Saturday, June 19, 2010 By: DAMAI IMPIAN D'BANGI

SELAMAT HARI BAPA

Katanya hari ni HARI BAPA. Suka hatilah janji semua yang ada bapa wajib taat dan menghormati bapa masing-masing. Kalau si bapa telah terlebih dulu meninggalkan kita kembali ke rahmatullah, titiplah doa setiap waktu agar rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman.

Bagi yang masih punya ayah memang beruntung kerana kita masih diberi ni'mat merasa erti kasih sayang seorang ayah. Sama ada bapa kita berada di samping kita atau membawa diri tanpa dikesan namun beliau tetap seorang ayah..lalu titipkanlah doa agar dia selamat dunia akhirat.

Kita semua sayangkan bapa kita sepenuh hati namun tak kurang yang membenci, marah dan dendam kepada bapa mereka atas sebab-sebab yang peribadi. Pasti hati si anak pernah terguris luka atas perbuatan bapa yang mungkin kurang bertanggunjawab, tidak mengikut sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

"Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik pergaulannya dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku." (Riwayat Ibnu Majah dari Ibnu Hibban)

Aku bertuah punya dua ayah. Ayah kandung Md. Shariff Ibrahim yang berkongsi hidup dengan ibu kandungku Asiah bt Ismail hingga lahirlah aku sebagai anak bongsu dari berbelas orang adik baradik. Oleh kerana telah berjanji dengan ibu saudaraku adik kepada bapa maka tatkala lahirnya aku lalu diserahkan kepada Bee bt Ibrahim ibu saudaraku.

Hadiah ikhlas ini benar-benar mengembirakan hati ibu saudaraku bersama suaminya Gani bin Muda yang juga merupakan sepupu kuat kepada bapa kandung dan ibu saudaraku tadi. Terubat hati ibu saudaraku yang telah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak walaupun dia juga sebenarnya menjadi ibu segera kepada suaminya yang membawa 2 orang anak yang sudah besar akibat kematian isterinya.

Mulai detik itu secara automatik aku mempunyai seorang lagi ayah yang akan menjaga dan membesarkan aku. Dengan ayah ini aku dididik penuh kasih sayang tanpa berbelah bagi walau berkongsi dgn abang kakak yang telah besar anak kandungnya dari arwah isterinya.

Berkat pahala ibu saudara suami isteri memelihara aku, akhirnya 4 tahun kemudian dia dikurniakan seorang anak lelaki comel yang menjadi adikku lalu kami semua sama-sama membesar dalam sebuah keluarga yang penuh kasih sayang. Biarpun hidup ketika itu sangat sederhana namun semuanya tersedia mengikut kemampuan Hj Gani yang aku panggil ayah sebagai pekerja di Jabatan Kesihatan.

Setinggi-tinggi terima kasih buat ayah yang begitu dekat di hatiku. Mencurah kasih sayang tidak berbelah bagi. Selalu berada di sisi menyikat rambutku, menghantar aku ke sekolah dan berusaha mengadakan apa saja permintaanku. Mengajar aku berbudi bahasa dan menegur salah silapku dengan penuh berhemah.

Hampir setiap malam aku akan duduk atas pangkin di luar rumah, mendengar ayah bercerita. Sambil menggulung rokok daunnya dia bercerita tentang susah senang kisah silamnya semasa kecil. Inilah antara moment paling indah ketika bersama ayah. Saat di mana aku merasai kasih sayang seorang ayah sejati.

Sikap peramah, ceria, lemah lembut tapi tegas ayah hingga membuat aku mengimpikan seandai aku punya pasangan hidup biarlah si dia menjadi suami dan bapa sebaik ayah. Syukur niat baik itu terlaksana apabila aku dikurniakan seorang suami dan bapa kepada anak-anakku yang tidak banyak beza dengan ayah. Syukur ya Allah..

Terima kasih ayah kerana menjadi bapa kepadaku. Mencurah kasih sayang, memberi pendidikan dan melaksanakan majlis perkahwinan aku dengan meriah. Lalu ayah menitis air mata saat mahu melepaskan aku tinggal di samping suami yang akan mula mengambil alih tanggungjawab ayah selama ini.

Setinggi-tinggi terima kasih ayah. Jasa baik mu tak mungkin terbalas olehku. Terkilan kerana hanya sempat menjaga ayah selama seminggu di hospital Bt Pahat. Apakan daya ayah tanggung jawab terhadap suami dan keluarga membataskan waktu untuk aku bersamamu merawatmu.
Namun aku cekalkan hati memberanikan diri memandu kereta begitu jauh bertemankan angah anak lelakiku demi ingin bersamamu.

Syukur perjalanan kami selamat dan ayah bergenang airmata kegembiraan melihat aku berada di sisinya sewaktu dia sedang tenat melawan penyakit tuanya. Bersama Zaidi satu-satunya anak tunggal perkongsian hidup ayah dengan ibu saudaraku, kami menjaga ayah silih berganti. Pemergian mak beberapa tahun lalu pasti menambah sunyi dan pilu di hati ayah.

Dan apabila sudah sampai detik waktunya lalu ayah dijemput pergi oleh Penciptanya. Dalam usia 87 tahun, tubuh tua itu pergi dengan mudah dan bibir bagaikan tersenyum menemui Illahi. Ayah pergi membawa kenangan paling indah dalam hidupku khususnya. Sehingga aku terlupa bahawa aku sebenarnya bukan anak kandungnya. Terlupa juga bahawa aku ada ayah kandung yang sepanjang hayatnya tidak pernah aku berpeluang memanggilnya ayah. Kerana dia tidak pandai mahu mendekati aku dan beramah mesra denganku.

Cantik sungguh percaturan hidup ini. Diatur dan diolah skripnya oleh Allah Maha Berkuasa. Lalu aku hanya menadah tangan mengucap syukur atas kurniaanNya. Mengucap syukur kerana memberikan aku seorang ayak kandung yang tanpanya aku tidak mungkin hadir ke dunia ini. Menghadiahkan pula aku seorang ayah angkat yang menyanyangi aku sepenuh hati. Dan mana mungkin aku melupakan bapa mertuaku yang juga menjadi bapaku. Dia yang zahirnya tampak garang rupanya sangat penyayang dan menerima aku sebagai menantu dengan bersikap tidak jauh bezanya dari ayah.

Ternyata mereka bertiga Bapa yang paling aku kasihi. Tidak terbalas jasa kalian. Walaupun kalian kesemuanya telah tiada di dunia ini namun kenangan bersama kalian tetap terpahat dalam ingatan menjadi sejarah paling berharga. Doa buat kalian dalam setiap sudah solatku. Semoga atas jasa kalian tempatmu bersama-sama mereka yang beriman dan dimasukan ke dalam Syurga Firdausi, insyallah.

SELAMAT HARI BAPA JUA BUAT SUAMI TERCINTA. Isteri dan anak-anakmu mengucap syukur dan terima kasih tidak terhingga atas kasih sayangmu selama ini.

2 comments:

Mama said...

Salam Yati.... syahdunya...sedih pulak baca entri ni. KZ jugak teringat ayah KZ yg meninggalkan kami semasa KZ berumur 15 thn.

Semoga mereka semua bahgia di sana... amin

DAMAI IMPIAN D'BANGI said...

Salam KZ,
Syukur kita merasa punya ayah. Walaupun begitu lama ayah KZ telah tiada yg pasti kenangan bersamanya tetap dlm ingatan.
Al Fatihah buatnya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...