Thursday, March 4, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

KEMBALILAH KE PANGKAL JALAN...

Salam..
Mak apa kabar, sihat? Em.. akak nak tanya ni. Berdosa kan if bagi duit utk tlg org yg pragnant gugurkan kandungan. Hu..hu.. Takut la mak..X tau camne nak tlg dia. Kawan akak ni ditimpa pelbagai masalah besar. Akak harap akak dijauhkan dugaan yang berat2 mcmtu. Hu..hu... Nak peluk mak..Takot!
Sender;
Kakak
+013*******

Received;
00:42:55
03-03-2010

Bangun tidur awal pagi itu..dengan mata masih terpisat-pisat, aku capai telefon dan ada massage. Baca..dari anak dara aku nun jauh di Segamat. Dup..dap..dup..dap.. jantung aku berdegup laju. Baca lagi, betul-betul..hati-hati takut tersilap. Maklum mata masih kelabu. Masyallah.. dan alhamdulillah..dia bukan anak aku, nauzubillah kenapalah ia terjadi kepada kawan anak aku. Tabahkanlah dia...

Aku kenal anak gadis itu. Bermula dengan kenangan pertama kali menghantar anak sulung mendaftar masuk ke Universiti. Kebetulan semasa sibuk mendaftar terserempak dengan kawan sekolahnya. Mereka pernah sekelas namun tidak rapat. Sama-sama dari Bangi dan sebagai pelajar baru tentulah ia memberi rasa ceria di hati anakku. Masakan tidak..sebentar lagi dia akan berpisah dari kami untuk tinggal di asrama dan ini merupakan pengalaman pertamanya tinggal jauh dari keluarga. Dengan hadirnya seorang kawan tentulah terubat rasa risau, sedih dan bimbangnya.

Mereka selesai mendaftar dan yang paling seronok bila mereka berdua ditempatkan sebilik berdua. Akhirnya tinggallah mereka untuk satu semester kerana pada semester kedua, kawan anakku itu tidak mendapat kemudahan asrama lalu terpaksa menyewa di luar.

Pendekkan cerita, dugaan tinggal sendiri di luar dengan masalah kewangan, pengangkutan, makan minum, pergaulan dan segala macam itu ininya, akhirnya anak gadis itu tidak sanggup lagi meneruskan pengajian. Berhentilah dia separuh jalan dan mengambil keputusan untuk tinggal di Kuala Lumpur, mencari pekerjaan untuk menampung hidup.

Aku sama sekali tidak menyalahkan anak ini bulat-bulat. Kalau diteliti sejarah hidupnya pasti ia ada hubungkait sehingga dirinya terjebak dalam pergaulan tanpa batasan. Dari cerita mulut anakku dan sedikit perbualan serta pemerhatianku, anak ini menjalani kehidupan yang sangat mencabar jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain.

Dia - kematian ibu semasa melahirkannya. Bapanya hilang entah ke mana tak dapat dikesan. Ada abang tetapi tidak berapa ambil kisah tentang dirinya. Sejak kecil tinggal dengan neneknya dan apabila besar bersekolah menengah dia dibawa tinggal dan berhijrah ke Bangi oleh Pakciknya yang merupakan bujang terlajak.

Pakciknya tidak mempunyai kerja tetap. Sekejap bekerja di restoran, sekejap bertukar kerja sebagai pengawal keselamatan. Dan yang paling membingungkan apabila anak gadis tadi dibawa tinggal di rumah sewa yang di dalamnya tinggal semua penyewa lelaki kebanyakannya warga asing Bangla dan Indonesia.

Kerana terpaksa disitulah dia menumpang tidur, belajar, makan dan mendapatkan perlindunga serta kasih sayang dari pakciknya yang berhati mulia menanggung kehidupannya. Di situ juga dia harus pandai bersabar dan menjaga diri dari pandangan liar penyewa dan kebimbangan hati kalau-kalau ada di antara mereka yang berniat jahat.

Semasa aku mendengar cerita ini semua, sesekali kami mengajak dia tinggal di rumah kami namun dia tidak pernah sudi walau untuk singgah sebentar. Katanya dia segan sedangkan hatiku sebagai seorang ibu sentiasa bersasa bimbang dan curiga akan keselamatannya. Pakciknya tidak berdaya sedangkan dia masih ada makcik yang tinggal berdekatan. Namun atas dasar makciknya tidak mahu masuk campur dan terlibat dalam kehidupan anak ini lalu dibiarkan saja mereka pandai-pandailah mengurus kehidupan masing-masing.

