Monday, February 21, 2011 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

Dia tak solat, akukah yang bersalah...?


Cuti Maulidurasul pada hari Selasa 15 Feb 2011 yang lalu, aku dikunjungi tetamu secara mengejut. Dah sejengkal dari rumah baru mereka teringat nak telefon tuan rumah. Hari cuti maknanya hari bersantai, lepak-lepak sambil tengok TV. Nak pergi Masjid Besi di Putrajaya tak jadi walaupun bukan jauh sangat dari Bangi. Asalnya teringin nak tengok secara dekat orang berarak, berselawat dan merasa kemeriahan hari meraikan kelahiran junjungan besar kita Rasulullah.

Telefon berbunyi seraya suara bertanya tuan rumah. "Assalamualaikum, boleh kitaorang datang rumah tak.." Dah orang bertanya, aku pun jawab. "Eh, sila..sila..jemputlah tapi siapa bercakap ni ye..?" Alahai.. bukan orang lain, suku sakat kaum kerabat adanya. Tinggal pun dekat jer nun kat KL sana.

Dari duduk melepak dan terbongkang anak beranak kekenyangan depan TV di petang hari tetiba jadi kalangkabut. Pegang itu pegang ini, kemas itu kemas ini, campak sana campak sini, sorok situ sorok sini. Cepat-cepat siapkan diri, al maklum tetamunya dah depan hidung baru nak bagitahu nak datang. Kok ye pun bagitahulah awal sikit, boleh gak aku goreng mee ke, masak soto ke atau buat pengat atau bubur untuk dihidang. Sudahnya macam kilat suami ke gerai tepi jalan simpang ke luar taman membeli goreng pisang dan karpap. Dah itu aje yang tinggal. Mujur ada orang berjual cuti-cuti ni.

Tetamu sampai betul-betul azan Asar sedang berkumandang. Selesai menghidang teh o panas dan kuih muih tadi kami pun rancak bersembang. Dari satu topik ke satu topik. Ada yang serius ada yang lucu. Maklum, walaupun masing-masing tinggal bukanlah jauh jaraknya namun untuk bertemu memang payah. Aku dan suami bukan jenis suka sangat berjalan ke rumah orang jika tiada perkara yang perlu. Bertelefon bertanya khabar pun berat.

Sembang kencang menyebabkan masa berlalu tanpa disedari. Alamak..! Aku belum solat asar lagi sedangkan jam dah menunjukkan hampir 6.30 petang. Lalainya aku...astaghfirullah.. Encik suami selepas berbual sebentar dengan tetamu telah siap menunaikan tanggungjawabnya pada yang Esa. Aku yang ditinggal melayan tetamu macam tak sedar diri berborak, dah namanya perempuan..lagipun ada perkara amat penting yang sedang dibincangkan bersama tetamu aku tadi. Hal keluarga dan bab-bab yang berkaitan dengannya.

Aku segera meminta diri untuk solat dan meninggalkan suami melayan tetamu. Usai bersolat, aku turun ke bawah menyertai mereka semula. Mulut terasa berat hendak bertanya kepada tetamu apakah mereka sudah solat asar. Harapan aku mereka sudah tahu sama tahu, tentunya telah maklum akan tanggungjawab masing-masing.

Tetamu yang hadir bukan anak-anak yang belum baligh. Si suami sudah 65 tahun, si isteri sudah lebih 55 tahun - sudah monopous khabarnya, si anak perempuannya sudah jadi mak orang sebab dibawa bersama anaknya yang masih tadika. Mengajar di sebuah sekolah menengah aliran agama. Hello...masih perlu aku ingatkan ker..? Kang kecik hati pulak. Tadikan aku dah bagitau nak mintak diri untuk bersolat, faham-faham sajalah. Itu dah kira ala-ala mengingatkan le...

