Friday, April 15, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Tolong jangan membazir boleh...?



Errrk... Alhamdulillah... Lebih panjang lagi, alhamdulillahillazi atamana wasaqana wajalana minalmuslimin. Begitulah hendaknya setiap kali selepas menjamu selera. Errrk..! Alhamdulillah. Kenyang.

Lewat FB aku menjamu mata melihat video bagaimana sebahagian manusia yang mewah pergi makan dan gemar jalan-jalan cari makan. Dengan kemampuan yang ada kebanyakan kita boleh singgah ke mana-mana mencari makan. Boleh pilih mana-mana tempat makan yang digemari. Boleh mencuba di hotel, gerai dan restoran baru yang dicadang teman-teman. Pendek kata dengan sedikit sebanyak kemampuan yang ada kebanyakan kita sudah meneroka sebegitu banyak destinasi menjamu selera untuk kita labuhkan keinginan nafsu makan kita yang tak pernah padam ini.

Lewat video itu aku melihat bagaimana mereka yang susah, miskin dan tidak punya wang menghargai apa ertinya sesuap makanan. Betapa ni'mat dan lazatnya rezeki Allah yang berupa makanan. Selagi ia masih boleh dimakan, walaupun cuma sisa-sisa lebihan makanan orang namun ia tetap rezeki paling lazat di dunia. Rezeki yang patut disyukuri kerana sekurang-kurangnya ia sudah dapat menyumbang dari rasa lapar kepada kenyang pada hari itu.

Dengan berebut-rebut mengejar dan mengerumuni tong plastik sampah yang berisi tulang-tulang bersisa cebisan daging ayam goreng 'fast food' bekas sisa buangan orang mereka makan dengan rakus akibat rasa lapar yang amat sangat.

Atas budi baik hamba Allah, bapa kepada beberapa orang anak kecil yang juga turut kelaparan di rumah, beliau setiap hari akan berusaha membawa balik ke rumahnya sisa makanan yang dikumpul untuk dibuang dari restoran tersebut. Menyelongkar sisa-sisa tulang yang masih tersalut isi ayam dikumpul ke dalam bag plastik sampah dan dipilih untuk dibawa pulang buat rezeki mulut dan perut lapar anak-anak kecil jiran berdekatan termasuk ahli keluarganya sendiri.

Melihat wajah-wajah riang anak-anak berlari-lari menyambut kepulangannya, benar-benar mencuit perasaan. Berebut-rebut tangan-tangan kecil memugut hidangan paling istimewa yang hanya berupa tulang-tulang ayam sisa buangan manusia-manusia yang sudah tidak pelik akan erti sesuap makanan. Lalau tangan-tangan kecil itu menyuapkan ke mulut mereka dengan rakus bagaikan itulah pertama kali mereka bertemu makanan paling sedap di dunia.

Apabila pulang ke rumah sebahagian kecil sisa makanan yang diasing buat keluarga, dihidang pula untuk santapa sekeluarga. Dengan mesra si ibu meletakkan ke dalam pinggan setiap anak di atas meja, seketul dua sisa-sisa tulang dan lebihan sisa mee/spaggeti. Begitu juga ke dalam pinggan dia dan suami, lalu mereka sekeluarga berdoa mengucap syukur atas rezeki yang terhidang sebelum hidangan lazat itu disuap ke mulut masing-masing. Makanlah mereka sekeluarga dengan raut wajah sangat gembira dan bersyukur.

Renunglah ke dalam diri. Lihatlah anak-anak kita. Di sisi manakah kita. Tentulah kita akan berkata kita adalah di kalangan mereka yang paling bersyukur kepada Allah. Kita bekerja dan memperoleh wang, maka kita berhak berbelanja mengikut kehendak kita. Kita boleh membeli apa saja dihajati dan makan apa yang diingini kerana kita mampu. Kita ada duit. Di samping itu kita pun turut besedekah beramal jariah. Bukankan ia memadai. Tidak terlalu berlebih-lebihan dan tidak terlalu kikir.

Hanya satu yang seringkali kita lemah dan kalah, sama ada dalam sedar atau tanpa sedar bahawa kita ini suka membazir. Membazir dalam banyak perkara. Membazir wang, makanan, pakaian, air, elektrik, masa dan macam-macam lagi. Sedangkan kita biasa mendengar peringatan bahawa membazir itu kawan syaitan.

Kalau makan, nak penuhkan pinggan, akhirnya terbuang. Baju, seluar, tudung, dah penuh almari. Kasut tinggi rendah dan bag tangan aneka warna macam-macam jenama dah penuh rak. Peliknya bila nak ke majlis, ada-ada saja yang tak kena. Mulalah berfikir-fikir nak cari yang baru. Terngiang-ngiang di telinga membazir itu amalan syaitan. AaaH..! Itu syaitan...aku tak.

