Saturday, February 6, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

IBU AYAH - CERMIN SI ANAK

Malam tadi rumah kami ada tetamu. Lepas Maghrib tengah duduk atas sejadah tunggu Isyak masuk tetiba bunyi loceng ting tong. Sekali jenguk rupanya abang aku terjonggol depan gate. Terkejut juga sebab selalunya dia mesti call dulu bagitau nak singgah.

Kami mempersilakan masuk dan menghidangkan teh dan cokodok serta roti canai mamak Bistro berlaukkan dalca dan daging rendang mamak style. Kami pun bersembang dengan mesranya. Pada asalnya abang Z tak ada plan pun nak singgah ke rumah. Tujuan sebenar nak ke Nilai dan USIM nak tengok Karnival untuk pelajar dan lepasan sekolah meninjau pameran dan penerangan dari pelbagai universiti awam dan swasta, agensi-agensi yang berkaitan dengan pendidikan dan sewaktu dengannya.

Selesai berkarnival hari dah lewat petang, selepas tolong menumpangkan sekaligus menghantar sekumpulan pelajar perempuan yang menunggu bas pulang ke USIM dia berpusing-pusing mencari jalan balik ke Seremban. Pendekkan cerita dia tersesat sampai ke Bangi Lama dan setelah puas bertanya orang sampailah dia ke rumah aku akhirnya. Mujur dia biasa datang ke rumah dan dah faham jalan BBBangi ni.

Dari seramai 5 orang abang aku, abang Z ni aku puji dari segi sikapnya yang mengambil berat soal pelajaran anak-anak. Dia sekeluarga warga Felda Lui menghala ke Jempol. Anak seramai 7 orang paling kecil tingkatan 3. Isterinya baru pencen sebagai Pegawai Pertanian di Kuala Pilah. Kesemua anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. 4 orang perempuan lepasan UM- guru, UPNM- tentera bakal Major, UPSI- guru dan USM- sedang belajar. 3 lelaki,seorang bertugas sambil belajar di KUITHO, dua masih belajar bakal menduduki STPM dan PMR tahun ini.

Walau tinggal jauh di Felda tetapi sejak anak pertama hingga kini dia cukup mengambil berat tentang pelajaran anak-anaknya. Kalau tinggal di asrama akan selalu dijenguk dan diberi motivasi. Anak-anak kesemuanya dididik bukan sahaja menekankan akademik namun terdidik dengan asuhan agama. Aku perhatikan anak-anak beliau begitu mendengar kata dan penampilan terjaga. Anak perempuan bertudung labuh namun tidak membataskan mereka bergiat aktif di sekolah dan universiti. PALAPIS pastinya lasak bagaikan tentera sebenar dan inilah minat mereka sehingga menyandang pangkat kapten. Akhirnya Angah lepasan Uni Pertahanan Malaysia berjaya bertugas sebagai seorang tentera wanita yang bakal dikurniakan pangkat major di salah sebuah kem di KL walaupun baru saja melahirkan anak kedua.

Mereka cukup cekal dan bersemangat atas asuhan kedua ibu bapa. Cerita anak-anak buah aku, semasa zaman persekolahan, waktu cuti sekolah, mereka mesti pergi ke kebun membantu keluarga. Masa-masa terluang semasa menunggu keputusan peperiksaan keluar, seberapa boleh akan diusahakan anak-anaknya menyertai kem-kem motivasi pelajar baik berbentuk akedemik maupun agama. Kelas-kelas kemahiran bagi anak perempuan seperti belajar menjahit dan memasak adalah wajib. Untungnya mereka semua boleh menjahit sendiri baju terutama tatkala menjelang hari raya. Sekian banyak wang dapat mereka jimatkan.

Abang Z sentiasa memastikan dirinya mendapat informasi terkini untuk memilih tempat belajar terbaik untuk anaknya menyambung pelajaran setelah tamat alam persekolahan. Beliau sendiri akan melayari internet dan akan ke karnival dan pameran yang diadakan. Akhirnya kini mereka suami isteri amat bersyukur dan tersenyum puas melihat anak-anak berjaya dan tidak melupakan mereka. Anak-anak yang masih belajar sudah pasti terdorong menggapai kejayaan seperti adik beradik yang lain.

Terdengar perbualan mesra dalam telefon seorang ayah dan anak lelaki bongsunya di asrama malam tadi. Belajar sungguh-sungguh, solat fardhu jangan dilewat-lewatkan, bangun awal, jaga akhlak, jaga hubungan silaturrahim dengan kawan-kawan, makan jaga, hormat guru dan sebagainya. Tidak hairanlah kalau abagng Z dikurniakan anak-anak kurang bermasalah. Ibarat cermin kebiasaannya ia pasti membalikkan gambaran yang sama apabila dilihat.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...