Untuk si anak perempuan mereka aku anggap dia tengah bendera merah(haid), ada alasan kongkrit tu. Mak ayah dia pulak..? Takkan kata dah jamak solat zohor asar tadi. Hati sudah berkata-kata, aku dan suami nak bertanya atau menyuruh rasa semacam aje. Sudahnya kami layan terus dia berborak.

Diam tak diam, berkumandang pula azan Maghrib. Seperi biasa, suami minta diri untuk solat berjemaah di masjid. Tetamu masih tak habis-habis nak berborak. Dari seteko air dah jadi dua, kuih muih sudah licin bersisa. Melihat kami sudah berdiri ke hulu ke hilir, akhirnya mereka minta diri untuk pulang. Selepas bersalaman dan menghantar mereka ke kereta, kami pun berpisah. Harapan aku sempatlah mereka singgah di mana-mana masjid atau surau untuk mengerjakan solat Maghrib nanti. Bukan apa, jika terperangkap dalam kesesakan jalanraya.. bimbang tertinggal pulak solat maghrib nanti.

Aku sekeluarga memang suka jika ada tetamu terutama saudara mara dan kenalan yang sudi berkunjung ke rumah. Andai berpesan dari awal bukankah seronok dapat menyediakan serba sedikit hidangan istimewa untuk tetamu menjamu selera. Memuliakan dan menjamu tetamu sunnah Rasulullah. Ada yang berkata , tetamu datang membawa pahala..pulang menghapuskan dosa-dosa kecil kita.

Aku bercerita bukan nak mengaibkan sesiapa. Sekadar hendak mengingatkan diri sendiri sebab yang empunya diri ini pun banyak khilafnya. Masuk waktu, suka dilengah-lengahkan. Puas suami menegur dan menyindir sekiranya bila dia pulang berjemaah di surau/masjid, aku masih belum solat lagi.

Akibat melewat-lewatkan solat ni, akhirnya kita lalai. Sibuk membesarkan hal-hal dunia contohnya buat-buat sibuk mengemas rumah, memasak, basuh pinggan, jemur kain, jaga anak, tengok tv, berblog, berfacebook. Mulalah mata nampak itu nampak ini, nak pegang itu nak pegang ini, nak bereskan itu nak bereskan ini. Akhirnya waktu solat pun hampir luput. Mulalah kalang kelibut. Baru nak mandi, bersyampoo, berlulur dan sudahnya berwudhuk ala kadar. Akibatnya solat fardhu ditunaikan secara express, laju dan tunggang tunggik macam ayam patuk padi. Bacaannya asal yang wajib saja, entah betul entah salah tajwidnya.

Masyallah..tahu salah, sedar tak elok. Taubat sudah beribu kali tapi buat juga. Umur makin lanjut, perangai masih tak banyak berubah. Apalagi kalau habit meninggalkan solat atau suka amalkan suka-suka qada' solat setelah meninggalkan dengan sengaja. Seingat aku, orang tua dulu-dulu ramai yang berpegang cara begini. Kalau mereka sibuk dalam kenduri kendara, selamba aje meninggalkan solat. Sibuk katanya, tak apa nanti boleh qada' di rumah. Sedikit pun tidak rasa bersalah dan berdosa.

Aduhaaaii...janganlah generasi kini terikut-ikut. Terutamanya kepada anak-anak mak di rumah. Sabarlah dan jangan jemu mendengar mak ayah menegur kalian agar segera mengerjakan solat. Jangan marah saat kalian bergembira bersama teman-teman di luar, kalian terima sms mak ayah bertanyakan kalian sudah solat atau belum. Jangan merungut tatkala kamu dilamun mimpi indah, mimpi kalian tergganggu dengan suara dan ketukan pintu bilik mengejutkan kamu dari lena. Segeralah patuh anak-anakku.

