Saturday, July 10, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

BUDU. Dulu-dulu kalau sebut budu aku selalu terbayangkan "berudu" anak katak warna hitam yang boleh berenang dan selalu aku sangkakan ianya anak ikan. Aku tidak pernah kenal budu, rasa budu dan makan budu sehinggalah aku keluar dari daerahku Batu Pahat, Johor untuk melanjutkan pelajaran ke ITM Shah Alam.
Setelah bergaul dengan kawan-kawan dari pelbagai negeri, barulah aku dengar pasal budu dari teman yang berasal dari Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu. Apabila selalu ke gerai makan atau ke bazar Ramadhan di Sek 2, aku terpersona melihat nasi kerabu yang berwarna biru. Tidak pernah merasanya seumur hidup dan keinginan mencuba menyebabkan aku kenal serba sedikit apa itu budu.
Bagaimanapun aku langsung tidak minat dengan budu itu kerana bau dan rasanya yang pelik dan masin. Seumur hidup aku hanya kenal kicap masin/manis sebagai menambah perisa sewaktu makan nasi bukan budu.
Sedari kecil aku hanya kenal dan minat sambal belacan sebagai bahan colet kepada ulam-ulaman. Walaupun mak ayah biasa makan tempoyak dan cencaluk namun bahan ini langsung tidak membuka selera aku. Bila dicuba aku rasa semacam dan tidak tahan mencium baunya yang dirasakan wangi bagi peminat makanan sampingan ini.
Minat makan tempoyak hadir setelah tinggal selama lebih kurang 8 tahun di Port Dickson, N.Sembilan. Oleh sebab jiran tetangga kiri kanan orang Negori selalulah aku dijamu dengan resepi masakan yang berasaskan tempoyak. Hingga sekarang jadi peminat tempoyak walaupun jarang-jarang ada stok dalam rumah melainkan dihadiahkan oleh kawan-kawan.
Cencaluk aku kurang minat walaupun sesekali mencubanya juga bila teringin. Tak tahan masin dan anak-anak kami kurang senang dengan kesemua bau-bauan benda-benda ini yang terasa menyengat deria bau mereka hingga terasa loya di tekak. Tidak hairanlah kalau budu, cencaluk, tempoyak jarang sekali terhidang dalam menu harian kami berbanding sambal belacan dan sambal kicap.
Bagaimanapun budu telah menjadi hidangan istimewa aku dan suami semenjak teman sekerja menghadiakan sebotol pada kami tempohari. Entah kenapa rasanya boleh membuka selera tambahan bila dicolet dengan ulam-ulaman seperti petai, jantung pisang, bendey celur dll. Malah semasa aku teringin makan maggie soto telur yang boring rasanya, aku masukkan sedikit budu dan wow..licin semangkuk maggie aku kerjakan.
Cukuplah buat sementara ini aku menghadap budu sepenuh hati. BP pun dah bagi amaran, budu tu masin..jangan melampau ikut selera tekak dan nafsu. Kalau tumbang masuk hospital..semua susah nanti.

4 comments:

Pn Kartini said...

Salam my dear sis..:):)

Wanna to know??
antara sebab sanggup langgar diet!!sebab budu laa..aduhaii..:):)
hehehe..:)

Mama said...

Salam Yati... alamak... tekak minang tak boleh terima... tempoyak pun bila sudah dimasak dgn pucuk ubi je...
nasib baik tak suka.... BP KZ skrg sdg tinggi... merbahaya

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam Tini,

Peminat budu rupanya..katanya budu banyak khasiat. Kalau tak ada darah tinggi, apa salahnya. Budu memang pembuka selera.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam k.zah,

Sesiapa yg BP dia tgh cantik mencanak2 reading dia baik berhati-hati. Budu dan cencaluk memang masin tapi tempoyak ok kot.

Terliur membayangkan masak tempoyak daun kayu campur petai. Anak-anak saya lahir di hospital seremban dan PD so diaorg ni penggemar lomak cili api tp tempoyak kurang minat pulak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...