dengan penumpang, kebetulan cuti hujung minggu ramai yang nak pergi berlibur.

Mujur aku dan sebahagian teman dapat tempat duduk, yang lain terpaksa berdiri. Bas pun bertolak, aku sempat menyelak majalah di tangan sambil bas meluncur perlahan-lahan. Baru beberapa minit bergerak tiba-tiba rakan sebelah aku S bangun dan dengan serta merta Cikgu H sudah berada di sebelah aku. Aduaii..mati kutu aku dibuatnya..serba tak kena dan aku menoleh ke wajah rakan-rakan dan mereka hanya tersengih bagaikan kerang busuk penuh makna. Ternyata aku dah terkena..dan plan mereka memang menjadi. Dia hadir bersama pembantu makmal sekolah kami yang juga tengah berusaha keras memikat teman aku N.

Dalam bas, aku pura-pura menyelak majalah dan cuba membaca. Semua tulisan jadi tonggang terbalik dan berpinar-pinar. Aku betul-betul menahan malu. Sepatah cikgu H bertanya, sepatah aku menjawab. Sudahnya kami banyak diam dari berkata-kata. Telinga aku menangkap suara suara nakal teman-teman yang mengusik kami dan aku tak lagi berani berpaling lalu menjadi kaku dan kelu.

Sesampainya di pantai, kami mencari tempat yang redup dan selesa. Aku terpaksa buat-buat bersahaja setiap kali diusik oleh mereka. Masing-masing berehat di celahan batu besar yang landai. Sedang aku buat-buat sibuk mengeluarkan makanan ringan dari bag galas tiba-tiba saja suasana bertukar sunyi.. Ya Allah ke mana menghilangnya kawan-kawan aku tadi. Walaupun terdapat pengunjung lain lalu lalang namun mereka bukan rakan-rakan aku. Ternyata yang tinggal cuma aku dan Cikgu H berdua. Mak aiii..sekali lagi aku di perdajjal dek kawan-kawan.

Di pendekkan cerita, terpaksalah aku berdepan dengan si dia. Nak tak nak, mana aku nak lari. Terpaksa juga aku layan perbualan Cikgu H sambil menguhyah kudapan walaupun sebenarnya fikiran aku melayang-layang, terkedu dan malu. Sehinggalah satu saat... aku hanya dapat merakamkan ayat-ayat ini yang masih terngiang-ngiang hingga kini.

"Yati..H sukakan Yati..harap yati boleh terima...bla..bla..bla.." Dia menggelarkan dirinya dengan namanya saja... mujur aku tak pengsan walaupun dah terasa macam nak pitam dibuatnya. Ya Allah mana aku nak lari sembunyikan diri. Kawan-kawan aku mana diaorang pergi..tolong aku..! Terasa aku nak menjerit sekuat hati. Puas agaknya hati mereka dapat mengenakan aku.

Sejak itu, walaupun aku tidak pernah beri respon apa-apa namun kegiatan di sekolah berjalan seperti biasa. Aku yang termalu berusaha keras menjauhkan diri dari dia sebaliknya dia pula mempergiatkan usaha untuk mendekatkan diri pada aku.

Lalu sampailah hadiah-hadiah istimewa untuk aku antaranya pen mahal berwarna perak yang di permukaannya tertulis dengan cantik nama dia dan aku. Hu..hu..romantis sungguh. Dan tidak semudah itu aku menerima pemberiannya lalu aku suruh kawan aku yang menjadi posmennya memulangkan semula hadiah tersebut. Akhirnya aku kalah bila kawan aku si Z macam nak nangis memujuk aku supaya menerima saja dan tak mahu cikgu H berkecil hati katanya.

Kemudian lalu posmen yang sama, datang pula surat dari Cikgu H meluahkan perasaannya. Lalu ayat-ayat cinta pun berbicara. Dengan hati yang tidak keruan berserta jari jemari yang menggeletar..aku buka surat si dia yang berkajang-kajang. Maka dibacalah luahan rasa hati yang berbunga-bunga penuh harap. Merayu dan mengharap agar aku menerima cintanya. Si dia sanggup menunggu walau setinggi manapun aku ingin meneruskan pelajaran. Walaupun dia juga menulis betapa dia telah bersedia andai kata aku bersetuju selepas SRP dia akan menghantar rombongan meminang. Ya ampuuun....

Sekali lagi aku bingung dan keliru . Sungguh saat itu aku membaca sambil menitiskan air mata. Serba salah malah takut juga. Sesekali bertanyakan diri.. kenapa aku. Aku tidak bersedia dengan ini semua. Aku cuma ingin belajar dan bergembira melalui alam persekolahan bersama teman-teman. Tidak pernah terfikir tentang ini semua walau dengan sesiapa pun.

Andainya bukan dia yang meluahkan rasa cinta.. mungkin perkara ia tidak serumit ini. Tapi.. dia guruku, orang yang aku hormat. Aku pula terlalu muda..tidak pandai menyusun kata..tidak pandai bercinta!