Perintah ini bukan dari mak ayah, tapi sebenarnya dari Allah swt yang menghidupkan kita. Jangan sesekali kita lupa. Kita sedang menghirup udara kurniaanNya dan berpijak di mukabumi ciptaanNya. Kalau kita terlupa mari kita ingatkan, kalau kita terlalai mari kita sedarkan tetapi kalau kita sengaja buat-buat lupa serta engkar, memang layaklah kita semua dihumban ke neraka jahanam paling dalam!!!!

9 comments:

Zaitun said...

Memang terdapat orang macam ni,bila datang rumah,kita rasa bersalah nak tinggalkan untuk soalt dan sebagainya.Kalau budak2 boleh lagi ini dah boleh bagi perumpamaan rumah kat pergi kubur kata mari.

InsyaAllah kalau anak2 di didik dari kecil dia tak akan meninggalkan solat..

Mama said...

Salam Yati

KZ pun sama mcm Yati... KZ prefer kalau org yg nak dtg tu, telefon dulu bg tau... boleh kita siapkan apa2 yg patutkan....

YIN-WONG KHOO LAI said...

Kalau beritahu dulu kita ak datang ditakuti tuan rumah sibuk nak buat itu ini tapi kalau tak beritahu awal lagi menyusahkan coz dah jd adat tetamu dtg mesti nak hidang air ke...biskut ke...

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

betul tu kak zai, dah bercucu cicit tak kan nak sound pasal solat lagi.. nanti cam mana lak diaorang nak tegur anak cucu sendiri yang degil nak solat kan.. taku anak cucu pulak sindir dia, atuk n nenek dah solat ker..?

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

KZ dah jadi trend zaman skrg, klu nak ke rmh org sebaiknya telefon dulu sbb bagi mereka yg bekerja bila cutilah masa nak melepak dgn family atau keluar ke mana-mana destinasi..ramai yg tak suka kita main terjah aje..

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Cikgu Bahreyn,

Saya suka org nak berkunjung bagitau dulu sbb seronok menyambut tetamu dan dpt menghidangkan apa yg patut.. sebaiknya begitulah.

Pesan Rasulullah, klu ke rmh org dan kita bagi salam 3 kali berturut2 mrk tak jawab, silalah beredar kerana ia bermakna tuan rmh belum bersedia menerima kedatagan kita. Jgnlah kita megata mengumpat pulak sbb org tak bg masuk, dah gitu peraturan sebenar menurut agama kita.Hanya mrk yg berilmu saja faham situasi ini.

ridoma said...

Boleh gunakan cara alternatif dalam bertanya atau menyuruh mereka ke arah itu (solat).

Misalnya sediakan tempat dan bentangkan sejadah kemudian katakan kepada mereka jikalau sesiapa mahu menunaikan solat maghrib (barangkali dengan menyebut waktu solat yang terdekat dapat memeberi mereka kesedaran mengenai solat asar yang masih belum dilaksanakan), boleh la solat disini(sambil senyum, jari menunjukkan ke atas sejadah yang telah siap di bentang menghadap kiblat).

Cara ini dapat memberi kesedaran disamping dapat menjaga hati tetamu daripada terguris.

Adakalanya ada tetamu yang malas bertanya atau memikirkannya, melainkan kita mempermudahkan untuk mereka. Wallahualam.. =)

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

ridoma,

Aunty kenal sgt diaorg ni, ada beberapa kali berkunjung ke rumah. Setiap kali berkunjung dari siang sampai tengah malam, begitulah aksinya, selamba jer..langsung tak segan silu sebaliknya kami yg serba salah dibuatnya.

Dah buat pun mcm yg dicadangkan, nampaknya belum terima hidayah dari Allah..sama2 kita doakan mudah2an mereka berubah, mungkin lebih baik dari kita.

Anonymous said...

Lucky Club Lucky Club - Casino site - Luckyclub Live
Lucky Club, the best betting and gaming site, is a leading provider of online gambling. With over 2000 registered players, Lucky Club has established itself as one luckyclub of

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...