Monday, July 26, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

MENJAGA LIDAH



Lidah adalah anugerah Allah swt yang amat mustahak sebagai penghubung antara satu sama lain, menerusi percakapan mahupun untuk mencapai keredhaan Tuhan. Lidah juga boleh menyebabkan manusia terjerumus ke dalam api neraka.

Berhati-hatilah dalam dalam bertutur dan berbicara. Kesan daripada tersalah cakap boleh membawa kesusahan dan kerugian malah boleh menyakitkan hati orang lain.

Oleh itu, sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara yang tidak diingini ialah dengan berdiam. Diam dalam erti kata tidak bercakap pada perkara yang sia-sia dan tidak baik.

Orang yang beriman dan bijaksana, selalunya tidak berkata atau bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka menjaga setiap tuturkata dan percakapan. Mereka mengelak bercakap akan perkara yang sia-sia apatah lagi mengumpat keji dan mencaci sesama manusia.

Hadis Rasulullah mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

1) Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyak dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya. (riwayat Abu Naim)

2) Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik-baik atau diam. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak diam tidak semestinya bodoh dan banyak cakap tidak semestinya cerdik. Kecerdikan itu adalah buah fikiran. Orang cerdik yang pendiam, lebih baik daripada orang bodoh yang banyak bercakap.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam, jika kita tidak dapat bercakap ke arah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.

Diam bukan bermakna sombong. Maka, kita dinasihatkan hendaklah banyak berdiam (berzikir dalam hati) dan senyum selalu kerana senyuman itu adalah satu sedekah.

Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Semakin banyak kita bercakap, semakin banyaklah kesilapan.

Ditanya kepada Rasulullah saw apakah penyebab terbesar yang boleh membawa masuk ke syurga..lalu Rasulullah menjawab; Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.

Ditanya pula penyebab terbesar membawa manusia masuk ke neraka..jawab Rasulullah; Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.

Luqman al-Hakim pernah ditanya: Apakah falsafah hidup mu?
Beliau menjawab; Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku tidak memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku.

Tidak syak lagi, penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan sahaja menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah, malah kesannya amat buruk kepada masyarakat.

Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara dan porak peranda.

Lalu dalam meneruskan perjalanan hidup seharian di sepanjang bulan-bulan yang mulia ini, apatah lagi menjelangnya bulan Ramadhan yang mulia..diriku memohon seribu kemaafan kepada semua rakan taulan dan sanak saudara seandainya pernah terasa hati di atas keterlanjuran kata dan perbuatan.

Sama-samalah kita muhasabah diri dan memperbetulkan langkah kita dengan sentiasa berazam untuk menjadi lebih baik dari semalam dan menjadi yang terbaik untuk hari esok dan seterusnya.

Marilah kita membina dan memperkukuh ukhuwah agar mendapat keredhaan Allah, kerana Allah amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah begitu juga dengan penduduk di langit. Dengan kukuhnya ukhuwah:

- menggembirakan malaikat di langit.
- dapat menambahkah pahala amal kita setelah meninggal kelak.
- dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih sayang dalam pergaulan.
- dapat menambah dan menimbulkan keberkatan kepada rezeki.
- Allah melanjutkan usia kita.
- menjadikan iblis dan syaitan bertambah gelisah dan sakit hati.
- akan disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada di sekeliling.
- dapat menggembirakan jenazah yang berada di alam barzakh.
- dapat mencetuskan kegembiraan pada kedua belah pihak, tiada amalan yang lebih baik melainkan menggembirakan hati orang-orang yang beriman.

6 comments:

Mama said...

T.kasih Yati... tolong mengingatkan sempena menyambut bulan Ramadhan yg mulia ini.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

t.kasih kembali..mengingatkan diri sendiri sebenarnya dan smg bermunafaat kpd yang lain hendaknya.. insyallah.

ibundo said...

latihan untuk ramadhan dan seterusnya.

en_me said...

insaff kanns.. uhuhu

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

k.pah, jaga lidah ni kena latih hari.. maklun hari2 nak bercakap, mengomel, membebel dan menceceh.

tau-tau..terlajak cakap..puas cerita diri sendiri..cerita plak hal org..belum raya dah buat ketupat..ngee..

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

salam en_me,

eh..eh.. cam kenal jer..sapa ek..
elok kite menginsaf-insafkan diri ni kansss..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...