Wednesday, February 3, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

ADUHAI KAUM HAWA!

Semalam dalam pukul 2.00 petang, aku singgahlah ke salah sebuah klinik terkenal di BBBangi ni. Tujuannya nak aturkan temujanji aku dengan doktor pakar menggunakan GL syarikat suami aku bekerja. Klinik pakar dermatologi baru berpindah ke tingkat atas penghujung bangunan. Buat masa ni, klinik hanya dibuka sampai 12.00 tengahari.

Aku pun ketuk pintu cermin klinik, cuma ada tinggal dua orang pekerja sahaja. Doktor semua dah balik atau menyambung tugas di klinik-klinik lain yang berkenaan. Kira buat duit betullah para doktor ni, itu pekerja dia yang kata.

Dua orang staf yang tinggal tadi seorang anak gadis dan seorang lagi berusia 50 tahun. Layanan memang perfect, oleh kerana tiada doktor jadi tinggal kami bertiga. Aku nak buat urusan rasmi menentukan tarikh appointment dan doktor mana yang aku pilih. Staf dua orang ni terutama yang membahasakan dirinya kakak punyalah peramah, sa...ngat peramah. Aku ni dipanggil adik aje macamlah aku ni muda sangat. Mulutnya becok betul bila bercakap, belum habis bercakap satu perkara dia dah bercerita benda lain pula. Baru aku bertanya yang ini, dia jawab sekerat jalan dia bertanya benda lain kat staf muda tadi. Tak habis budak tu nak menerangkan jawapannya dia dah berpaling kat aku dan tanya balik apa persoalan yang aku tanya tadi. Pendek kata gamat jugalah dalam klinik tu dengan suara mereka berdua.

Akhirnya jadi kecoh, benda penting untuk mengisi borang dan daftar masuk maklumat tak selesai lagi. Aku pun tak kurang peramahnya, orang buat baik kita layan ajelah. Dia tanya aku tinggal kat mana, kerja apa, asal usul orang dan kampung mana dan seperti biasa tak habis aku cerita, dia pulak buka cerita dia sendiri.

Kata dia asalnya dia tinggal di P.Dickson bersama suami dan anak-anak. Kebetulan aku pun pernah tinggal di PD selama lapan tahun. Bertambah hangatlah cerita, dia kata tak pernah nampak aku pun dan aku pun tak pernah nampak dia. Hoi! Makcik PD tu luas, dahlah aku tak pernah kenal dia. Tapi muka dia cam pernah nampak jer, kot la pernah berselisih kat pantai atau pasar malam bt 4, kat pekan PD atau pun masa Pesta PD dulu-dulu.

Aku yang tak kurang peramah ni pun bertanya, apasal lak akak ada kat Bangi ni. Bila kena jolok dia pun bukak story. Inilah kelemahan orang pompuan. Peramah tak bertempat, mudah sangat percaya kat orang. Baru kenal seminit dua dah boleh luah perasaan.

Dengan bersemangatnya dia bercerita tentang masalah rumahtangga dia. Kena tinggal suami, tak nak diceraikan tapi dibiar tergantung tak bertali. Dia dan anak-anak bawa diri dan suami pun bawak diri masing-masing. Aku pun sebenarnya bukan suka sangat nak dengar. Seperti yang aku kata, baru cerita pasal rumahtangga dia, dah sambung cerita tentang kereta dia kat bengkel rosak dan tak pasal-pasal dia kena keluar duit RM400. Tanya pulak kat aku agak-agak dia tak kena tipu ke dengan cina yang betulkan kereta kat bengkel dia hantar pagi tadi.

Ha.. sesuai sangatlah tanya pasal masalah kereta kat aku. Dahlah kereta aku sendiri tu suami yang uruskan segala mak neneknya. Bayaran bulanan, road tax, insurance, tukar dan pam tayar, isi air dan ape benda perkakas dalam dan luar engine banyak yang aku tak tau. Yang aku tau drive kereta dan sesekali isikan petrol bila dah nak kering tangkinya. Kalau rajin cuci dan vacum kereta. Selainnya drive hati-hati, ikut peraturan jalanraya, jangan langgar orang, sesekali langgar lampu merah kira dimaafkan. Begitu baiknya akupun tetap ada orang gesel kereta aku masa aku parking kat pasar malam ituhari. Mentang-mentang aku tak nampak, dia blah cam tu jer, tak pe..aku maafkan.

Akhirnya dah puas dia becok itu ini dia pesan pulak suruh aku carikan seorang pekerja untuk klinik tu. Kalau boleh secepat mungkin, kalau dapat lepas interview dengan doktor dah boleh mula kerja Jumaat ni. Tak kisah kelulusan apa asal ada SPM dan tau serba sikit pasal komputer cukup, janji nak kekal bekerja jangan kekejap nak berhenti. Gaji boleh runding paling kopak starting RM 700 atau 8oo tak termasuk over time.

Ha..banyakpun peluang kerja untuk rakyat Malaysia. Kalau tak memilih, kat Bangi ni pun melambak. Aku dah nak angkat kaki namun ada banyak benda lagi dia nak cerita. Aku takut-takutkan diaorang kot la pihak pengurusan klinik ada pasang CCTV. Maklum la kerja diaorang office hour, sekarang dia orang berborak sakan punyalah santai macam rumah sendiri, kalau tertangkap kang nyanya kena buang kerja. Sikit pun dia orang tak takut, tergelak-gelak lagi buat jokes. Siap boleh jawab masa doktor tak ada nilah kita lepak, masa kerja kita serious tak ada kerja kita enjoy! Kuang! Kuang! Kuang! Aku sengih jer.

Dah la tu, aku pun letih nak layan mereka berdua ni, banyak lagi urusan di rumah menunggu. Itupun dia ajak aku minum kat restoran bawah sambil minum dan sembang-sembang. Ha! Sambung berborak lagi, mintak ampun. Dari tadi pun aku lebih banyak mendengar, angguk-angguk dan jawab mana yang perlu. Aku jaga tuturkata dan tak perlu nak cerita bukan-bukan lebih-lebih lagi hal rumahtangga.

Sepatutnya sebagai pekerja, bertugaslah sebaik mungkin, sejujur yang boleh. Memanglah boss tak ada depan mata dan kita boleh buat apa suka tapi.. harus diingat kita ada lagi The big, big boss di atas sana , yang sentiasa memerhati dan menilai kita. Kerja bukan nak cari duit semata-mata tetapi nak kena ikhlas mengejar pahala dari Maha Esa. Habuan yang kita inginkan bukan semata-mata di dunia saja tapi biarlah sampai ke akhirat kelak, insyaallah.

Buat kaum hawa jagalah perilaku, tuturkata dan akal fikiran. Sebelum bertindak berfikirlah dengan waras berpandukan ilmu dan iman. Kalau-kalau kita tersasar dan terlanjur jangan mudah pula menyalahkan orang lain. Perhatikan di dada-dada akhbar betapa meningkatnya keruntuhan akhlak dan rendahnya martabat kaum wanita. Tidak mengira yang masih muda belia malah sudah bergelar isteri, makcik dan nenek pun masih juga terjerumus ke lembah hina.

Mudah-mudahan kita semua dilindungi Allah swt selalu dan dikurniakan rumahtangga yang harmoni dan bahagia. Sentiasa dalam rahmah dan mawaddah hendaknya, Amin...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...