Akhirnya, apabila pengajian terbengkalai, dia pula belajar hidup bedikari di KL tanpa pakciknya. Setelah mendapat kerja, punya pendapatan sendiri, ditipu kekasih hati dan akibatnya trjerumus dalam pergaulan bebas. Ditambah tertekan dengan pelbagai masalah mendatang dan kini dia telahpun termengandung lalu apa lagi ujian yang harus dia tanggung di bahunya.

Aku sebenarnya tumpang sedih, dia mengharapkan bantuan dari anakku. Katanya dia perlukan duit yang agak banyak untuk menggugurkan kandungannya dan menyelesai pelbagai masalah lainnya di samping dia juga telah berhenti kerja. Apalah daya anakku, dia pun masih belajar. Wang pinjaman PTPTN cukup-cukup untuk perbelanjaan sehingga habis semester 4 beberapa bulan lagi.

Sebagai sahabat anakku berasa serbasalah. Dia turut bersimpati dan dalam masa yang sama merasa terkilan. Dia mencadangkan supaya mereka berdua bernikah saja. Yang peliknya, kawannya menolak samasekali atas alasan kekasihnya itu tidak sesuai dijadikan suami. Berperangai tak elok dan tidak bekerja.

Aduhai... baru kini kamu sedar dari mimpi-mimpi indah. Baru kini kamu kenal siapa sebenar jantan yang kamu cintai itu. Baru kini kamu tahu diri kamu ditipu hidup-hidup oleh si dia. Setelah kehormatan kamu tergadai, setelah semuanya serba tak kena baru kini hendak menyesal. Setelah nasi menjadi bubur.

Aduhai...janganlah hanya kau tangisi hidup ini. Masih ada ruang untukmu kembali ke pangkal jalan. Jangan kau gugurkan anak yang tidak berdosa itu. Jangan kau tambah pula secalit lagi dosa besar. Dan seandainya.. apabila kau masih sudi meneruskan kandunganmu nanti, jagalah dirimu baik-baik. Bertaubatlah dan sucikanlah dirimu. Mohonlah keampunan dari ALLAH swt., Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Seandainya jua, jika kau sempat melahirkan anak itu ke dunia.. kasih dan sayangilah dia sepenuh hati kerana kau telahpun menjadi seorang ibu. Naluri seorang ibu sejati, tidak akan sanggup membuang dan membunuh anaknya sendiri. Peliharalah dia atau kalau masih tidak sanggup, berilah kepada mereka yang mahu membelanya. Bayi kecil itu juga manusia yang punya peluang untuk hidup menjadi manusia berguna.

Buat kakak, anak perempuan mak yang dikasihi. Jadikan pengalaman ini suatu iktibar dan pengajaran. Jagalah kehormatan dirimu, peliharalah akhlakmu dan awasilah pergaulanmu. Perkukuhkan imanmu sekuat mumgkin kerana perjalanan hidup ini sungguh mencabar. Banyak sekali dugaan menanti. Dalam apa jua langkah dan tindakanmu, ingatlah ALLAH selalu dan bayangkan wajah kedua ibubapamu.

Berhati-hati anakku, doa ayah ibu tidak cukup kalau dirimu sendiri tidak bermohon kepadaNYA. Perkuatkan benteng imanmu dalam menghadapi godaan syaitan dan nafsumu.

2 comments:

Ibu n Abah said...

Yati,
Manusia diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan 'kawan' kakak tu memang berat untuk seseorang seusianya. Kasihan mengenangkan nasib malang sepanjang pembesarannya.
Jika dia diberi secukup perhatian dari ibu dan bapa tidaklah hingga begitu jadinya.
Sedih sungguh saya membaca kisah hidupnya... Semuga menjadi iktibar buat anak-anak kita betapa bertuahnya mereka masih punya kedua ibu dan bapa.

Pn Kartini said...

Salam sis..
satu perjalanan hidup yg mengharukan.. Semoga kewarasannya masih ada dalam membuat pertimbangan hidup.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...