Baru-baru ini aku sekeluarga menjamu selera ke Restoran Wong Solo. Menunggu hidangan di pesan sampai, mata nakal aku melilau menjeling meja-meja kosong yang baru ditinggalkan. Masyallah.. mewah sungguh rakyat Malaysia ini. Makan cuma dua orang tetapi makanan yang dipesan mengalahkan nak makan sepuluh orang. Sudahlah harga makanan di situ agak mahal harganya, sanggup dibiarkan terbuang cuma dijamah sedikit saja.

Pantang betul aku kalau orang makan tak dihabiskan. Kalau dah tahu tak boleh nak masuk perut begitu banyak, pesanlah sekadar yang sepatutnya. Lain kali jika teringin mencuba menu yang lain, silalah datang lagi. Jangan tamak mengikut nafsu makan yang rakus, menghimpun segala jenis makanan ala-ala rancangan JJCM di tv dan akhirnya ia terbuang begitu saja.

Sakit mata melihat udang dan sotong goreng tepung cuma dijamah sedikit dan ditinggalkan, ayam penyet cuma dicuit-cuit, sup buntut/ekor cantik dalam mangkuk, sambal udang petai bersisa sedikit dan air alpukat/avocado dihirup macam nak tak nak saja. Sudahnya pasangan romantis ini beredar membayar harga makan di kaunter dan berlalu dengan kereta Myvinya.

Aku terkulat-kulat melihat pekerja restoran mengangkat pinggan manggkuk sambil mencampak sisa makanan lazat tadi ke dalam bekas untuk dibuang ke dalam tong sampah di dapur. Sebenarnya, jauh dalam hati aku berkata-kata..ya Allah sayangnya, berdosanya membazir sebegitu rupa. Ramai lagi orang susah di luar sana yang perlu mengisi perut kosong mereka sedangkan tiada sesuap nasi hendak dimakan.

Kalau ikutkan hati, mahu saja aku bangun mengutip makanan yang terbiar itu untuk dibawa pulang. Sekurang-kurangnya boleh aku sedekahkan pada kucing-kucing di rumah atau yang terbiar di tepi jalan. Mengenangkan ramai pelanggan di sekeliling dan dikhuatiri dianggap kurang sopan oleh tuan punya restoran terpaksa aku diamkan diri. Maka berpura-puralah kita menjadi pelanggan yang paling berkemampuan, sedang menunggu pesanan dan layanan paling istimewa sambil sakit hati melihat pembaziran yang berleluasa di depan mata.

Aku mencuit anak-anak termasuk ayahnya sekali sambil memberi 'warning' supaya jangan berani-berani bersikap begitu. Ikut sunnah Nabi saw, makan sekadarnya sampai licin dan jilat jari yang bersisa makanan bukan membazir makanan sesuka hati. Pesan arwah emak dulu-dulu kesian nasi menangis kalau kita makan tak habis.

Tidak cukup sekadar kita mencari halalan toyibban dalam mengisi perut sedangkan dalam masa yang sama kita buang makanan dan membazir. Nanti tatkala Allah swt murka lalu menarik sedikit saja ni'mat makan dari diri kita, baru sedar diri. Kemudian jika diambilnya segala kemewahan dan segala kemampuan material kita, huru hara jadinya kita. Apatah lagi jika diambilnya seluruh kesihatan kita, di ketika itulah baru kita sedar betapa ni'mat hidup di dunia ini hanyalah sementara.

Sebagai peringatan kepada diri sendiri dan keluarga, ayuh kita cari-cari di mana cuainya kita dalam membentuk generasi tidak sukakan pembaziran. Jangan sampai digelar kufur ni'mat. Mari kita kikis dan buangkan sifat hodoh ini agar di masa akan datang kita menjadi manusia paling bersyukur ke hadrat Allah dan bersederhana dalam menguruskan ni'mat dunia anugerah Illahi. Mudah-mudahan kehidupan kita sekeluarga di berkati Allah dunia akhirat..amin.


4 comments:

Zaitun said...

Budak2 zaman sekarang terlalu mewah sampai lupa perbuatan pembaziran.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

yelah kak zai, kalau direnung dalam2 kita (saya le..) ape kurangnya, tak banyak sikit ada-ada saja perkara membazir yg terlepas pandang, contohnya nampak kasut..teringin nak beli kasut, yg dibeli dulu2 pun tak sempat pakai lagi, akhirnya dah jadi pembaziran..

ibuintan said...

assalamualaikum ...

kekadang menunjukkan kemampuan masing2 walau tahu akibatnya akan berlaku pembaziran

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam perkenalan ibuintan,

Ada betulnya cakap ibuintan tu, malam tadi saya n keluarga makan di Red Wok Restoran..dgn selambanya pasangan suami isteri tu tinggalkan sepinggan hidangan nasi+daging black paper dia tak bercuit gitu jer..masa order punyalah tamak, mcm2 nak dimakannya sudahnya kekenyangan, kok yer pun bungkus le bawak balik mcm saya.

Sakit mata hati melihat pembaziran..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...