Saturday, February 5, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Berakhir sudah banjir..selamat menyambung pelajaran anak-anak..


Alhamdulillah...syukur kakak telah selamat sampai ke rumah sewanya di Taman Perling, tengah bandar Segamat. Berkereta bersama teman serumahnya sambil mengekor di belakang kereta mak dan ayah Yana. Jalan melalui Tangkak masih terputus, banyak jalan yang rosak. Akibatnya mereka terpaksa mengambil masa agak lama untuk sampai ke Segamat melalui Gemas.

Aku yang berhasrat untuk turut sama ke Segamat menghantar kakak bagi membantunya mengemas apa yang patut akhirnya terlantar di rumah makan ubat bila diserang demam, selsema dan batuk. Betul-betul tak larat. Baru diuji demam pun kita dah terasa payahnya apalagi mereka yang terbaring lama kerana sakit yang kritikal dan payah sembuh.

Telefon kakak pagi tadi bertanya khabar dan situasi di sana. Nak telefon semalam bimbang mengganggu dia yang pasti kepenatan mengemas dan membersihkan rumah. Aku dan suami memang kasihan akan ujian yang menimpa mereka malah kepada semua mangsa banjir yang terlibat. Apakan daya kita, ini pengalaman pertama mereka dan jadikanlah setiap masalah dan pengalaman perit itu suatu pengajaran dan peluang. Di lain masa kita akan lebih berhati-hati dan bersedia lebih awal. Apapun sebagai manusia kita hanya boleh merancang. Kadang-kadang semua telah kita pastikan namun kehendak Allah swt mendahului segala-galanya kerana Dia saja yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.

Seperti yang dijangka, buku-buku kakak yang baru dibeli untuk semester yang baru dibuka habis rosak. Karpet, tilam, bantal, selimut semua lencun. Dokumen-dokumen penting seperti surat beranak dan sijil-sijil turut kembang. Mana-mana yang boleh diselamatkan diusahakan untuk dikeringkan di bawah mentari yang mula bersinar.

Kain baju mana-mana yang disangkut tidaklah terendam walaupaun tetap basah dan lembab. Masalahnya bau yang tidak enak menyelinap satu rumah, maklumlah lama juga kesemua benda terendam dalam air banjir. Habis semua terpalit lumpur yang busuk, dah macam bau loji kata kakak.

Kononnya kata kakak semua kain baju, cadar, selimut boleh dihantar dobi namun akhirnya satu kedai dobi pun tak ada di Segamat. Kalau adapun pasti tak buka kerana banjir yang menenggelamkan bandar Segamat mengakibatkan bank, kedai-kedai masih tidak dibuka. Syukur washing mechine fully auto di rumahnya masih elok walaupun terendam dalam banjir. Mudah sedikit urusan mencuci dan mengeringkan baju dijalankan. Peliknya peti ais pun tak rosak, syukur..

Terima kasih kepada ibubapa Yana yang membantu membersih, mengangkat dan menjemur tilam yang berat-berat di pagar rumah. Mereka turut membelikan toto dan sedikit sebanyak barang keperluan. Mereka jugalah yang mengizinkan anaknya membawa kereta bagi kemudahan pengangkutan pergi balik kakak dan teman serumah ke kampus selama ini. Terima kasih atas budi baik kalian, hanya Allah swt yang membalasnya.

Di luar rumah sewa kakak sudah membukit terhimpunnya segala macam harta benda yang rosak dihimpun oleh penduduk sekeliling. Bayangkan seluruh bandar Segamat, satu kerja majlis perbandaran Segamat terpaksa mengangkut dan mambuang segala macam barangan rosak seperi perabut, tilam bantal dan sebagainya.

Esok kakak akan ke kampus dan mendaftar sebagai mangsa banjir bagi pelajar NR (nonresident) dan barangkali adalah sedikit bantuan kepada para pelajar NR yang berselerak menyewa di sekitar bandar Segamat.

Kepada kakak bersyukurlah atas ujian yang sedikit ini. Jadikan ianya sebagai suatu pengalaman paling manis bila kakak sudah meninggalkan kampus UITM Segamat May nanti. Tabahkan hati dan pasanglah tekad untuk menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran dan berazam untuk yang terbaik bagi mengakhiri semester akhir ini. Doa mak dan ayah tidak putus-putus buat kakak dan teman-teman semua semoga kalian berjaya dengan cemerlang, menjadi anak-anak yang solehah dan sentiasa mensyukuri ni'mat Allah walau dalam susah dan senang.

4 comments:

Zaitun said...

Harap kakak sabar dengan dugaan yang menimpa,jadikan ianya pelajaran dimasa akan datang.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

mulanya panik juga..akhirnya dia redha dan faham semuanya kehendak Allah jua..

aliaaroslan said...

ujian diberikan pada orang yang mampu untuk tanggung.

insyaAllah, ada balasan yang baik menanti.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Betul tu aliaa, berkat sabar kakak dan kawan2nya telah kembali ceria dan bersemangat meneruskan kuliah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...