Isi surat itu hanya aku dan dia saja yang tahu. Kerana takut dan malu..aku tidak berani menyimpannya lalu aku koyak-koyakkan sampai halus dan aku buang. Seharian berfikir dan kepala berserabut. Mana nak letak muka sedangkan esoknya aku harus ke sekolah dan paling dahsyat aku tak boleh mengelak dari bertembung dengan Cikgu H. Di perhimpunan, di dalam kelas, di kantin dan di mana-mana. Aku juga tak boleh sembunyikan diri dengan ponteng sekolah atau menipu itu ini...aku tak pandai dan ini sedikit sebanyak sangat mengganggu
prestasi pelajaran aku di sekolah.

Akhirnya, aku terpaksa juga meneruskan perjalanaan hidup seharian. Terus berdepan dengan dia...berpura-pura bersahaja dan kadang-kadang cuba-cuba menyakitkan hatinya. Lebih kurang 2 tahun aku terpaksa mengharungi pelbagai peristiwa dan timbullah pelbagai kisah yang menarik dan menyentap jiwa.

Hingga tamat SRP di tingkatan 3, aku terpaksa berpindah ke sekolah lain untuk meneruskan persekolahan di tingkatan 4 dan 5. Dan ini memudahkan aku menjauhkan diri dari Cikgu H. Cikgu H juga sedia maklum betapa aku tidak menerima cintanya. Aku semakin menjauh dari dia namun aku tak boleh lari dari bayangan dia.

Tempat tinggal kami berdekatan. Rakan-rakan cikgu H juga tinggal di sekitar laluan ke rumah keluarga aku. Dan setiap malam, cikgu H dan rakannya pasti lalu di hadapan rumah samada dengan berjalan kaki atau bermotorsikal. Bak kata teman-teman aku, tak nampak orangnya ..nampak bumbung pun jadilah.

Sehingga kini, rakan-rakan yang terpisah setelah tamat persekolahan tak akan lupa kisah aku dengan cikgu H. Setelah berpuluh tahun terpisah, sekali terjumpa di FB mereka masih menyapa dan menyebut peristiwa lalu. Bak kata Janet kawan cina aku yang muka dia dan cakapnya sebijik melayu menyapa dari Australia..

" I ingat u yati..cikgu H syok kat u kannnn masa kat sekolah dulu...satu sekolah tau..mana boleh lupa..."

Kini semua tinggal kenangan....melihat foto-foto cikgu H bersama isteri dan anak-anak di FB, aku tersenyum gembira. Dalam usianya 55 tahun, dia nampak segak, sihat dan bahagia di samping keluarga dan kerjaya perguruannya sebagai guru besar di salah sebuah sekolah di daerah di BP. Kini beliau menetap di sana dan kebetulan dia memang orang BP. Kampungnya sangat berdekatan dengan kediaman Datuk Sosilawati yang beritanya sedang hangat diperkatakan sekarang. Suatu ketika aku dan kawan-kawan rapat tadi pernah beraya ke kampungnya yang jauh ke pedalaman. Ini juga kisah menarik untuk diceritakan. Kelakar dan nostalgik..

Aku sedang berusaha mendapatkan no telefonnya dari Ida kawan sekolah yang maklum sangat akan kisah aku ni. Dialah yang meletakkan gambar tersebut buat tatapan aku dan teman-teman kerana isteri cikgu H adalah sepupu Ida orang BP jugak.

Andai dapat berbicara atau cuma lalu sms, aku hanya ingin mohom ampun dan maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Banyak dosa dan kekhilafan aku padanya. Sehingga kini aku tetap hormat pada beliau. Cikgu H yang aku kenal, sangat berbudi bahasa, bersederhana dalam segala hal, taat beragama, tidak meninggi diri, hormat orang tua dan pandai meyesuaikan diri dalam pergaulan. Sebab itu ramai anak murid rapat dan hormat padanya.

Ciri-ciri suami pilihan memang banyak terdapat padanya. Sayangnya ia hadir di saat dan waktu yang salah. Namun aku bersyukur...suami yang aku cintai kini dan selamanya kebetulan punya banyak ciri-ciri yang sama. Amat benarlah...jodoh di tangan Tuhan, semuanya telah tertulis dan ditentukan sejak di Luh Mahfuz lagi.

6 comments:

Rahayu Roslan said...

wah ..wah..kak..awalnya ada org menyunting jadi teman istimewa..:)
mesti kakak meletup masa tu..

WONG KHOO LAI said...

Boleh buat filem ni... kalah filem sembilu...

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Alahai ayu..ape yg meletupnya tu, setau akak Altantuya jer yg meletup..ngeeee..

klu kawin lepas srp dulu tentu cepat tua sbb mungkin dah jadi nenek bercucu cicit agaknya...

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Bahreyn, kalau nak buat filem nanti kita pilih awak jadi pengarahnya.

Tumpang shooting kat sekolah awak boleh tak. Lagipun awak guru besar, lagi bnyk pengalaman suka duka berdepan dgn anak murid kannn.

Pn Kartini said...

salam my dear sis..:)

Aduhaii....syok mahsyukk baca kisah nii..:):)heheh..
Mengimbau nostalgia nan lalu...terkdg buat kita tersenyum..

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

cikgu tinie,
malunya kita...citer lama sis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...