Saturday, June 5, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

BALA DAN MUSIBAH...SATU PERINGATAN.

KHAMIS 3 JUN 2010

Hari yang mendebarkan, mengimbau kenangan, menghiris perasaan, tragis dan pilu....
Tatkala Tuhan timpakan musibah atau bala bencana....
Musibah atau bala bencana di sini maksudnya yang Tuhan datangkan dan terpaksa ditanggung bersama.

Ada yang datangnya langsung dari Tuhan tanpa campurtangan manusia seperti kemarau, banjir, gempa bumi, ribut taufan, tsunami, penyakit berjangkit, hasil tanaman dan ternakan tidak menjadi dan seumpamanya.

Ada pula bencana yang Tuhan jadikan melalui sebab musabab dengan adanya campurtangan manusia seperti permusuhan, krisis, peperangan, gejala sosial, kezaliman pemerintah, kemerosotan ekonomi, kelalaian, kecuaian dan ketidakpekaan manusia itu sendiri serta seumpamanya.

Para sahabat, apabila mendengar guruh di langit atau berlaku angin kencang, wajah mereka bertukar pucat ketakutan. Bukan takut kepada guruh petir atau ribut taufan tetapi mereka takut kepada Allah swt. Takut kalau dosa-dosa atau maksiat yang mereka lakukan menjadikan Tuhan murka dan didatangkan bencana alam.

Manusia hari ini, kalau berlaku musibah atau bencana jarang dikaitkan dengan dosa dan maksiat atau kemurkaan Tuhan. Seringkali hanya dikaitkan dengan fenomena semulajadi seperti perubahan cuaca, pemanasan global, gempa bumi dan sebagainya.

Bersangka baiklah terhadap Tuhan. Berlakunya pelbagai musibah itu samada yang bersifat langsung dari Tuhan maupun yang berlaku 'angkara tangan manusia', semuanya Tuhan bermaksud untuk peringatan, pengajaran, mendidik, menyedar dan menginsafkan manusia. Terutamanya agar manusia dapat melihat dan merasakan betapa Allah itu Maha Kuasa. Dengan cara itu bertambah iman dan taqwa manusia.

Apa yang Tuhan kehendaki berlaku pasti berlaku dan tiada siapa atau tiada kuasa lain seperti kepintaran dan kepandaian manusia dapat menghalangnya. Melainkan agar manusia patuh akur saja kepada Tuhan dan bertambah takut kepadaNYA. Agar manusia sedar dan insaf serta segera bertaubat. Bertaubat terhadap dosa dilakukan, bagi yang berdosa.. mahupun taubat selaku seorang hamba bagi yang tidak berdosa.

Beberapa keuntungan lain yang diperolehi melalui masalah dan kesusahan yang Tuhan datangkan antaranya ialah:

* Masalah yang datang itu adalah kifarah atau penghapusan ke atas dosa-dosa sekiranya Tuhan timpakan kepada orang yang beriman dan bertaqwa. Samada dosa yang disedari atau tidak disedari. Bagi yang tidak beriman maka masalah itu merupakan satu hukuman Tuhan juga sebagai peringatan agar manusia kembali kepada Tuhan.

* Allah Maha Adil. Allah tetap membalas segala kesalahan samada di dunia mahupun akhirat. Beruntunglah jika melalui masalah itu Allah membalas dosanya di dunia. Kalau Tuhan beri balasannya di Akhirat maka balasannya amat azab dan tidak tertanggung apabila dihumban ke neraka.

*Sungguh Allah Maha Adil kerana setiap perbuatan jahat pasti dibalas. Tetapi Tuhan beri balasan menurut cara Tuhan, bukan menurut logik akal manusia.

*Manusia serba serbi lemah, liar dan lalai terhadap Tuhannya. Tuhan mendidik secara langsung dengan didatangkan masalah supaya hati kembali berjinak-jinak dengan Allah.

* Kalau masalah yang Tuhan datangkan itu dalam bentuk yang terpaksa dipikul bersama atau ditanggung bersama-sama, samada dalam keluarga atau dalam satu kelompok masyarakat, Allah bermaksud untuk mereka sama-sama merasai senasib dan berganding bahu mengatasinya, maka natijahnya akan bertambah simpati antara satu sama lain. Akhirnya akan bertambah jalinan kasih sayang dan bertambah akrab. Datanglah semangat bertolong bantu, memperbaiki kesilapan lalu, saling prihatin, bela membela serta perpaduan yang utuh.

Sebab itu betapa pentingnya kenal Tuhan dan memahami kerja Tuhan ke atas hambaNYA. Kalau tiada iman dan tidak memahami kerja Tuhan maka manusia menerima sesuatu yang pada pandangan mereka negatif sebagai negatif. Dia akan bersangka buruk pada Tuhan. Sedangkan sangka buruk kepada Tuhan itu satu dosa.

Apabila Tuhan mencintai hamba-hambaNya bererti Tuhan mencintai bukan dengan perasaan. Tanda Tuhan mencintai seseorang itu ialah dengan cara Tuhan datangkan ujian kepada seseorang. Membalas cinta Tuhan itu ialah dengan sabar dan redha terhadap ujian-ujian tersebut. Apabila ini dapat dilakukan maka terjadilah antara orang itu dengan Tuhannya saling cinta mencintai.

Sabda Rasulullah saw maksudnya;
"Seseorang hamba itu apabila tercatat namanya satu darjat dalam Syurga dan dia tidak dapat mencapainya dengan amal ibadah maka Tuhan datangkan ujian. Lantas dia bersabar di atas ujian itu maka kekallah darjat itu di dalam Syurga."

6 comments:

Pn Kartini said...

SAlam my dear sis..:)

Semmgnya tika musibah itu mendatang kita akan tersentak dan bersujud padaNYa..bertadah tangan memohon padaNya dgn sesungguh2nya..& tika itu betapa kita dekat dgnNya...
Semoga...hati dan jiwa terus dekat padaNya bukan hanya di kala susah..namun di kala senang jua....Amin....

Moga sis sihat..:)

kakpah said...

dada masih dak duk dak duk....

Mama said...

Salam Yati... very good entry. Kita saling ingat mengingati betapa kerdilnya kita disisi Allah

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam Tini,
Allah swt sebenarnya menguji kita setiap hari. Dalam senang dan susah, dalam suka dan duka, dalam kenyang dan lapar, dalam tenang dan resah. Yang penting dalam kesemua keadaan itu adakah kita sentiasa meningatiNYA.

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Kak Pah,
Maha luas kasih sayang Allah. Dalam k.Pah dak duk dak duk risau dan bimbang, Dia anugerahkan k.pah berita paling gembira - bakal bergelar ninda utk cucunda kedua. TAHNIAH! Kita tumpang gembira sama ek...

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam mama Ayim,
K.Zah sibuk betul saya minggu cuti sekolah ni hingga tak sempat nak komen cerita menarik akak tentang stress Ayim tu. Kita jumpa di N3 akak nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...